SEBUAH syarikat yang mencipta kontroversi kerana teknologinya dikatakan meragukan atau merisaukan dengan dakwaan aktiviti perisikan, penggodaman dan pencurian rahsia perdagangan menyebabkan ia diharamkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Portugal, Romania, Jerman, Sweden, Australia dan Jepun.
Untuk kes yang lebih spesifik pula, pada 2003, Cisco Systems telah menyaman syarikat berkenaan atas tuduhan mencuri kod perisian yang digunakan oleh Cisco Systems untuk peralatan jalur komunikasinya. Akibatnya, syarikat terbabit telah membuang kod dan perisian tersebut pada 2004 dan seterusnya bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan tersebut di luar mahkamah.
Untuk tahun-tahun berikutnya, eksekutif syarikat itu mendedahkan sebahagian isi kandungan perjanjian sulit di antara syarikat tersebut dan Cisco Systems dengan mendakwa mereka tidak bersalah.
Namun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Cisco Systems yang memberikan bukti lengkap dari kandungan perjanjian secara keseluruhan yang menyebut bahawa syarikat berkenaan telah mencuri kod perisian daripada Cisco Systems. Kes ini disebut sebagai salah satu kes pengintipan komersial yang besar melibatkan syarikat itu.
Pada 2019 pula, satu laporan dikeluarkan oleh pasukan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Papua New Guinea dibiayai oleh kerajaan Australia mendakwa pusat pangkalan data dibina oleh syarikat tersebut mempunyai ketirisan keselamatan yang akan membolehkan pengintipan data.
Laporan menyebut bahawa pelan pangkalan data tidak mematuhi reka bentuk dikehendaki, dan ini menyebabkan banyak ruang boleh digunakan untuk intipan. Projek pangkalan data tersebut merupakan sebahagian daripada dana diberikan oleh China kepada Papua New Guinea berjumlah AS$147 juta untuk tujuan pendigitalan dan pemasangan jalur lebar kebangsaan.
Antara reka bentuk yang menjadi isu ialah peranti komunikasi switches tidak diletakkan di dalam firewall yang membolehkan penggodaman dilakukan oleh pihak luar tanpa dikesan oleh pengendali pangkalan data.
Pada 2019 juga, syarikat terbabit menaik taraf perisian yang digunakan di dalam komputer riba keluarannya apabila Microsoft mendapati perisian driver digunakan syarikat itu menyerupai perisian DoublePulsar, sejenis perisian pengintipan yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), badan perisikan AS yang tersebar di internet.
Juga pada 2019, syarikat terbabit telah cuba untuk membida sistem rangkaian telekomunikasi generasi kelima (5G) daripada TDC NET, syarikat yang bertanggungjawab untuk memasang sistem 5G di Denmark.
Apabila syarikat berkenaan memasukkan bidaan pindaan lebih rendah daripada harga bidaan Ericsson, satu siasatan dijalankan untuk mengesan jika ada kebocoran maklumat. Siasatan mendapati terdapat mikrofon dan kamera dipasang untuk tujuan intipan dan dron yang digunakan semasa mesyuarat diadakan oleh kakitangan TDC NET.
GEOPOLITIK
Peranti keluaran syarikat terbabit digunakan secara meluas oleh institusi-institusi awam dan swasta di China, termasuk sebagai peranti pengintipan untuk mengawasi gerak-geri penduduknya. Antara sistem yang mengguna pakai peranti keluarannya ialah voiceprint, yang dikhususkan untuk kegunaan keselamatan negara dan pertahanan.
Sistem ini yang dinamakan iFlytek Voiceprint Management Platform dikatakan mampu mengenal pasti seseorang berdasarkan pangkalan data suara yang telah direkodkan dan disimpan sebelumnya.
Sistem ini menggabungkan pelbagai peranti untuk mengesan seseorang individu termasuk telefon bimbit, kamera dan lain-lain. Sistem kecerdasan buatan (AI) untuk pengecaman wajah juga digabungkan bagi tujuan penjejakan.
Sistem ini diguna pakai secara meluas di Xinjiang untuk memantau penduduk di kawasan tersebut. Eksekutif syarikat itu bagaimanapun menyatakan yang mereka tidak terlibat secara langsung dalam projek pemantauan di Xinjiang dan sistem tersebut didakwa dibangunkan oleh pihak ketiga.
Berdasarkan tiga contoh diberikan di atas, terbukti dari segi ekosistem, peranti dari syarikat itu boleh diadaptasi untuk tujuan pengintipan lengkap kerana perisian-perisian diperlukan untuk membangunkan satu sistem pengintipan telah tersedia.
Dari segi kemampuan negara ini untuk mengekang mana-mana peranti dari disalahgunakan untuk tujuan tersembunyi, adalah hampir mustahil untuk kita mengekang kegiatan tersebut sekiranya pihak pengeluar perkakasan menyediakan sistem secara tersembunyi untuk tujuan pengintipan.
Antara motif yang jelas untuk tujuan pengintipan tersebut ialah masalah geopolitik melibatkan Laut Cina Selatan dan Taiwan apabila negara jiran merupakan antara pangkalan utama untuk tentera AS di rantau ini.
Oleh itu, kenyataan bahawa syarikat terbabit akan terlibat dalam pembinaan rangkaian 5G kedua di negara ini, sebagai tanda Malaysia tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada AS dalam teknologi, perlu dinilai dengan teliti risikonya dari sudut keselamatan dan kepentingan jangka panjang negara.
Walau tidak menuduh dan sementara kita mengalu-alukan keterbukaan dan persaingan, negara seharusnya amat berwaspada bagi memastikan kita tidak menerima kemasukan mana-mana teknologi yang boleh disalahgunakan untuk aktiviti perisikan, penggodaman dan pencurian rahsia perdagangan. – UTUSAN
PENULIS ialah ialah seorang pembangun perisian bebas.










