Hanya sistem cukai yang kukuh akan percepat pemulihan ekonomi

Hanya sistem cukai yang kukuh akan percepat pemulihan ekonomi

RAKYAT mengharapkan kerajaan untuk membangunkan dan memperbaharui sistem percukaian kepada yang lebih mampan dalam jangka masa pendek dan panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN ke atas sistem cukai negara boleh dibuat dengan meminda undang-undang dan peraturan percukaian. Matlamat perubahan sistem cukai adalah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, perlindungan ke atas alam sekitar dan membasmi kemiskinan.

Pembaharuan boleh mengubah struktur sistem cukai kepada yang lebih baik dalam mencapai objektif percukaian negara.

Kajian menunjukkan bahawa sistem cukai yang baik perlu terdiri daripada elemen kesederhanaan (simplicity), kepastian (certainty) dan kestabilan (stability). Penggubal undang-undang harus mengambil kira dan mengutamakan elemen-elemen ini apabila terlibat dalam pembaharuan cukai.

Fungsi utama sistem cukai dalam ekonomi adalah untuk mengumpul dana, mengagihkan kekayaan dan mengawal tingkah laku. Contohnya melalui pengenaan duti eksais ke atas rokok.

Untuk melaksanakan fungsi ini, perundangan cukai, kes undang-undang dan garis panduan menjadi sumber rujukan utama. Perbezaan latar belakang pembayar dan pengamal cukai dari segi pendidikan, budaya dan pengalaman akan menghasilkan perbezaan pemahaman terhadap undang-undang dan peraturan berkaitan cukai di tambah pula dengan isu penglobalisasian dan pendigitalan yang mana akan merumitkan lagi sistem cukai sesebuah negara.

Sistem cukai yang mudah dan tidak sukar akan memberi manfaat dan faedah kepada pentadbir dan pembayar cukai. Ia termasuk pengurangan kos pentadbiran dan meningkatkan kestabilan serta akauntabiliti dalam sistem cukai.

Teknologi adalah penting untuk memudahkan sistem cukai menyediakan perkhidmatan elektronik seperti pemfailan, pembayaran dan komunikasi. Di samping itu, pendigitalan dalam pentadbiran cukai akan menghapuskan birokrasi dalam sistem cukai yang dapat meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan pengurangan kos operasi.

Undang-undang cukai yang mudah difahami akan mengurangkan kekaburan dan konflik dalam perundangan dan kesukaran boleh dikurangkan seminima yang mungkin.

Kepastian memainkan peranan penting dalam sistem ini kerana semua pihak berkepentingan iaitu kerajaan, pentadbir dan pembayar cukai boleh menguruskan bajet dan rancangan kewangan masa depan mereka dengan teratur dan berkesan. Kepastian menghasilkan ramalan dan anggaran yang betul dalam menentukan pendapatan dan perbelanjaan.

Berbeza dengan ketidakpastian, ia meletakkan pembayar cukai pada kedudukan yang sukar dalam menentukan anggaran liabiliti cukai mereka. Tambahan pula, ia boleh menyebabkan konflik yang boleh meningkatkan kos menjalankan perniagaan.

Ketidakselarasan atau ketidakseragaman dalam tafsiran undang-undang cukai dalam kalangan pengamal mahupun pembayar cukai akan menyebabkan pembaziran sumber seperti masa dan wang dalam penyelesaian masalah percukaian.
Dalam jangka masa panjang, ia akan memberi kesan yang negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

KOMPROMI
Dalam menangani isu ketidakpastian dalam sistem cukai, terdapat keperluan untuk penggubal undang-undang dan pembayar cukai untuk berkompromi antara satu sama lain dalam menyelesaikan konflik yang timbul. Penggubal undang-undang boleh menimbangkan keperluan pembayar cukai semasa merangka perundangan.

Sementara pentadbir cukai hendaklah menggubal perundangan berasaskan kepada garis panduan yang telus dan jelas. Pentadbir cukai harus mengamalkan ketekalan apabila membuat keputusan cukai dengan pembayar cukai.

Sebarang prasangka dalam keputusan cukai akan memberi persepsi negatif kepada orang ramai dan mengurangkan keyakinan mereka terhadap sistem cukai.

Sistem cukai yang stabil akan membolehkan pembayar cukai membuat anggaran belanjawan dan rancangan kewangan dalam jangka masa atau untuk tempoh yang lebih lama. Sebagai contoh, jika kadar cukai korporat kekal tidak berubah untuk lima tahun akan datang akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk membuat keputusan dalam pelaburan.

Kadar cukai yang stabil adalah sangat penting bagi pelabur tempatan dan asing untuk melabur dan merangsangkan ekonomi negara.

Kadar dan kestabilan asas cukai mempunyai kesan langsung kepada kos pematuhan oleh pembayar cukai. Hal ini akan menyebabkan kos pematuhan yang lebih tinggi berbanding dengan perubahan yang tidak begitu kerap.

Penggubal undang-undang perlu mempunyai rancangan yang betul dalam pembaharuan cukai bagi memastikan ia dapat mencapai objektif cukai negara dan memberi impak minimum kepada pembayar cukai.

Melalui penggunaan teknologi dalam pentadbiran cukai seharusnya menghasilkan kecekapan dan keberkesanan yang lebih baik dalam sistem cukai. Ia sepatutnya meringankan dan bukannya membebankan pembayar cukai. Pembayar cukai harus diberi masa yang mencukupi untuk menyesuaikan perubahan dalam pentadbiran cukai seperti perkhidmatan elektronik. Selain itu, pendidikan cukai struktur perlu disampaikan kepada pembayar cukai.

Perkembangan pesat dalam teknologi dan cabaran pandemik Covid-19 menyebabkan sistem cukai menjadi sangat penting sebagai satu alat untuk pemulihan ekonomi. Rakyat mengharapkan kerajaan untuk membangunkan dan memperbaharui sistem itu kepada yang lebih mampan dalam jangka masa pendek dan panjang.

Jangkaan itu memerlukan kerajaan mengimbangi pengumpulan dana dan mengagihkan semula kekayaan dalam sistem cukai. Pembaharuan dan membangunkan sistem cukai yang kukuh akan memudahkan ekonomi pulih lebih cepat.

Kesederhanaan, kepastian dan kestabilan adalah tiga prinsip utama yang saling bergantung antara satu sama yang lain. Jika sistem itu tidak mudah, kesannya adalah akan wujud permintaan untuk perubahan dan seterusnya boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Sistem cukai yang baik akan menghasilkan kemakmuran ekonomi. Ia memberi manfaat kepada kerajaan dari segi meningkatkan hasil dan pelabur dalam persekitaran yang kondusif untuk menjalankan perniagaan.

Yang penting, ia memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan dengan mengagihkan semula kekayaan dan menikmati kemakmuran ekonomi bersama-sama.-UTUSAN

 

DR. M. Munusamy ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×