Sedih bila Orang Asli disuruh bercawat

Sedih bila Orang Asli disuruh bercawat

SAPIAH MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PADA 5 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan isu berkaitan pewartaan tanah Orang Asli yang terus menjadi persoalan walaupun negara ini sudah merdeka lebih 60 tahun dengan kebanyakan Kampung Orang Asli (KOA) masih berstatus hutan simpan negeri.

Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Majid Suhut mendakwa kononnya isu ini bukan sahaja tidak selesai, malah tidak pun menunjukkan perkembangan positif sehingga mencetuskan kekecewaan dalam kalangan masyarakat etnik itu.

Wartawan Utusan Malaysia, AMREE AHMAD dan jurugambar FAISOL MUSTAFA menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), DATUK SAPIAH MOHD. NOR di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini bagi mendengar sendiri penjelasan beliau berhubung kemelut ini.

UTUSAN: Komen Datuk mengenai dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), POASM itu?
SAPIAH: Kami pernah buat sesi libat urus dengan pelbagai NGO berkaitan Orang Asli dan saya pelik, ketika taklimat, mereka semua senyap sahaja. Namun habis program itu, aktivis dan tokoh NGO ini jumpa saya sembang secara peribadi kerana mungkin mahu privasi.

Mereka akhirnya buka mulut mendedahkan dibayar oleh pihak luar yang ada kepentingan tertentu bagi cipta isu ‘panas’ atau hilang tajaan dana operasi jika enggan ikut arahan. Saya sendiri terkejut, tidak percaya meskipun ada juga NGO yang masih jujur.

Benarkah punca kemelut ini disebabkan takrifan tanah?
Ramai dalam kalangan masyarakat ini yang terkeliru dan situasi ini dieksploitasi oleh pihak luar, hasut mereka dengan banyak maklumat salah terutama berkaitan perihal tanah di bawah Akta Orang Asli 1954 atau disebut Akta 134 selain Kanun Tanah Negara (KTN).

Sebenarnya tiada istilah tanah adat bagi etnik ini seperti keadaan bumiputera Sabah dan Sarawak. Sebaliknya hak sah Orang Asli yang berada di Semenanjung dilindungi jelas di bawah Seksyen 6 untuk pewartaan kawasan dan 7 Akta 134 untuk rizab tanah.

Kenapa Orang Asli dilihat ketinggalan?
Jika tiada hasutan pihak berkepentingan, saya rasa etnik ini sudah maju setanding kaum lain. Namun saya sedih, ada juga pegawai satu suruhanjaya yang bertegas mahu Orang Asli hidup primitif, bercawat, tinggal dalam pondok usang, ditonton macam muzium hidup.

Kita sudah masuk abad ke-21 tetapi lagak badan itu sebenarnya penghinaan kepada kami. Padahal jika dilihat negara maju seperti New Zealand, kaum Orang Asli sudah lama hidup moden, namun masih kekal adat warisan mereka. Contohnya, tarian dan produk kraftangan mereka.

Berapa jumlah KOA diwartakan kerajaan?
Alhamdulillah, daripada jumlah keseluruhan 853 KOA yang diiktiraf, sebanyak 268 dengan tanah berkeluasan 63,672 hektar berjaya diwartakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada menurut Akta 134 selain KTN dan perundangan terdahulu.

Proses pewartaan ini sebenarnya bukanlah semudah dijangkakan kerana pihak Jakoa dengan kekangan petugas terhad perlu berurusan dengan pelbagai pejabat tanah dan galian daerah terlibat, Jabatan Perhutanan negeri serta kerenah birokrasi agensi yang berkaitan.

Apakah ada tanah Orang Asli masih belum diwartakan?
Jumlahnya sedikit. Ada kira-kira 272 KOA dengan keluasan 80,677 hektar telah diangkat permohonan warta kepada pihak berkuasa negeri (PBN) dan sebanyak 391 perkampungan pula dalam proses permohonan kepada mereka.

Perkara ini melibatkan perbincangan bagi urusan permohonan pewartaan berdasarkan pelan ukur kawasan penempatan Orang Asli kerana ramai tidak tahu bahawa bidang kuasa pentadbiran tanah adalah di bawah kerajaan negeri dan bukan pun hak Jakoa.

Adakah Jakoa serius beri perhatian terhadap isu warta tanah Orang Asli?
Jakoa mengambil langkah mengadakan sesi libat urus dengan PBN secara berkala dan berperingkat. Kami menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan sudah melakukan banyak pewartaan tanah dan kawasan KOA bagi tujuan penempatan dan pertanian.

Ini perlu selaras dengan objektif Jakoa bagi meningkatkan pendapatan masyarakat dan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan, selain masih ada skop liputan kemudahan prasarana sosial di KOA serta memperkasakan program pembangunan modal insan.

Mengapa pewartaan tanah Orang Asli masih belum selesai?
Ada banyak halangan perlu ditangani Jakoa, antaranya isu peruntukan tidak cukup ketika proses pengukuran tanah dan bantahan keluasan KOA daripada penduduk kampung tradisional yang mengakibatkan urusan permohonan mengambil masa cukup panjang.

Di samping itu, kami kena dapatkan banyak ulasan teknikal daripada pelbagai agensi berkaitan bagi menyempurnakan kerja pengukuran sempadan dan kelulusan permohonan secara rasmi yang bidang kuasanya terletak di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Apakah usaha Jakoa bagi mengatasi isu ini?
Insya-Allah, kami sentiasa komited mengambil perhatian serius melalui agihan peruntukan pembangunan disediakan setiap tahun dan bajet besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dari 2021 sehingga 2025 melibatkan kesemua KOA yang didaftarkan oleh Jakoa.

Bahkan sebanyak 114 KOA berada dalam senarai kami bagi kerja pengukuran perimeter penandaan sempadan penempatan bagi tujuan pewartaan tanah dan kelulusan kerja ukur halus kepada PBN untuk baki dua tahun terakhir RMK-12.

Bagaimanakah perkembangan isu pewartaan tanah Orang Asli?
Setakat Mei lalu, sebanyak 683 KOA atau 80 peratus berjaya selesai ukur perimeter manakala daripada jumlah berkenaan, 344 buah perkampungan tersebut atau 40 peratus sudah siap kerja ukur halus bagi urusan pewartaan tanah Orang Asli oleh PBN.

Jakoa berharap imej Orang Asli selepas ini dapat ditingkatkan terutama aspek kesihatan dan pendidikan serta dapat juga dipulihara segala pengetahuan tradisional masyarakat ini selain warisan budaya yang unik selaras dengan situasi arus pemodenan negara kita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×