MUKADIMAH
TINGGAL sehari sahaja lagi menjelang lusa, hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), DATUK SERI MOHAMAD HASAN tetap optimis calon BN daripada UMNO mampu memberi cabaran sengit terhadap lawannya dari Pas mewakili Perikatan Nasional (PN).
Beliau juga mengikuti kata-kata sinis bernada angkuh daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang memandang rendah keupayaan UMNO merampas kerusi tunggal, sekali gus menidakkan pengakhiran 8-0.
“Dulu apa yang dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tak kata pada UMNO bila ramai pemimpin UMNO lompat (ke parti lain)? Kata-kata nista, cercaan dan macam-macam, tapi kami (UMNO) akur.
“Tapi hari ini, apa yang dia kata, pergi balik ke muka dia. Allah bayar cash. Ahli Parlimen dia (Bersatu) sendiri terang-terang menyatakan dalam Dewan Rakyat secara terbuka menyokong Perdana Menteri,” kata Mohamad, mesra dipanggil Tok Mat kepada wartawan Utusan Malaysia, FITRI NIZAM di Kuala Lumpur, kelmarin.
CALON BN TIADA CACAT CELA
BN mempertaruhkan calon yang tidak ada sebarang masalah, tiada cacat celanya. Itu antara faktor memudahkan jentera BN di lebih 100 cawangan di Parlimen Kemaman untuk menjual ‘produk’ kita kepada pengundi. Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah seorang pentadbir yang baik, beliau pernah jadi Panglima Angkatan Tentera, sekarang beliau Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Rugilah orang Kemaman kalau tak pilih beliau.
Jadi, pengundi di Kemaman mestilah cerdik dan bijaksana, tambahlah seorang lagi personaliti untuk diketengahkan yang boleh dibanggakan mewakili suara kita di peringkat kebangsaan.
MENANG ATAU KALAH, AHMAD SAMSURI TETAP MB
Calon Pas dan PN adalah Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri. Beliau pun bukan calon yang calang-calang tetapi tak perlulah pilih kerana beliau sudah pun jadi MB. Menang atau kalah beliau pada PRK, beliau tetap MB Terengganu. Ada ke masa beliau nak uruskan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai MB dan pada masa sama menggalas tugas ahli Parlimen di peringkat kebangsaan?
Orang kata kalau nak meniaga ini mestilah kita nak untung, apa yang untung bagi kita? Kerajaan negeri sudah ada, DUN diwakili oleh Pas dan kerajaan PN di Terengganu, jadi Parlimen Kemaman kita berilah kepada kerajaan perpaduan pula.
KEUNTUNGAN PILIH BN
Pengundi Kemaman perlu faham, empat DUN di Kemaman berada di bawah kerajaan negeri Pas dan PN, mereka akan dapat peruntukan-peruntukan negeri untuk mengurus keempat-empat DUN ini. Jadi, di Parlimen, pilihlah ahli Parlimen yang bersama dengan kerajaan Pusat, maka saluran peruntukan daripada pusat dapat disalurkan melalui Ahli Parlimen Kemaman. Bukan saja peruntukan yang disalur melalui Ahli Parlimen tetapi banyak lagi kementerian dan agensi boleh dirundingkan jika diwakili oleh ahli Parlimen yang sama dengan kerajaan Pusat. Jadi, pengundi Kemaman untung dua-dua, di Parlimen untung, di DUN pun untung. Kerajaan negeri tak akan tumbang, tak akan berubah kalau pilih kita.
UMNO MESTI KUAT UNTUK KEMBALI KE PANTAI TIMUR
Dalam pilihan raya, apa saja boleh berlaku. Di Terengganu ini umpamanya, sekejap Pas, sekejap BN, berulang, tetapi sekarang sudah dua penggal (Pas memerintah), jadi tak ada mustahilnya. UMNO di Terengganu boleh kembali semula tapi nak kembali ini bukan senang. Nak kembali semula kita perlu dilihat kuat, bukan saja perlu dilihat kuat tetapi kita mesti kuat. Kuat dari segi segala-galanya, kuat bekerja, kuat untuk menjalankan gerak kerja, menyantuni rakyat, kuat untuk kita pastikan tidak ada perpecahan dalam parti. Kadang-kadang kita kalah bukan sebab lawan kita kuat tapi sebab berpecah sesama sendiri. Ada yang mensabotaj parti, mensabotaj calon. Tak suka calon, sabotaj, lebih rela kalah daripada melihat calon yang bukan kita sukai mewakili parti.
UMNO PARTI TERAS DI MALAYSIA
UMNO ini parti teras, kebanyakan parti yang wujud selepas merdeka semuanya hasil daripada keindukan UMNO. Pas dulu pun ditubuhkan daripada Biro Agama UMNO atas perebutan jawatan Yang Dipertua UMNO (antara) Tunku Abdul Rahman dan Tuan Haji Fuad (Ahmad Fuad Hassan). Bila mereka kalah, tubuhkan Pas. Selepas itu Tengku Razaleigh Hamzah kalah (pemilihan Presiden UMNO) tubuhkan Semangat 46 tapi selepas itu kembali semula, alhamdulillah. Kemudian Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, maka tertubuhlah PKR. PKR itu kebanyakan pemimpinnya dari UMNO. Kemudian, terpecatnya Muhyiddin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti. Tubuh pula Bersatu. Itu semua asid deoksiribonukleik (DNA) UMNO. Pemimpin parti sebelah sana itu dulu semua DNA UMNO. Jelas, UMNO ini parti teras.
UMNO HANYA MAHU SELAMATKAN MALAYSIA
Yang penting bagi UMNO, bagaimana nak selamatkan negara selepas terumbang- ambing pada PRU14, tiga kerajaan bertukar tangan. Dengan (wabak) Covid-19, seluruh dunia dalam keadaan terumbang-ambing. Politik dunia terumbang ambing, ekonomi dunia memang bertambah teruk, tambah pula perang Russia-Ukraine. Sekarang krisis tentera Israel Zionis membunuh rakyat Palestin. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka dan berdagang turut terjejas.
GENCATAN SENJATA POLITIK
Sudah PRU15, sudahlah, tunggulah nanti PRU16, kita bersainglah semula. Sepatutnya selepas pilihan raya kita satukan hati, satukan matlamat supaya Malaysia boleh kekal bersaing dalam keadaan dunia tidak menentu. Bagaimana orang hendak melabur kalau siang malam kita kata negara ini nak bankrap, kerajaan nak jatuh, sentiasa meratib kerajaan nak jatuh. Siapa nak melabur dalam negara yang kerajaannya nak tumbang?
MUHYIDDIN, JAGALAH PARTI SENDIRI
Tak usahlah nak kata ahli UMNO tinggalkan UMNO, beliau kena jaga Ahli Parlimennya, jaga ahli-ahli supaya tak meninggalkan Bersatu. Jaga parti masing-masinglah, yang nak sibukkan parti orang, kenapa? Beliau dulu pun cakap begitu masa mula-mula UMNO kalah pada PRU14 tahun 2018, tapi selepas itu UMNO melonjak semula sehinggakan kelam-kabut. Dalam politik biasalah, up and down, menang kalah dalam pilihan raya itu biasa. Kita kalah kali ini, PRu16 ada lagi. Tak menang lagi, PRU17 ada lagi.
TINGGALKAN BERSATU KERANA PARTI MAKIN LEMAH
Lima ahli Parlimen PN memberikan sokongan kepada kerajaan perpaduan itu jelas menunjukkan mereka menilai kekuatan parti masing-masing sebelum membuat keputusan yang drastik sebegitu. Mereka ini orang yang sudah biasa berpolitik, season, bukan baru satu penggal jadi ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal). Dulu UMNO pun mengalami begitu selepas PRU14, berbondong-bondong ahli Parlimen UMNO melompat, tetapi UMNO tak ada pun masalah. – UTUSAN










