SETIAP kali menjelang tarikh 1 Januari, ramai yang membanjiri kawasan terbuka seperti Dataran Merdeka, KLCC dan Putrajaya.
Tujuannya menyambut kedatangan tahun baharu Masihi. Ada yang sanggup menggendong anak kecil menunggu detik 12 tengah malam semata-mata mahu memeriahkan sambutan tahun baharu.
Selain kemeriahan sambutan di Dataran Merdeka dan KLCC, sambutan-sambutan lain yang turut dirancang adalah di negeri-negeri termasuk di Dataran Pengkalan Rama,
Melaka yang pada masa sama turut melancarkan Tahun Melawat Melaka 2024.
Selain Melaka, banyak negeri mengambil peluang untuk melancarkan serta mempromosi pelancongan negeri masing-masing pada 2024 termasuk Perak dan Perlis.
Bagaimanapun, kerajaan Selangor dilaporkan mengambil pendekatan berbeza untuk sambutan ambang tahun baharu 2024 iaitu dengan mengadakan Darul Ehsan Berselawat di Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam. Ini satu perubahan positif yang perlu dialu-alukan.
Persoalannya, adakah Islam benarkan sambutan tersebut? Sebabnya, tahun baharu Hijrah dalam Islam adalah bulan Muharam. Ulama berbeza pendapat berkaitan hukum menyambut tahun baharu Masihi. Pandangan pertama mengatakan haram.
Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menyerupai (tasyabbuh) sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu. (Riwayat Abu Daud)
Al-Imam al-San’ani rahimahullah berkata, hadis di atas menunjukkan sesiapa yang menyerupai orang-orang fasik, kafir ataupun orang yang melakukan bidaah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. (Subul al-Salam. Dar al-Hadis)
Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat iktikad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. (Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra)
Kebiasaannya, sambutan tahun baharu dimonopoli oleh golongan bukan Islam. Maka di dalamnya terkandung perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, minum arak, pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sebagainya.
Ia bagaikan menjadi kemestian bagi golongan ini dan setiap kali muncul tahun baharu, maka perkara-perkara mungkar ini berulang.
Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama mengharamkan umat Islam menyambut dan menyertai majlis-majlis sambutan tahun baharu Masihi.
Sebab utamanya kerana ia meniru golongan kuffar dan yang keduanya apabila melihat perkara-perkara mungkar yang ada dalam sambutan tersebut.
Pandangan kedua mengatakan harus menyambut tahun baharu. Ini berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan masa kini walaupun ia bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut agama.
COVID-19
Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku. Ia juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat jika tidak bercanggah dengan syarak, maka ia boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum.
Kaedah fikah ini disebutkan sebagai adat (yang tidak bercanggah dengan syarak) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan. (Lihat al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir hlm. 89)
Dalam konteks Malaysia, dinukilkan pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri seperti berikut:
“Saya tertarik dengan satu pendapat dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:
“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah SWT.
Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram.
“Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tasyabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-musyabahah).
Abu Yusuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian. Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar berbulu yang menyerupai golongan rahib.
Maknanya al-musyabahah tidak sama dengan al-tasyabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja”.
Justeru, dalam menyambut tahun baharu, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik iaitu dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama, berzikir, solat dan berdoa agar tahun yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik.
Usia kita pun makin meningkat. Bak kata pepatah “rumah kata pergi, kubur kata mari”. Justeru, elakkan aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan meniru cara orang yang lalai ketika menyambut tahun baharu.
Setiap manusia akan meninggalkan dunia dan menuju ke alam yang nyata berbeza dengan kehidupan yang serba indah ketika ini.
Kehidupan manusia yang sementara ini akan sentiasa diselubungi dengan keindahan, kesusahan, cabaran dan pelbagai lagi bertujuan melihat siapakah di antara hamba Allah SWT yang sebaik-baik amalan.
Ramai umat Islam pada hari ini tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah merasakan kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki diri.
Ingatlah waktu kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan amalan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat (timbangan kebaikan) kita kelak.
Jangan kita lupa, mengikut data Kementerian Kesihatan setakat 23 Disember lalu, kes aktif Covid-19 di seluruh negara dicatatkan melebihi 33,000 orang. Jadi, jangan kita termasuk dalam statistik itu. – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










