MUKADIMAH
‘MATA’ kini tertumpu kepada Parti Amanah Negara (Amanah), menanti barisan kepimpinan bagi sesi 2023-2026 menjelang akhir Disember ini.
Apa yang menarik, pemilihan Amanah dalam Konvensyen Nasional Amanah yang akan berlangsung pada 22 sehingga 24 Disember nanti, tiada sebarang kempen terbuka atau wujud kumpulan mewakili tokoh tertentu.
Namun, persaingan berkemungkinan besar berlaku menjelang hujung bulan ini terutama melibatkan jawatan tertinggi parti menjanjikan habuan dalam Kerajaan Perpaduan.
Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Naib Presiden Amanah, DATUK SERI DR. MUJAHID YUSOF RAWA bagi mendapatkan pandangan
beliau. Turut membantu, jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat fungsi dan prestasi Kerajaan Perpaduan selepas setahun pentadbiran?
MUJAHID: Bagi saya keunikan Kerajaan Perpaduan bermula daripada gabungan pelbagai parti yang buat pertama kalinya wujud.
Pada masa sama, blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) memberi ujian kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa tidak berpuas hati dengan membawa pelbagai sentimen dan persepsi.
Sebab itu, kalau kita tengok sepanjang setahun ini, isu-isu pembangkang hanya berkisar tentang kerajaan akan jatuh atau kerusi bertambah walhal kita sudah stabil.
Maka bagi saya, setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan ada kejayaannya dan dalam masa sama terdapat cabaran untuk menguruskan ekonomi dengan hasil pendapatan kurang.
Paling penting, saya lihat kejayaan terbesar kerajaan hari ini adalah apabila berjaya membuat keputusan ke arah merasionalisasikan subsidi.
Kalau dulu zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, ada diperkatakan tentang isu ini (rasionalisasi subsidi) tetapi tiada keberanian untuk melaksanakan.Sekarang Anwar telah bertindak dan merealisasikan ia bersama-sama dengan pelbagai program lain.
HILANG TARING
Ada yang melihat Amanah ‘hilang taring’ selepas duduk bersama Kerajaan Perpaduan yang disertai UMNO. Komen Datuk Seri?
Saya lihat gabungan (Kerajaan Perpaduan ) daripada sudut positif. Pertama, apa-apa pendekatan baharu kita buat, perlu ada perkara yang boleh dilihat dalam konteks luas.
Bagi saya, Amanah tiada kesukaran untuk menjelaskan perkara ini (hubungan dalam gabungan) kerana kita rakan yang setia. Masih diingat dulu, apabila Pas keluar Pakatan Rakyat (PR) maka lahirlah Amanah.
Perkara pertama Amanah pada masa itu adalah memberi semangat baharu untuk menyatukan balik DAP dan PKR sehingga terlahirlah Pakatan Harapan (PH). Jadi, Amanah ini umpama gam yang menarik kedua-dua parti.
Selain itu, Amanah berjiwa besar ketika menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Justeru apabila ada yang bertanya sama ada Amanah tergugat dengan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, jawapannya tidak.
Lagipun, saya yakin Amanah ada aset besar iaitu dasar Rahmatan Lil Alamin sinonim dengan Malaysia Madani. Maka tiada alasan mengapa Amanah tidak boleh berada dalam kerangka berkenaan.
Malah, Amanah perlu meletakkan keutamaan bagaimana kerangka Malaysia Madani hari ini untuk membantu perkembangan parti, bukannya dengan cara kotor, menikam atau memfitnah.
Amanah boleh berkembang mengikut acuan Malaysia Madani, idea dipanjangkan dan mempertahankan naratif-naratif yang dibawa Kerajaan Perpaduan. Itu caranya Amanah fit in dengan kerajaan hari ini. Kalau faham benda ini, tidak timbul soal pesaing atau sebagainya.
PEMILIHAN AMANAH
Menjelang pemilihan Amanah. Apakah usul-usul dijangka dibawa?
Setakat ini kita belum terima lagi sebab biasa akan dibuat penapisan dulu oleh Jawatankuasa Usul. Dalam masa sama, di negeri-negeri ada konvensyen dan selalunya usul-usul bermula dari situ.
Bagaimanapun, jangkaan saya, antara usul yang akan dibentangkan nanti adalah berkaitan hal politik secara umum dan mungkin tentang peranan Amanah dalam kerajaan selain memperkasakan kedudukan parti.
Mungkin juga hal-hal berkaitan komunikasi selain usul berkaitan organisasi parti. Contoh, ada pindaan baharu seperti kuasa menentukan pengerusi negeri duduk di bawah Jawatankuasa Nasional dan bukan lagi ditentukan negeri. Saya rasa ini antara yang dibangkitkan semula walaupun dipersetujui dalam konvensyen khas.
PRESIDEN AMANAH YANG BARU
Difahamkan ada yang melihat gerakan untuk menonjolkan Datuk Seri sebagai pilihan utama bagi jawatan Presiden yang baharu. Komen Datuk Seri?
Saya kira dalam Amanah ini, isu untuk menonjolkan seseorang itu tidak timbul. Apa yang timbul adalah membawa idea individu terbabit.
Contoh, kalau bercakap tentang Rahmatan Lil Alamin, mungkin dia akan dilihat sebagai seseorang yang cakap banyak tentang dasar ini demi memperkukuhkan ideologi parti.
Maka kalau itu dilihat sebagai sesuatu yang besar dan penting, yang ditonjol bukanlah orang yang bercakap, tetapi menyokong idea membawa ke arah dasar berkenaan.
Kedua, penglibatan menerusi program-program parti. Itu pun akan dinilai. Apakah perkara yang dilakukan barisan kepimpinan daripada sudut pandang biro dan sebagainya.
Daripada situ orang tengok. Jadi, ia bukan soal untuk menonjolkan sesiapa, sebaliknya lebih kepada apa program yang dilaksanakan dan sumbangan kepada parti.Itu yang dilihat.
Selain itu parti ini biasalah, siapa yang dilihat kerap bersama akar umbi dan siapa yang dilihat memberi pandangan menerusi kenyataan akhbar, itulah yang dinilai.
Dan hari ini dengan adanya media sosial, ahli boleh menilai bagaimana kepimpinan berfungsi. Jadi, tidak timbul gerakan mahu bawa naik sesiapa siapa. Apa yang yang ada ialah individu ‘tertonjol’ dengan pandangan, perdebatan dan penglibatan bersama orang awam.
KELAYAKAN AKADEMIK
Adakah Amanah perlu diterajui oleh seorang tokoh yang mempunyai personaliti dan mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD)?
Begini, kalau dalam parti politik ini secara umum dan berdasarkan pengalaman dalam Pas pun, saya tidak berjumpa dengan mana-mana parti yang melantik pemimpin mereka disebabkan kelayakan akademik. Sebab itu, ia bukan penentu sama ada seseorang itu party man atau tidak.
Mungkin dia ada ijazah atau sebagainya tetapi selagi tidak dilihat sebagai orang yang disukai akar umbi, memberi sumbangan idea, susah senang bersama, bagaimana mahu diangkat?
Itu belum lagi kesetiaan, masa, tenaga dan wang yang diberikan kepada parti. Kalau dipenjara (disebabkan mempertahankan prinsip parti atau difitnah) maka layaklah dia. Kalau ada ijazah dan ada semua yang dinyatakan tadi, maka bonuslah.
Setakat ini bagaimana Datuk Seri melihat ‘sentuhan’ pemimpin Amanah (Presiden, Timbalan dan Naib Presiden) terhadap akar umbi?
Ini antara cabaran sebab kita parti politik, terbina kekuatan di peringkat paling di bawah iaitu cawangan. Ia bukan sedikit. Contohnya, kalau saya dulu di Parit Buntar ada 45 cawangan. Bayangkan kalau saya nak santuni semua 45 cawangan itu?
Kalau pergi ke peringkat lebih tinggi sehingga ke tahap negeri atau nasional pasti ada beribu cawangan. Ini memang mencabar.
Siapa yang banyak santuni dan kreatif, orang ini akan dilihat bersama akar umbi. Sebagai parti politik, kita tidak terkecuali ada pendekatan sebegitu untuk membela ahli akar umbi.
Selain itu, cabaran terbesar adalah apabila kepemimpinan terpaksa membuat keputusan yang tidak selari dengan ahli atau pemimpin lain. Kita berdepan dengan cawangan yang bukan semua terpelajar dan ada macam-macam perangai.
JIKA JADI PRESIDEN
Seandainya Datuk Seri dipilih sebagai Presiden, apakah hala tuju untuk membawa parti ini agar diterima lebih banyak dalam kalangan masyarakat?
Hari ini pun saya sebagai Naib Presiden diberi satu tugas besar iaitu sebagai Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Amanah.
Bagi saya ini besar sebab Amanah baru mahu bermula, hendak kukuhkan kefahaman ahli, disiplin, rapatkan hubungan dan ahli serta nak pastikan keutamaan parti lebih penting daripada jawatan.
Bagi saya kalaupun tidak dilantik sebelum ini sebagai Naib Presiden, itu kerja saya dalam parti. Kalau ditanya apa yang akan saya buat seandainya diberi kepercayaan, saya akan teruskan usaha beri kefahaman kepada ahli bagi memperkukuhkan parti.
Kedua, saya hendak posisikan Amanah dalam kerangka kerajaan yang ada. Dan ketiga sediakan tapak yang kuat agar Amanah bersedia masuk PRU16 dengan membina kekuatan, melebarkan cawangan-cawangan dan meletakkan sasaran kemenangan untuk Amanah dalam PRU akan datang.
GAGAL TARIK ANAK MUDA
Adakah Amanah gagal untuk menarik sokongan orang muda terhadap parti itu?
Kalau hendak kata Amanah tiada orang muda tidak betul juga. Kita ada Pemuda dan mahasiswa Amanah. Cuma kalau hendak tengok daripada skala dan dibandingkan dengan parti yang lama bertapak, itu tidak adil.
Bagaimanapun, kita tetap letakkan keutamaan bahawa orang muda di kampus perlu didekati. Apatah lagi dalam PRU lalu, kebanyakan kekalahan kerusi kita disebabkan orang muda tidak mengundi kita.
Kita tahu orang muda ini rapuh. Bukan kerana ideologi. Mereka ini esok mahu mengundi baru buat keputusan siapa yang hendak mereka undi, bergantung kepada siapa yang berjaya mempengaruhi dia.
Paling besar cabarannya apabila orang muda lebih rapuh kepada isu-isu agama dan sensitiviti kaum. Jadi, dia akan suka parti yang mampu menimbulkan isu 3R (agama, kaum dan raja) sedangkan kami dari Amanah memang tolak isu ini.
Kita tidak pernah memainkan sentimen kaum dan agama. Sebab itu, saya nampak benda ini untuk amanah akan terkesan sedikit. Lambat untuk dapatkan sokongan sebab orang tidak faham.
Tetapi saya rasa kalau orang benar-benar faham dalam konteks Malaysia pelbagai kaum dan agama dengan acuan Rahmatan Lil Alamin sebagai asas paling kuat, saya yakin hasilnya berpihak kepada kita sama ada untuk jangka masa sederhana atau panjang.
JANGAN PANDANG RENDAH MUJAHID
Harapan Datuk Seri terhadap pemilihan Amanah nanti?
Saya orang parti dan perkembangan saya dalam politik semuanya secara organik, berkembang secara semula jadi.
Tiada apa-apa gerakan. Cuma jangan pandang rendah pada saya kerana kekuatan saya adalah idea.
Saya tarik minat orang melalui idea untuk maju ke hadapan selain keupayaan saya untuk berdebat dengan sesiapa sahaja atas prinsip.
Kalau bertanya pada saya itulah saya dalam politik. Tiada hendak ‘susun’ tanpa sebab. Saya pun naik atas merit dan idea saya dan telah menulis 10 buah buku. Semua saya tulis sendiri dan bukan saya petik-petik.
Saya harap ahli Amanah lihat ia sebagai kayu pengukur dan dapat lihat siapa yang akan dilantik nanti biar secara merit bukan sentimen.
AMANAH TIDAK GARANG
Amanah dilihat tidak garang dalam menangkis serangan-serangan pembangkang termasuk isu 3R. Komen Datuk Seri?
Orang tidak nampak secara melebar atau meluas. Kalau awak lihat siapa yang lawan Pas dalam isu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji)? PKR atau DAP memang jauhlah.
Amanah yang ke hadapan. Apakah maksud Amanah itu? Mujahid ini Amanahlah. Saya seorang wakil yang lawan isu Tabung Haji sebagaimana dibangkitkan oleh Pas.
Tidak betullah kalau kata Amanah tidak berdepan dalam isu mengasak dan mematahkan hujah lawan.
Malah saya antara orangnya. Menulis, berdebat dan naik turun mahkamah. Saya tidak faham apabila ada yang kata tidak nampak Amanah dalam mematahkan hujah lawan. Apa maksud tidak nampak itu, sedangkan yang duduk bercakap isu menentang politik takfiri orang Amanahlah.
Siapa yang berdepan apabila ada yang kata kita khadam DAP? Jadi, saya rasa apabila tidak dilihat melawan itu ia sebenarnya tidak betul. Mungkin skala itu tidak dilihat dalam bentuk besar. – Mingguan Malaysia










