MUKADIMAH
BERUSIA 41 tahun, NIK NAZMI NIK AHMAD, menteri paling muda dalam barisan pimpinan kerajaan perpaduan, dilihat mengambil langkah berani membuat perubahan dasar walaupun bersifat tidak popular.
Setahun memegang portfolio Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), beliau menterjemahkan hasrat kerajaan Madani untuk merasionalisasi subsidi dan ia dimulakan di kementeriannya untuk menarik subsidi elektrik daripada golongan mahakaya, dan terkini bakal menyokong semua kerajaan negeri untuk menyemak tarif air pula.
“Walaupun tak popular, tapi perlu laraskan subsidi dengan kaedah bersasar, bukan pukul rata supaya kita dapat gunakan peruntukan tersebut untuk mereka yang sepatutnya.
“Subsidi untuk orang kaya terlalu banyak, jadi perlu pendekatan baharu dan di kementerian saya dah mulakan tarif elektrik yang mana kita dapat bantu mengangkat martabat rakyat,” jelas Ahli Parlimen Setiawangsa ini kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHD. HUSNI MOHD. NOOR serta jurugambar MOHD. FAISOL MUSTAFA di pejabat beliau di Putrajaya, baru-baru ini.
Beliau turut berkongsi tekadnya dalam pemeliharaan alam sekitar dan tindakan kementerian dalam menangani bencana dalam mengurangkan impak kepada penduduk.
TEBATAN BANJIR
UTUSAN: Kerajaan memperuntukkan RM725.7 juta bagi melaksanakan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah Dengkil yang dijangka siap 2027. Ini bermakna penduduk perlu menghadapi bencana ini empat tahun lagi?
NIK NAZMI: Sebagai tindakan penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan impak banjir kepada penduduk, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menempatkan dua unit pam bergerak di Kampung Seri Tanjung dan Taman Delima bagi mengepam air keluar sekiranya berlaku banjir.
Selain Dengkil, peruntukan sebanyak RM2.5 bilion diluluskan kepada JPS di bawah Rolling Plan 4 (RP4) melibatkan 271 projek tebatan banjir di seluruh negara.
Sebanyak 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksana dengan kos RM11.8 bilion. Sehingga bulan ini, sebanyak enam Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan bagi 24 projek itu membabitkan kos keseluruhan RM5.1 bilion.
Kita juga ada projek-projek kecemasan menjelang Monsun Timur Laut yang biasa kita buat bermula pertengahan tahun sekitar RM100 juta lebih kepada kerja-kerja pembersihan atau membaiki tebing sungai, itu kerja kecil tapi memberi impak besar dan kesan segera.
PERSIAPAN BENCANA TANAH RUNTUH, KEPALA AIR
Berdasarkan rekod tanah runtuh yang diterima oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sepanjang Fasa Peralihan Monsun dan Monsun Timur Laut sehingga kini iaitu dari 19 September 2022 hingga 7 Februari 2023, terdapat 95 kejadian tanah runtuh direkodkan di seluruh negara, tidak termasuk kawasan jalan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lebuh raya di bawah konsesi.
Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 27 kejadian tanah runtuh diikuti Sarawak (17), Selangor (14), Pahang (13), Terengganu dan Negeri Sembilan (6), Perak (5), Johor (3) serta Kelantan dan Melaka (2).
Sebagai langkah kesiapsiagaan serta kerjasama agensi di bawah NRECC dan kementerian lain yang berkaitan, tindakan dijalankan oleh JMG seperti berikut:
Penilaian dan pemantauan bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing
JMG mengenal pasti sebanyak 31 lokasi hotspot tanah runtuh di seluruh negara, antaranya kawasan-kawasan yang terdedah kepada ancaman tanah runtuh dan sentiasa dipantau adalah di Pahang (Cameron Highlands, Bukit Fraser).
Di Selangor (Bukit Antarabangsa, Hulu Langat, Kuala Kubu Bharu), Kedah (Gunung Jerai, Baling), Pulau Pinang (Tanjung Bungah, Paya Terubong), Negeri Sembilan (Genting Peras, Jalan Seremban-Simpang Pertang), Perak (Ipoh, Kledang), Terengganu (Aring, Kuala Berang, Kenyir), Kelantan (Lojing, Gua Musang), Johor (Gunung Pulai), Sarawak (Miri, Kapit, Bau) dan Sabah (Kota Kinabalu, Kundasang, Sandakan).
Pemantauan cerun kritikal.
Pemantauan di 254 lokasi cerun kritikal seluruh negara (selain cerun di bawah JKR dan konsesi lebuh raya) dijalankan secara berkala yang mana sejumlah 104 daripadanya diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi yang berpotensi berlakunya bencana geologi tanah runtuh.
Laporan pemantauan tersebut disebarluaskan kepada pihak berkuasa tempatan terlibat dan agensi/jabatan teknikal berkepentingan bagi membantu dalam penyelenggaraan dan mitigasi cerun. Maklumat cerun kritikal juga dikongsi kepada agensi responder sebagai persediaan menghadapi bencana geologi.
Program pemerkasaan komuniti berkonsepkan pengurusan risiko bencana geologi berasaskan komuniti (CBDRM).
Dilaksanakan di empat lokasi hotspot tanah runtuh yang terletak di kawasan penempatan, taman eko-rimba dan hutan simpan di Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah.
Program CBDRM ini disertai lebih 900 peserta terdiri daripada pemimpin tempatan, komuniti dan murid sekolah bersama agensi berkepentingan peringkat daerah.
Pengaktifan pasukan respons bencana geologi JMG
Berikutan amaran permulaan Monsun Timur Laut yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula 11 November lalu, pasukan respons bencana geologi JMG di setiap negeri diaktifkan dan dalam keadaan siap siaga memantau serta melaporkan kejadian tanah runtuh terkini serta menilai dan kemas kini status Zon Bahaya Bencana Geologi kepada pasukan penyelamat.
PEMANTAUAN KAWASAN BUKIT, GUNUNG
Susulan kejadian bencana geologi aliran puing di kawasan gunung/bukit seperti Gunung Jerai di Yan (18 Ogos 2021), Sungai Kupang di Baling (4 Julai 2022) dan Kenyir di Hulu Terengganu (27 Februari 2022) serta taman-taman eko-rimba (Disember 2021), JMG menjalankan pemetaan dan penilaian bahaya dan risiko bencana aliran puing di kawasan-kawasan tersebut secara berperingkat mengikut keutamaan.
Dalam hal ini, pembangunan sistem amaran awal (EWS) dan pemasangan tolok hujan dilaksanakan di Gunung Jerai, Yan, Kampung Dumpiring Atas, Kundasang dan taman eko rimba (iaitu Jeram Toi di Kuala Pilah; Chamang di Bentong; Lata Iskandar di Tapah; Air Menderu, Chemerong, Lata Payung di Terengganu; Bukit Hijau, Telaga Tujuh, Puncak Janing, Sungai Sedim di Kedah; Batu Maloi di Tampin; Lubuk Yu di Maran; Sungai Tua, Gombak bagi meningkatkan kesiapsiagaan komuniti setempat dalam mendepani bencana geologi.
Pelaksanaan EWS ini adalah berasaskan komuniti melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Daerah dan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemimpin tempatan serta komuniti setempat bagi memastikan pelaksanaannya lebih inklusif dan berkesan.
PEMBANGUNAN HARAM
Berdasarkan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, aktiviti pembangunan di kawasan cerun dengan kecerunan di antara 25° hingga 35° perlu menyediakan dan mendapatkan kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sekiranya permohonan dirujuk oleh pihak berkuasa kepada Jabatan Alasm Sekitar (JAS).
Pelaksanaan projek adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa yang meluluskan. Di bawah pemantauan JAS, pada 2022 terdapat 56 laporan EIA bagi aktiviti berkaitan pembangunan di kawasan cerun projek diterima JAS.
ISU AIR 33 TAHUN KELANTAN
Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kerajaan negeri Kelantan minta RM8 bilion untuk atasi isu bekalan air di negeri itu. Kalau kita lihat peruntukan itu bersamaan lebih kurang keperluan 3,000 juta liter sehari, sedangkan Kelantan memerlukan sekitar 700 juta liter sehari. Mereka minta luar biasa banyaknya melebihi keperluan populasi.
Masalah bekalan air di Kelantan ialah di utara, Kota Bharu, Rantau Panjang, Tumpat iaitu di kawasan padat. Kalau dapat selesai di situ, banyak masalah air di Kelantan dapat diselesaikan. Kita ada loji rawatan air di Machang dalam proses pembinaan. Kerajaan juga akan bantu mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW) bekalan air terawat yang tidak sampai kepada pengguna. Kita akan mula salurkan peruntukan dalam RM300 juta terlebih dahulu untuk mengatasi masalah air, ia dalam proses akhir mekanisme penyaluran.
Isu pokok juga soal tadbir urus Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB). Kita akan terus pantau perkara tersebut. Selain pembinaan loji, kadar air NRW ini turut menjadi masalah termasuk di seluruh negara apabila paip-paip lama tidak digantikan.
Kelantan antara paling serius apabila lebih 50 peratus air terawat tidak dibilkan iaitu tidak sampai ke akaun pengguna sama ada dicuri, bocor atau meter tak berfungsi. Jadi, bila tak dibilkan, maknanya rugilah. NRW ini di peringkat nasional puratanya adalah 35 peratus. Selangor dan Johor antara terbaik sekitar 26 peratus, tetapi ada negeri lain mencapai 60 peratus.
KELEMAHAN TADBIR URUS AKSB?
Sebahagian kelemahan di peringkat AKSB. Terdapat dua projek perolehan dikenal pasti diberi tender secara terus. Ketika Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi menteri pun tidak setuju perkara ini. Tetapi mereka buat rayuan dengan alasan projek itu sudah berjalan. Jadi, atas kuasa menteri, dia lepaskan dua kes ini.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak menyokong kes ini kerana sepatutnya perlu ada kompetitif tender. Bagaimanapun AKSB ini di bawah kerajaan negeri. Kita akan melihat semua aspek di bawah undang-undang yang ada ruang untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) atau kerajaan Pusat campur tangan, tetapi kita berbincang dulu untuk selesai cara baik.
PEMIMPIN MUDA PKR TIDAK MENYERLAH?
Bagi saya, itu perkara biasa dibanding-bandingkan. Saya ingat waktu saya pimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 2014, pada awalnya bukan mudah kerana orang bandingkan pada zaman Ezam Mohd. Nor, iaitu gerakan awal reformasi.
Tapi lepas itu bila Anwar masuk penjara pada 2015, saya terlibat gerakan seperti Black 505, masuk keluar lokap, turun naik mahkamah.
Paling penting bagi saya, setiap pimpinan sayap mesti bergerak dalam konteks. Ini kali pertama ada Perdana Menteri dalam PKR. Ketua AMK ialah timbalan menteri, timbalan ketua AMK pula setiausaha politik kepada Menteri Kewangan. Itu jawatan besar. Jadi, mungkin konteks nak bergerak kena ikut keadaan, bukan lagi nak turun protes.
Namun, kita tahu kemampuan tokoh macam Adam Adli Abd. Halim (Ketua AMK), dia pemimpin pelajar. Dia popular waktu mula muncul dahulu. Saya menaruh keyakinan AMK mampu meneruskan tradisi yang kita ada.
Pada 2008, saya, Chang Lih Kang, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Amirudin Shari, kami muncul pada ketika parti tidak cukup calon. Waktu itu saya tidak ada plan nak jadi calon umur 26.Sekarang berbeza, orang beratur panjang (jadi calon).
Walaupun konteks kepimpinan dahulu dan kini sedikit berbeza, namun tidak boleh jadikan alasan kerana rakyat akan menilai dan kita ada cabaran besar untuk memenangi Undi18 yang mana kita tidak menang pada pilihan raya umum lepas yang mana kebanyakan mereka pergi ke Perikatan Nasional (PN). Jadi, ini perlu menjadi tugas pimpinan AMK yang ada dan mereka kena pandai.
Saya tak boleh cakap banyak sebab tak muda lagi. Saya empat penggal jadi Yang Berhormat (YB). Jadi, kena cari pendekatan relevan untuk anak muda hari ini. Itu tugas mereka.
PKR TANDUS PEMIMPIN MUDA?
Tidak, kita punya pendekatan awal di bawah pimpinan parti Anwar. Rafizi Ramli umur 46 tahun, naib-naib presiden seperti Lih Kang, 43; saya, 41, Nurul Izzah, 43; Amirudin, 43; Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil, 42. Memang hampir semua alumni AMK. Kita ada satu kekuatan di situ.
Jadi, AMK hari ini menjadi benchmark mereka mungkin. Kena ada konteks dan cipta jalan sendiri, saya yakin mereka mampu menjadikan PKR segar dan mengorak langkah ambil tugas. Membina parti tak boleh hanya asyik serahkan kepada
Anwar sebab dia dah jadi Perdana Menteri yang mana bukan mudah nak jaga parti dan kerajaan, jadi kita kena bagi sokongan tersebut.
ISU MORAL JEJASKAN KERAJAAN PERPADUAN?
Bagi saya, semua tahu orang terlibat itu di peringkat Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), dia bukan orang parti dan dia telah letak jawatan dan mengambil tanggungjawab. Berbeza ada seorang menteri dahulu dalam sebuah parti, sekarang ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana waktu itu dia tak letak jawatan walaupun ada siasatan. Yang lebih penting saya rasa orang lebih tengok bagaimana kepimpinan negara yang ada hari ini.
Malaysia diiktiraf negara Islam paling lantang ketika mana negara Arab susah nak ambil tindakan lebih tegas dalam konteks mereka berhampiran Asia Barat.Malaysia memainkan peranan bawa suara lebih keras sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat teguran AS dan bersuara di depan Presiden AS. Saya ingat hanya dua pemimpin seperti itu, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sekarang Anwar. Kita negara kecil tapi suara kita besar di peringkat dunia.
Perkara kedua ialah nak lihat isu-isu ekonomi, isu periuk nasi, mereka nak tengok macam mana menyelesaikan kelangsungan hidup. – UTUSAN










