Apa barakahnya kahwin lari ke Siam?

Apa barakahnya kahwin lari ke Siam?

EJEN nikah sindiket kini didapati tanpa segan-silu mengiklankan perkhidmatan mereka bagi membantu pasangan yang ingin berkahwin di negara jiran. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, media banyak mendedahkan kisah poligami oleh warganegara kita yang berlaku di negara jiran. Masyarakat juga dihidangkan dengan kerenah ejen nikah sindiket yang tanpa segan silu mengiklankan perkhidmatan mereka membantu pasangan yang ingin lari daripada mematuhi undang-undang perkahwinan di negara ini.

Suatu masa dahulu, kes khalwat adalah yang paling banyak diadukan kepada penguat kuasa agama di Selangor. Namun, kini tidak lagi. Menurut penguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang ditemui baru-baru ini, kes nikah sindiket kini menjadi aduan paling banyak diterima sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini menimbulkan tanda tanya, apakah tiada sebarang tindakan boleh dikenakan kepada mereka yang mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan mengatur sindiket perkahwinan tanpa izin di luar negara? Bagi pasangan yang terdesak, mereka menggunakan khidmat ini untuk berkahwin. Pada anggapan mereka, pernikahan itu nanti adalah sah dari segi hukum syarak.

Nikah menerusi sindiket berlaku kerana pelbagai sebab, antaranya kerana mahu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri pertama. Pasangan tersebut tidak sedar bahawa nikah sebegini tidak dapat lari daripada urusan siasah perundangan selepas kembali daripada keseronokan sementara di luar negara seperti Thailand, Indonesia, Bangladesh dan sebagainya. Mereka tetap berhadapan dengan pelbagai implikasi dan perlu naik turun mahkamah syariah beberapa kali.

Pertama ialah untuk membuat pengesahan nikah sebelum nikah dapat didaftarkan. Yang kedua iaitu yang lebih memalukan ialah kedua-dua pasangan suami isteri akan disiasat dan didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, iaitu poligami tanpa kebenaran mahkamah dan dicadangkan juga Seksyen 10(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana mempersendakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa dengan bernikah tanpa kebenaran.

Banyak kes didapati pengesahan atau pendaftaran nikah lewat dibuat atau tidak mahu dibuat oleh pihak suami yang mahu mendiamkan diri kerana bimbang rahsia poligaminya diketahui ramai. Lebih malang jika si isteri kedua ini hamil dalam keadaan nikah belum disahkan dan didaftarkan. Anak yang bakal lahir akan berhadapan dengan isu kesahtarafan. Jika nikah menerusi sindiket ini membabitkan salah satu pihaknya adalah warganegara asing, proses pengesahan nikah akan menjadi lebih rumit lagi.

Permohonan pengesahan nikah perlu dibuat di mahkamah syariah. Apabila mahkamah mengesahkan pernikahan, sijil nikah tidak akan dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah selagi tiada bukti mereka telah melalui proses siasatan dan pendakwaan atas kesalahan disebutkan di atas.

SUBAHAT

Undang-undang menjelaskan bahawa tiada perkahwinan yang diakad nikahkan tanpa kebenaran boleh didaftarkan melainkan setelah mahkamah mengesahkannya dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 124, iaitu berpoligami tanpa kebenaran. Penguat kuasa agama akan meminta salinan sijil nikah luar negara dan dokumen lain seperti pasport yang mengesahkan bahawa perjalanan ke luar negara telah dibuat pada tarikh berkenaan. Kadang-kadang ini menuntut penguat kuasa agama pergi menyiasat hingga ke Kelantan untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Mudah kata, mereka yang berkahwin menerusi sindiket ini terpaksa turun naik mahkamah dan jabatan agama Islam beberapa kali hingga kes selesai. Sudah tentu ia memakan masa, tidak sama seperti anggapan awal bahawa mereka hanya perlu membayar denda untuk mendapat sijil nikah Malaysia.

Para ejen nikah sindiket perlu ingat bahawa apa yang mereka lakukan adalah menyalahi undang-undang. Membantu pasangan mengelak undang-undang adalah satu perbuatan subahat yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Peruntukan ini selaras dengan hadis yang bermaksud: “Orang yang menunjukkan jalan kepada kejahatan adalah sama seperti pelakunya juga.”

Sekali pun peruntukan undang-undang khusus membanteras nikah sindiket masih belum digubal, perbuatan tersebut adalah salah dan tidak bermoral, rezekinya tidak halal kerana bersandarkan kepada perbuatan yang salah. Di manakah barakahnya jika sumber rezeki adalah daripada perkara yang haram? Ejen nikah sindiket sudah tentu akan lepas tangan apabila pelanggannya berhadapan masalah pendaftaran nikah.

Di pihak berkuasa pula, tidak sekali-kali akan mempermudahkan penyelesaian masalah mereka yang melanggar undang-undang hingga ke tahap memudahcarakan pula untuk mereka mendaftar pernikahan, memohon kewarganegaraan anak-anak tidak sah taraf dan sebagainya. Prosedur undang-undang tetap perlu dipatuhi sama seperti orang lain yang taat kepada undang-undang.

Pada masa sama, undang-undang juga perlu dipinda agar hukuman lebih keras boleh dikenakan agar menjadi peringatan kepada semua. Menjadi ejen pernikahan sindiket patut dijadikan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara dan denda maksimum. Aktiviti perniagaan yang tidak didaftarkan juga patut dikenakan tindakan. Pernikahan itu sunnah dan melengkapkan agama seseorang. Janganlah mempermainkannya kerana menuruti hawa nafsu dan habuan material.

Profesor Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah & Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); dan Felow Kanan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN