Penjawat awam wajib ceburi bidang baharu

Penjawat awam wajib ceburi bidang baharu

BAYARAN Insentif Awal Kajian SSPA akan disalurkan kepada penjawat awam pada 23 Februari ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERINGATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tahap kecekapan penjawat awam dan tenaga kerja negara perlu dipertingkatkan seiring dengan kemunculan pelbagai bidang baharu yang memerlukan kemahiran tahap tinggi bakal menjadi cabaran penting kompetensi dan kemampuan penjawat awam di negara ini.

Ironinya kerajaan dilihat sangat serius dalam hal ini apabila bersetuju memperuntukkan antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi tujuan melatih penjawat awam sebagai inisiatif untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran dalam pelbagai bidang baharu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed telah diminta untuk mengenal pasti penjawat awam yang layak dihantar mengikuti program latihan yang bersesuaian bagi memenuhi permintaan serta keperluan semasa dan masa hadapan terutama berkaitan bidang transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga, komunikasi, pertanian dan teknologi makanan, keselamatan siber, ketenteraan, kepolisan serta banjir.

Kelompok yang disenarai pendek ini dilaporkan akan menerima latihan dan pendedahan sama ada di syarikat swasta atau universiti terkemuka dengan menjalani kursus khas antara enam bulan hingga setahun.

Langkah strategik kerajaan ini dilihat bakal mewujudkan bank bakat yang berkualiti dan berkemahiran sekali gus mengurangkan kebergantungan kita kepada konsultan atau kepakaran asing yang lazimnya menelan kos perbelanjaan yang tinggi serta kemungkinan besar tidak sesuai serta sukar dipraktikkan dalam persekitaran tempatan secara sepenuhnya.

Penjawat awam menjadi harapan kerajaan perpaduan untuk memikul tanggungjawab melaksanakan pelbagai dasar, polisi dan inisiatif yang diperkenalkan bagi memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Secara prinsipnya tiada siapa boleh menafikan peranan penjawat awam yang sekian lama menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan. Namun dalam era pascapandemik, keadaan ekonomi serta geopolitik negara dan dunia yang agak tidak menentu, peranan penjawat awam dilihat semakin berat, kompleks dan mencabar.

Jujurnya dalam situasi negara berdepan dengan persekitaran dunia yang dilatari pergolakan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA), kita memerlukan penjawat awam yang kompeten dan kalis cabaran masa hadapan mencakupi elemen kreatif, efisien, berfikiran jauh serta berdaya tahan. Untuk itu, negara memerlukan kelompok penjawat awam yang berilmu, berkemahiran dan sedia berubah mengikut keperluan bagi mendepani kehendak dan tanggungjawab tugas yang diamanahkan.

IR4.0
Hakikatnya, kelulusan akademik dan pengalaman tahun bekerja semata-mata dilihat tidak cukup dan memadai, sebaliknya penjawat awam perlu terus menambah ilmu dan memiliki pelbagai lagi kemahiran yang lebih spesifik.

Misalnya letusan fenomena Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menuntut penjawat awam memiliki tahap profesionalisme yang tinggi sebagai prasyarat penting bagi merealisasikan pelbagai agenda negara seperti Malaysia Madani, Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) selain pelbagai dasar dan polisi baharu yang lain. Ini adalah cabaran terbesar kepada penjawat awam era digital dan pascapandemik.

Maka, bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap dan efisien, penjawat awam perlu melengkapkan diri dan memiliki set kemahiran yang pelbagai. Antaranya perlu mahirkan diri dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi merealisasikan agenda pendigitalan perkhidmatan awam berpaksikan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang menjadi panduan kepada agensi sektor awam bagi memacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.

Dalam konteks ini diharap penjawat awam mengambil peluang latihan yang disediakan oleh kerajaan untuk mengasah bakat dan memahirkan diri dengan pelbagai kemahiran ICT yang terkini seperti pengurusan maklumat, pembangunan sistem dan forensik ICT.

Selain itu, dalam era IR4.0 ini juga kita memerlukan penjawat awam yang memiliki kemahiran analitik data dan menguasai bidang sains data.

Tuntasnya, sektor awam perlu melahirkan lebih ramai saintis data, penganalisis data dan jurutera data. Kemahiran analitik data amat diperlukan dalam pembangunan negara kerana ia sudah mula digunakan secara meluas dalam pembuatan keputusan dan ramalan yang dibangunkan berasaskan model analisis data raya.

Ironinya, kita perlukan kemahiran seperti ini supaya sesuatu keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan data sekali gus menjadi lebih tepat, betul dan memberi manfaat kepada rakyat.

Kemahiran berkomunikasi juga perlu dititikberatkan kerana sebagai pelaksana dasar kerajaan, kelompok penjawat awam perlu bertindak sebagai jurucakap kerajaan, yakni menyampaikan mesej secara jelas dengan betul dan tepat serta dalam bahasa yang mudah difahami oleh segenap lapisan rakyat. Ini penting kerana masih berlaku pelbagai kekeliruan dan salah faham dalam kalangan rakyat apabila ada pihak sengaja memutar belit fakta berkaitan sesuatu agenda yang dibawa oleh kerajaan.

Pada masa sama, penjawat awam juga perlu memiliki ilmu dan kemahiran mencakupi soal nilai-nilai murni yang positif agar berani menolak rasuah dan bersedia membanteras sebarang salah laku yang berlaku di organisasi masing-masing. Ini penting demi membersihkan nama baik dan imej perkhidmatan awam yang sentiasa terpalit dengan soal integriti dan tadbir urus angkara segelintir penjawat awam yang tamak.

BERSEDIA
Umumnya, menimba ilmu dan menambah kemahiran baharu mengikut keperluan semasa dan masa hadapan bukan lagi satu pilihan sebaliknya semakin menjadi tuntutan wajib kepada setiap penjawat awam. Untuk itu, penjawat awam perlu bersedia untuk berubah dari segi sikap, tingkah laku, budaya, cara kerja serta sentiasa terbuka menerima persekitaran kerja yang baharu.

Dalam konteks ini setiap jabatan kerajaan perlu membuat analisis keperluan latihan kakitangan serta merangka pelan latihan sumber manusia secara lebih komprehensif. Latihan boleh dilaksanakan dalam pelbagai mod seperti kursus secara fizikal, secara dalam talian mahupun dalam bentuk program amali sangkutan di pelbagai organisasi terkemuka untuk mendapatkan kemahiran dan pengalaman secara nyata.

Justeru diharap peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya dengan cekap dan efisien kerana perbelanjaan untuk latihan sumber manusia adalah pelaburan strategik setiap organisasi untuk kekal relevan serta sentiasa bersedia mendepani cabaran mendatang. Latihan yang dilaksanakan juga tidak boleh bersifat one-off, sebaliknya perlu ada latihan susulan supaya mampu memenuhi tuntutan perubahan semasa yang semakin dinamik.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×