Terbukti, kita tidak habis takat situ saja - Radzi Jidin

Terbukti, kita tidak habis takat situ saja – Radzi Jidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PERHIMPUNAN Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keenam melabuhkan tirainya semalam.

Dalam beberapa perkara, ada pihak melihat parti ini bagai telur di hujung tanduk selepas timbul beberapa isu termasuk tindakan empat Ahli Parlimennya yang beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi hanya selepas setahun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ikuti wawancara eksklusif Mingguan Malaysia bersama Naib Presiden Bersatu, DATUK DR. MOHD. RADZI MD. JIDIN bersama Wartawan, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI serta jurugambar, AFIQ RAZALI dan juruvideo, KAMARUL KAMARUDIN.

Bekas Menteri Kanan Pendidikan ini merungkai isu yang berkisar dengan parti yang hanya berusia kira-kira tujuh tahun ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Setahun selepas PRU 5, bagaimana Datuk melihat momentum sokongan rakyat terhadap PN dan Bersatu terutamanya?
MOHD. RADZI: Kalau kita lihat sewaktu PRU15, ramai yang tidak menjangka Bersatu dan Pas khususnya dalam PN mendapat kerusi yang banyak. Malah, kalau ingat kajian-kajian pada masa itu berdasarkan susunan jumlah kerusi (paling terbanyak), PN adalah yang paling hujung dan bukanlah pilihan.

Akan tetapi apabila berlaku sahaja PRU15, barulah kita dapat melihat hakikat sebenar bagaimana gabungan parti iaitu Perikatan Nasional yang baharu sahaja ditubuhkan dalam dua tahun mendapat 74 kerusi dalam satu pilihan raya umum.

Ramai juga pada masa itu yang meramalkan kita habis takat di situ sahaja. Tetapi apabila berlaku PRN di enam negeri pula, kita kekalkan momentum dan mendapat jumlah kerusi yang banyak seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Apa yang lebih menarik kita mendapat 22 kerusi di Selangor dan hanya kurang tujuh sahaja untuk lengkap serta membentuk kerajaan.

Begitu juga di Negeri Sembilan. Sebab itu, kalau dilihat secara keseluruhan dalam tempoh setahun ini sokongan PN sebenarnya terus meningkat. Dan kedua, apabila kita melihat prestasi kerajaan yang ada ini, rakyat tahu dan menilai.

BERTANDING ATAU TIDAK, ITU BUKAN KEUTAMAAN
Datuk bertanding dalam pemilihan Bersatu akan datang?
Saya membesar di Ketereh, Kelantan dan kemudian menyambung pelajaran di Maktab Tentera Diraja (MTD). Selepas itu melanjutkan pelajaran ke Australia. Habis ijazah sarjana muda saya balik sekejap, sambung pengajian ke peringkat ijazah dan kemudian sambung pengajian ke peringkat pengajian doktor falsafah (PhD) di Australia semula. Saya terus bekerja serta tinggal di sana selepas itu.

Dan secara keseluruhan saya duduk di Australia, hampir 20 tahun. Saya hanya kembali ke tanah air sebelum PRU14 iaitu pada 2018.

Balik ke Ketereh kerana saya dilantik jadi Ketua Bahagian Bersatu Ketereh. Dari Februari 2017 hingga 2018 saya ulang alik dari Hobart, Australia ke Ketereh. Tetapi atas tanggungjawab kepada Ketereh dan dalam masa sama kita hampiri PRU14 ketika itu, saya balik membentuk jentera .

Daripada situ, bermulalah penglibatan saya dalam politik. Sejarah yang pendek tahun 2018 dan dalam PRU14, saya bertanding di Ketereh lawan Tan Sri Annuar Musa. Saya kalah. Kemudian saya dilantik jadi Timbalan Menteri Ekonomi. Ketika pimpinan Muhyiddin, saya dilantik sebagai Menteri Kanan Pendidikan.

Jadi, apa yang boleh saya katakan dalam tempoh ini, perancangan saya masuk politik bukan dirancang sebegitu. Saya letak jawatan di Australia dan balik ke sini hanya dengan niat menyentuh dan menyedarkan rakyat tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akhir sekali saya masuk politik secara langsung. Tempoh dalam politik ini singkat.

Jadi, sekiranya awak mahu tanya ke mana saya pada masa hadapan, prinsip saya mudah.

Selagi mana khidmat saya diperlukan untuk negara, maka saya akan berkhidmat. Itulah asasnya. Mahu bertanding atau tidak, itu bukan keutamaan saya.

Tiada pandangan atau kritikan terhadap Kerajaan Perpaduan dibuat secara kolektif dalam kalangan pemimpin PN. Mengapa?

Kita memang sentiasa bersama dalam PN. Cuma mungkin pandangan di luar sana menunjukkan seolah-olah kita tidak bersama.

Secara umum, kita sememangnya erat dalam konteks polisi dan dasar. Kita berbincang bersama sebagaimana di Parlimen. Apabila ada satu perkara yang hendak disentuh, kita buat secara bersama dalam perbincangan kita. Cuma mungkin ada sesetengah isu yang dilihat seperti tidak bersama.

Hakikatnya,pendirian kita terutama yang hendak kita bahaskan di Parlimen, dibincang dan ada pre council setiap sesi Parlimen

UPSR? SEMBANG KEMUDIAN
Ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan MRSM sukar untuk menilai potensi pelajar. Itu antara kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Komen Datuk ?
Bagi dia bercakap dan saya simpan komen saya dahulu tentang isu ini. Nanti kita akan ‘sembang’ kemudian.

PERJUANGAN BERSATU
Apakah yang Datuk harapkan selepas berakhirnya PAT kali keenam ini?
Paling penting seperti mana Muhyiddin cakap dalam ucapan dasar sebelum ini iaitu berkenaan tekad perjuangan Bersatu.
Kita merupakan parti yang baru sahaja umurnya tujuh tahun. Akan tetapi pencapaian kita amat baik sebagai parti baharu dalam tempoh berkenaan.

Jadi, untuk mempertahankan momentum kecemerlangan kejayaan kita, perlu ada satu tekad kepada perjuangan asal Bersatu dan perkukuhkan perpaduan sesama kita. Pastikan perjalanan kita yang masih jauh dapat kita lalui bersama selain terus dekat di hati rakyat. Itu paling penting.

Jadi, apa yang Muhyiddin sebutkan tentang tekad perjuangan Bersatu, ia menjadi asas paling utama untuk membawa perwakilan dan akar umbi kepada perjuangan asal, integriti, amanah dan parti bermaruah. Kita mahu semua perkara ini dikekalkan.

PALING RAMAI ANAK MUDA
Adakah Bersatu ketandusan tokoh muda berbanding PKR atau DAP walaupun selepas tujuh tahun ditubuhkan?
Kalau dilihat pada parti, Bersatulah yang paling banyak ketengahkan anak muda.

Kalau tengok balik senarai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita ada anak muda, Ahli Parlimen juga begitu. Kita sedang lihat bagaimana mahu diketengahkan lebih ramai anak muda. Kerana apa? Kerana perjuangan parti ini ialah untuk membina negara.

Kalau hendak kata ada perebutan apa semua, boleh lihat (karakter) Presiden kami ini yang ada tokoh negarawan. Itu datang dari hati beliau sebagai negarawan dan melihat laluan parti ini pada masa hadapan agar ia diperkukuhkan.

Justeru, kalau mahu kata Bersatu tiada pelapis itu tidak tepat. Cuma belum lagi menonjol sebab mungkin belum ada ruang.

Suara Ahli Parlimen dalam mengkritik kepimpinan Kerajaan Perpaduan agak kurang kedengaran walaupun dibarisi beberapa bekas menteri berpengalaman. Komen Datuk?
Itulah bezanya kami sebagai pembangkang yang bertanggungjawab. Kita kritik dalam Dewan Rakyat, dengan data, fakta dan pandangan untuk membina negara.

Bukan macam mereka mengkritik Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, mendakwa kononnya ringgit jatuh sebab beliau dan sebagainya. Akan tetapi apabila ia (ringgit jatuh) masih lagi berlaku ketika zaman pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka senyap.

Tetapi hakikatnya itulah cara pembangkang sebelum ini. Kita ini lebih kepada satu pendekatan dan memberikan masa.

Selepas beberapa lama, kita dapati mereka tidak dapat tunjukkan bahawa mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Jadi, kita mengkritik demi memastikan kita sama-sama membangunkan negara.

Mampukah Bersatu dan PN meningkatkan sokongan dan populariti terutama dalam kalangan pengundi muda dan bukan Melayu dalam pilihan raya akan datang?
Antara komponen besar ialah dalam pengundi muda. Pengundi bukan Melayu pula sebenarnya kita masih terkebelakang.

Bagaimanapun, kita ada pendekatan dan masih ada masa lagi untuk kita dapatkan sokongan rakyat Malay­sia.

PRN Sabah: Strategi sedang diatur

Mukadimah
‘CAKAP-cakap ‘ politik menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan lebih awal berbanding tempoh matang iaitu Oktober 2025.

Ada parti yang sudah menyatakan kesediaan bagi menghadapi pertembungan nanti.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia menemu ramah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bagi mendapatkan pandangan beliau.

MINGGUAN MALAYSIA: Pemimpin-pemimpin Bersatu mahu Muhyiddin kekal sebagai Presiden Bersatu. Reaksi Datuk Seri?
RONALD KIANDEE: Sebenarnya rata-rata menolak hasrat beliau untuk meninggalkan parti dalam pemilihan nanti.

Dan kita berpandangan ada banyak desakan untuk beliau kekal sehingga satu tempoh yang akan ditentukan nanti.

Ini kerana beliau merupakan imej parti dan kepimpinannya masih amat diperlukan lagi ketika ini apatah lagi untuk membawa parti ke hadapan daripada segi politik selain memper­kukuhkan parti dalam tempoh kritikal di saat menjadi pembang­kang.

BUBAR DUN
Adakah Bersatu Sabah bersedia sekiranya DUN dibubarkan lebih awal iaitu tahun depan?
Sebagai parti politik yang pernah memerintah Sabah dalam PRN lalu, kita menang 11 kerusi dengan gabungan beberapa parti lain yang akhirnya berjaya membentuk kerajaan negeri.

Justeru sebagai sebuah parti yang pernah menerajui kerajaan negeri Sabah, tentu sekali kita siap siaga bila-bila masa sahaja nak menghadapi PRN.

Sekarang ini kita dalam menstrukturkan semula bahagian dan cawangan.

Kita juga sedang susunkan balik kepemimpinan lain di peringkat bahagian.Strategi sedang diatur. Kita mahu bersaing dalam arena politk dalam panji-panji PN.

Setakat ini, parti komponen kita di Sabah iaitu Pas, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM). Jadi.kita bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan terutama landskap politik baharu.

MUHYIDDIN PERLU KEKAL PRESIDEN

Datuk Seri bimbang berlakunya perpecahan ketika pemilihan parti nanti?
Itu yang kita hendak Muhyiddin agar kekal memimpin dalam parti. Kita sudah putuskan tadi agar beliau kekal.

Antara sebabnya adalah hubu­ngan dengan Pas dan PN diilhamkan oleh beliau selain dianggotai oleh beberapa parti.

Semua parti ini meru­pakan gabungan pen­ting dalam PN dan ini semua ilham dan idea beliau. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN