
KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi merupakan antara tumpuan utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Ia bukan sahaja kerana mempunyai jumlah pemilih tertinggi iaitu seramai 64,998 orang malah persaingan tiga penjuru yang dijangka sengit menjadikan kerusi itu antara yang paling menarik untuk diperhatikan.
Paroi juga dianggap sebagai kerusi ‘panas’ memandangkan ia dimenangi parti berbeza dalam tempoh tiga pilihan raya yang lalu, sekali gus membuktikan kawasan itu bukan kubu kuat mana-mana parti.
Kerusi berkenaan kini disandang Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Mohd. Zin, 59, yang mewakili Perikatan Nasional (PN). Pada PRN 2023, beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dan seorang lagi pencabar dengan majoriti 5,539 undi.
Berdasarkan persefahaman antara PN dan Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini, Kamarol Ridzuan dilihat memiliki kelebihan susulan kerjasama itu.
BN sendiri pernah menguasai Paroi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2013 sebelum tewas kepada PH pada 2018. Pada PRN 2023 pula, BN tidak meletakkan calon berikutan kerjasama politiknya dengan PH.
Bagaimanapun, Kamarol Ridzuan berdepan cabaran daripada dua calon muda yang dijangka memberi tumpuan kepada kelompok pengundi berusia 40 tahun ke bawah, yang membentuk 56.79 peratus daripada keseluruhan pemilih di DUN Paroi.
PH mempertaruhkan Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Ahmad Shahir Mohd. Shah, 41, untuk merampas semula kerusi yang pernah dimenangi mereka itu.
Ahmad Shahir dilihat mempunyai kelebihan kerana mewakili gabungan yang menerajui kerajaan negeri di samping pengalaman beliau sebagai bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar.
Persaingan juga dimeriahkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempertaruhkan Ketua Penerangan negeri, Mohd. Nazree Mohd. Yunus, 42. Walaupun ini merupakan penampilan sulung Bersatu dalam pilihan raya dengan menggunakan nama dan logo sendiri, parti itu tidak boleh dipandang ringan.
Sebagai anak tempatan, Mohd. Nazree bukanlah nama asing dalam kalangan penduduk Paroi. Beliau mula membina pengaruh di kawasan itu sejak bertanding di kerusi Parlimen Rembau atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Memasuki hari kelima kempen, kedua-dua calon muda itu dilihat aktif turun padang memperkenalkan diri serta menawarkan gagasan masing-masing kepada pengundi, dengan harapan dapat menamatkan penguasaan penyandang dan muncul sebagai wakil rakyat baharu Paroi.-UTUSAN










