Anwar kembalikan Malaysia di mata dunia - Utusan Malaysia

Anwar kembalikan Malaysia di mata dunia

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 pada 22 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR setahun lalu, Malaysia dikenali sebagai negara yang ditadbir kerajaan tidak stabil, ekonomi tidak menentu dan mempunyai masa depan yang kurang jelas sekali gus tidak begitu aktif dalam menumpukan isu-isu antarabangsa.

Setahun kemudian, Malaysia dikenali sebagai negara yang mempunyai kerajaan stabil, menarik pelbagai pelaburan dan mempunyai masa depan yang cerah hasil usaha kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 24 November tahun lalu.

Malah, tiga minggu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar sendiri menyatakan hasrat untuk membina hubungan antarabangsa yang lebih jitu serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye, Stockholm, Sweden pada Januari tahun ini membuka laluan kepada Anwar untuk tampil ke depan mengecam tindakan tersebut dan menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera.

Beliau juga membalas tindakan itu dengan mengarahkan pengedaran satu juta al-Quran di seluruh dunia yang dianggapnya sebagai cara paling efektif untuk menjawab tindakan biadab tersebut dalam usaha untuk menangani Islamofobia.

Sejak itu, dasar hubungan antarabangsa Anwar banyak tertumpu kepada soal Islamofobia, penindasan kaum, konflik peperangan, bantuan kemanusiaan dan perdamaian dengan negara lain.

Peranannya dalam bantuan kemanusiaan mula terserlah apabila menyalurkan sumbangan sehingga RM20 juta bagi membantu mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria, menghantar dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), membina hospital medan dan turut berlepas ke Turkiye bagi memberi sokongan moral kepada Presidennya, Reccep Tayyip Erdogan.

Anwar turut membangkitkan segala konflik yang wujud dalam kalangan negara-negara ASEAN, antaranya krisis pelarian Rohingya di Myanmar, peranan Filipina dalam menjamin kedamaian di Mindanao, menangani isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara, isu sempadan di Laut Sulawesi dan isu jerebu rentas sempadan dengan Indonesia.

Bukan itu sahaja, dalam isu tuntutan kumpulan Sulu, Anwar bertegas akan menghalang apa-apa usaha dan tuntutan yang tidak sah dan sia-sia terhadap kerajaan menerusi mana-mana mahkamah di luar negara susulan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague dan Mahkamah Rayuan Paris.

Beliau memberi jaminan akan terus melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara serta menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan tersebut.

Soal kedaulatan negara di perairan Laut China Selatan juga dipertahankan Anwar walaupun berdepan ancaman dan pencerobohan terutama susulan tuntutan China menerusi peta baharunya yang melangkaui kawasan maritim Sabah dan Sarawak.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 menjadi kemuncak usaha Anwar dalam mengetengahkan pendirian Malaysia berhubung isu global dan peluang meningkatkan profil negara di persada antarabangsa.

UGUTAN

Di pentas itu, beliau bertindak mengecam konflik Ukraine-Russia, menyentuh isu Islamofobia, perubahan iklim, pelarian Rohingya di Myanmar serta memperkenal konsep Malaysia Madani serta sempat menyampaikan khutbah Jumaat di New York dan berkongsi pengalaman dalam menguruskan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Walaupun sering menyatakan pendirian jelas terhadap pelbagai isu antarabangsa, Anwar tidak pernah menyatakan kecenderungannya kepada mana-mana pihak dan beliau sendiri enggan memihak mana-mana kuasa besar sama ada Amerika Syarikat (AS) atau China sebaliknya menyifatkan Malaysia negara berdaulat dan bebas dari pengaruh luar.

Bagaimanapun, kecenderungannya terhadap Palestin tidak pernah berubah dan apabila tercetusnya serangan Israel di Semenanjung Gaza bulan lalu, beliau mengambil tindakan dalam setiap peringkat, baik dalam negara mahupun luar negara.

Dalam negara, kerajaan menyalurkan dana RM1 juta serta-merta kepada tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), dengan Anwar memberi jaminan akan menyalurkan lebih RM100 juta, beliau juga mengadakan himpunan solidariti serta menghantar bantuan asas hasil sumbangan rakyat Malaysia sebanyak 50 tan ke Semenanjung Gaza.

Di luar negara, Anwar mengadakan perbincangan dengan pemimpin dunia Islam termasuk Erdogan dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman serta negara-negara lain termasuk menyatakan pendirian tegas dalam Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC-ASEAN) bagi mencari solusi terbaik untuk meredakan ketegangan di Palestin.

Walaupun usahanya mendapat sokongan pelbagai pihak, ia juga dibalas dengan ancaman dan ugutan daripada negara tertentu kerana pendirian yang tidak selari ekoran sering lantang mengkritik sikap berat sebelah AS dan Eropah terhadap konflik Palestin dan Israel.

Jelas bahawa dasar luar negara Anwar cenderung kepada menyelesaikan isu Islamofobia, pertikaian, penindasan kaum, konflik peperangan, kemanusiaan dan perdamaian dengan negara lain. Malah, Anwar akan sentiasa memihak kepada pihak yang tertindas namun tidak akan sesekali memihak mana-mana kuasa besar.

Sebab itu, apabila diminta untuk menarik diri daripada Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di California, AS dari 12 hingga 18 November ini, beliau tetap mahu hadir. Bukan kerana mahu memihak kuasa besar tapi bagi menunjukkan pendirian sebenar Malaysia di mata dunia.

Kesimpulannya, segala tindakan Anwar adalah menyamai dengan apa yang dinyatakan oleh Pensyarah Perhubungan Antarabangsa di Universiti Selangor, Ismail Hashim Yahaya sejurus selepas beliau dilantik ke jawatan Perdana Menteri iaitu berbekalkan dasar luar berkecuali akan membolehkan Anwar mengemudi dunia Selatan dan Islam menuju ke arah multipolariti antarabangsa yang lebih manusiawi dan ihsan.

Multipolariti antarabangsa bermaksud negara kuasa besar tidak boleh memaksa pengaruh dan ideologi serta menakut-nakutkan negara mundur, miskin serta sedang membangun supaya mengikut telunjuk mereka.

Sebaliknya ia memberikan kebebasan kepada negara dunia, khususnya negara Selatan membentuk kedaulatan sendiri dalam menentukan dasar luar. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN