PENGGUNA adalah raja. Ramai dalam kalangan kita tidak sedar erti ungkapan ini dan ramai juga buta akan hak mereka sebagai seorang pengguna. Bagi mereka, pergi warung, kedai, pasar, gerai, pasar raya, gedung beli-belah hanya merupakan satu rutin untuk mendapatkan barangan yang mereka hajati.
Tidak ramai sedar hak mereka sebagai pengguna. Ramai yang jahil kewujudan undang-undang pengguna dan hak untuk melindungi mereka daripada terkandas dalam proses pembelian sesuatu produk atau memperoleh sesuatu perkhidmatan berkualiti.
Produk yang ditakrifkan di sini meliputi pelbagai bentuk dan cara. Barangan berbentuk fizikal seperti roti, kuih-muih, roti canai, kereta, almari, kerusi roda, ubat-ubatan merupakan antara barangan maujud yang sering kita berurus niaga.
Perkhidmatan seperti menggunting rambut, menyolek, menampal gigi, penggunaan lebuh raya, perbankan, membeli dan menjual unit amanah, kaunter tabung haji, membeli tiket kapal terbang, tren, bas merupakan antara beribu-ribu urusan melibatkan diri kita secara langsung dan tidak langsung.
Adakah kita memahami dan meneliti secara terperinci urus niaga melibatkan diri kita, ahli keluarga kita, rakan sejawat kita dengan para pemberi perkhidmatan?
NILAI SEN
Sebagai pengguna madani yang bijak, setiap sen kita belanjakan harus diambil kira. Jangan ambil mudah dengan budaya ‘tidak mengapa, 1 sen je pun.’ Ramai dalam kalangan kita sanggup melepaskan 5 sen jika pekedai tidak dapat memulangkannya sebagai baki. Bayangkan jika 100 orang pengguna melepaskan 5 sen, RM5 dapat dikumpulkan oleh peniaga. Adakah ini kejahilan kita atau kita yang merelakan diri ditipu secara terang-terang? Sanggupkah kita dengan berani bersuara demi hak kita? Fikirkan, wahai pengguna madani!
BARANG SIAP
Adakalanya ketika kita pergi membeli-belah, barangan yang hendak kita beli telah siap dibungkus atau ditimbang. Beras sekilo, kacang panjang 500 gram (gm), ikan bilis 300 gm, buah anggur 500 gm merupakan beberapa contoh barangan yang telah siap dibungkus dan ditimbang oleh pekerja pasar raya. Kita dengan begitu gembira terus pergi dapatkan barangan itu dan membuat bayaran. Pernahkan kita timbang atau mengambil tahu tentang kuantiti barangan tersebut?
Adakah kita meneliti kualiti barangan tersebut? Jawapannya, sudah tentu tidak. Mengapa? Alasannya, malas dan mana ada masa beratur panjang untuk menimbang.
Keadaan sama terjadi di kedai emas. Barang kemas telah siap diletakkan tanda harga dan beratnya. Kita percaya bulat-bulat dan membelinya tanpa meminta ditimbang semula. Betapa jahilnya kita, dan sanggupkah diri kita diperdayakan oleh orang lain? Kita sepatutnya meminta tukang emas itu menimbang. Adakah kita hendak menuding jari pada pekedai? Fikirkan, wahai pengguna madani!
Terdapat juga situasi di mana barangan yang kita beli telah rosak, tamat tempoh luput. Beli lima ketul ayam tapi dalam bungkusan hanya ada tiga ketul; minta teh tarik panas, dapat pula teh ais; pen dibeli tidak boleh digunakan lagi kerana dakwatnya telah kering. Namun, apakah tindakan seterusnya daripada kita? Sekali lagi di sini budaya malas hendak bertanya dan budaya tak mengapa mengongkong minda kita. Fikirkan, wahai pengguna madani!
IKLAN OH IKLAN
Satu lagi cara kita tertipu dengan mudah ialah melalui iklan. Iklan merupakan salah satu saluran penyampaian maklumat secara pantas dan mudah tentang produk dan perkhidmatan ditawarkan. Iklan sama ada di media cetak atau media elektronik seperti surat khabar, majalah, risalah, YouTube, TikTok, laman web, blog dan sebagainya mampu menarik pengguna dalam sekelip mata. Paparan yang begitu mengasyikkan membuatkan kita buta beberapa saat. Ada yang celik tetapi ramai terperdaya. Fikirkan, wahai pengguna madani!
Maklumat dalam iklan ada kalanya mengelirukan, ada kalanya kurang berinformasi. Namun, sebagai pengguna seharusnya menggunakan hak kita iaitu mendapatkan maklumat. Jika kurang faham atau kurang pasti, kita seharusnya mendapatkan nombor khidmat pelanggan barangan atau perkhidmatan tersebut dan membilas kekalutan kita dengan menghubungi mereka. Jangan merungut atau berdiam diri setelah mendapat kualiti barangan yang tidak mengikut spesifikasi. Firkirkan, wahai pengguna madani!
PENGUNDI BIJAK
Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen menjalankan proses pendemokrasian melalui pilihan raya yang adil dan telus. Setiap warganegara berumur 18 tahun ke atas dan berdaftar layak mengundi. Adakah kita menggunakan hak sebagai pengundi sepenuhnya? Hak untuk memilih pemimpin juga dianggap hak seorang pengguna.
Pada hari pengundian sama ada peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN), ramai dalam kalangan kita berpusu-pusu mengundi. Namun, ada segelintir walaupun mampu untuk keluar mengundi dengan diberi kemudahan cuti umum, pengecualian bertugas, disediakan kereta sewa tetapi enggan melaksanakan tanggungjawab. Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hanya 74 peratus dan terbaru, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemamam mencatatkan 65.76 peratus sahaja. Alangkah sedihnya melihat statistik ini. Kita sebagai pengundi merangkap pengguna, gagal menggunakan hak kita sepenuhnya. Fikirkan, wahai pengguna madani!
Banyak lagi hak yang kita gadaikan begitu sahaja tanpa sedar. Di negara kita, akta dan undang-undang perlindungan amat jelas dan melindungi pengguna. Namun, kejahilan, kemalasan, kelekaan serta kurangnya kepekaan menyebabkan pelbagai hak pengguna ditindas. Mari kita lengkapkan diri dengan beberapa istilah yang bersangkut paut tentang kepenggunaan – Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Mari kita sama-sama menegakkan keadilan pengguna. Ayuh! Sama-sama kita mereformasikan minda pengguna madani. Pengguna bijak, negara makmur.
PENULIS ialah Guru Akademik di Sekolah Kebangsaan Batu 3, Kluang, Johor.










