Reformasi pendidikan lahirkan generasi kritis dan kreatif

Reformasi pendidikan lahirkan generasi kritis dan kreatif

SEJAK diangkat sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengambil inisiatif bertemu golongan mahasiswa menerusi sesi dialog. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, antara bidang yang mendapat perhatian ramai ialah ilmu dan pendidikan. Di bawah pentadbiran Anwar, nilai ilmu dan pendidikan diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani, Anwar menekankan tentang kepentingan ilmu dan pendidikan dengan memetik kata-kata Franklin D. Roosevelt yang berbunyi, “perlindungan sebenar kepada demokrasi ialah pendidikan.” Ini kerana demokrasi tidak akan berjaya melainkan mereka yang membuat pilihan sedia berbuat demikian secara bijaksana.

Anwar juga mengingatkan semua pihak bahawa rasional utama untuk pendidikan awam ialah pembangunan sahsiah. Beliau sekali lagi memetik pandangan Profesor Sayed Naquib Al-Attas yang menyebut objektif pendidikan adalah ta’dib, yakni bertujuan menjadikan manusia lebih baik, lebih beradab.

Reformasi pendidikan yang menuntut pemansuhan dasar yang membebankan guru dan pelajar serta penerapan pemikiran kritis dan kreatif adalah sesuatu yang penting bagi Anwar. Beliau menekankan betapa nilai keadilan, kebijaksanaan dan amal perlu diterapkan secara holistik dalam kurikulum pendidikan nasional.

Tumpuan kepada bidang ilmu dan pendidikan dibuktikan oleh Anwar dengan memberikan Kementerian Pendidikan (KPM) peruntukan tertinggi dalam Belanjawan Madani kedua yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu, iaitu sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada 2023. Begitu juga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diperuntukkan RM16.3 bilion berbanding RM15.3 bilion pada 2023.

Daripada peruntukan RM58.7 bilion untuk KPM ini, RM2.5 bilion adalah untuk membina 26 sekolah baharu. RM1.9 bilion adalah untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara, termasuk bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah manakala RM1 bilion untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah.

Daripada RM16.3 bilion yang diperuntukkan untuk KPT pula, RM250 juta disediakan untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam bagi menyelesaikan masalah capaian internet yang lemah. RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di institusi pendidikan tinggi (IPT) serta menggantikan peralatan lama yang usang.

Pembelaan Anwar kepada para pelajar tertera bila beliau menyebut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 11 Februari bahawa institusi pendidikan harus meninggalkan kaedah lama dan sudah ketinggalan zaman yang menyaksikan para pelajar disekat daripada menggunakan hak mereka untuk menjadi kritikal, malah perlu membenarkan kritikan berdasarkan fakta dan alasan yang munasabah bagi memupuk kreativiti serta pemikiran.

RINTIHAN

Lanjutan daripada itu, pada 19 Mac, Anwar dalam sesi dialog program Youth Empowerment Fair 2023 menyebut bahawa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan kerana prinsip kerajaan kini adalah untuk memberi kebebasan akademik dan ini telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Satu lagi aspek yang cukup menyegarkan sejak Anwar menjadi Perdana Menteri ialah tindakan beliau mengangkat budaya ilmu dan dialog bersama golongan mahasiswa. Melalui Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam pada 7 April umpamanya, pelbagai keluhan, rintihan dan pertanyaan dikemukakan oleh golongan mahasiswa kepada beliau.

Antara hasil sesi dialog ini ialah komitmen untuk memperluaskan bantuan e-dompet sebanyak RM200 kepada seluruh mahasiswa, jaminan untuk menumpukan soal capaian internet khususnya supaya akses diperoleh di seluruh kampus serta pertimbangan untuk memberikan subsidi tiket penerbangan membabitkan mahasiswa Sabah dan Sarawak sewaktu musim percutian.

Begitu juga Jelajah Temu Anwar yang dilangsungkan di beberapa IPT termasuk Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Utara Malaysia yang membolehkan golongan mahasiswa meluahkan segala permasalahan mereka secara terus kepada Anwar sekali gus menyebabkan tindakan segera diambil bagi menyelesaikannya.

Satu aspek reformasi pendidikan yang dilakukan dalam tempoh ini ialah mengurangkan bebanan guru. Pada 18 Februari, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengumumkan keputusan KPM untuk memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru

Selain itu, pelantikan pengawas peperiksaan awam dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan Majlis Peperiksaan Malaysia kini dibuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar institut pendidikan guru dan IPT bagi mengurangkan bebanan guru.

Turut dilaksanakan ialah peningkatan jumlah pengambilan guru di mana pada 7 Oktober, Fadhlina mengumumkan KPM akan membuat pengambilan 9,500 orang guru baharu pada November bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah.

Turut mendapat perhatian masyarakat ialah soal pembaikan tandas sekolah di mana KPM memberi peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara yang diberi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikannya. Langkah ini mengangkat nilai kebersihan dan memastikan keselesaan pelajar selain dapat membantu kontraktor kecil.

Semoga usaha mengangkat nilai ilmu dan pendidikan ke tahap lebih tinggi di bawah pentadbiran Anwar ini akan berterusan dengan lebih rancak pada tahun seterusnya. – UTUSAN

Dr. Zainudin Omar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN