JEMPOL: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Mohd Fairuz Mohd. Isa tidak memandang mudah persaingan tiga penjuru meskipun beliau merupakan penyandang di kerusi berkenaan.
Calon Perikatan Nasional (PN) itu berkata, persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dihadapi secara sihat tanpa menjadikan serangan peribadi terhadap lawan sebagai bahan kempen.
Menurutnya, kedua-dua pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan kenalannya dan hubungan baik itu akan terus dipelihara sepanjang tempoh berkempen.
“Kita bersaing dengan cara sihat. Saya tidak akan berkempen untuk memburuk-burukkan mana-mana individu, sebaliknya kita membawa kempen yang positif.
“Kita mengharapkan pengundi di Serting dapat menerima PN dan menjadikannya sebagai pilihan pada hari pengundian nanti,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni pengundi DUN Serting, di Felda Raja Alias 4, Bandar Sri Jempol, semalam.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan itu berkata, meskipun tempoh perkhidmatannya tiga tahun terlalu singkat, namun beberapa kerja pemulihan infrastruktur berjaya dijalankan termasuk menaik taraf longkang selain kerja mendalamkan sungai dan tali air.
Katanya, beliau akan meneruskan agenda yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk menyelesaikan isu bekalan air kerap terputus di kawasan Felda serta memperluaskan peluang kepada golongan belia.
“Perancangan itu memang ada, tetapi biarlah kita diberi mandat terlebih dahulu. Saya tidak mahu membuat terlalu banyak janji kerana akhirnya rakyat akan menilai apa yang dilaksanakan” katanya.
Mohd. Fairuz berkata, sasaran utama gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan adalah memperoleh sekurang-kurangnya jumlah kerusi yang mencukupi untuk membantu parti itu membentuk kerajaan negeri.
“Yang penting ialah mendapat mandat untuk membentuk kerajaan bersama.
“Berapa jumlah kerusi yang akan dimenangi, saya tidak mahu membuat sasaran yang terlalu spesifik kerana kempen masih di peringkat awal,” katanya.
Mohd Fairuz berdepan saingan daripada Yaacob Mahmood (Pakatan Harapan) dan Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh (Bersatu).
Beliau memenangi kerusi DUN Serting pada pilihan raya lalu dengan memperoleh 10,312 undi, sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Muhamad Zamri Omar dengan majoriti 843 undi.-UTUSAN










