Amankah dunia jika ditadbir orang muda sepenuhnya? - Utusan Malaysia

Amankah dunia jika ditadbir orang muda sepenuhnya?

ADA yang berkata memang fitrah orang muda bersikap suka memberontak dan melawan autoriti. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA berkembang pesat. Kita akan ketinggalan jika gagal berubah dan bergerak selari dengan kemajuan sejagat. Kita kini melihat ke arah pendidikan masa depan.

Tidak dapat dinafikan bahawa anak muda lebih mahir dalam bidang ini kerana mereka membesar dalam era kemajuan teknologi. Inilah dunia mereka, sedangkan generasi terdahulu membesar dan hidup dalam dunia yang sangat berbeza.

Maka, adakah ini bermakna anak muda lebih hebat dan pintar? Malah, terdapat sebahagian anak muda yang merasakan orang lama sudah ketinggalan zaman. Zaman moden memerlukan idea baharu. Negara harus dipimpin oleh orang muda yang lebih kompetitif dan bertenaga. Orang muda lebih memahami kehendak dunia dan didakwa lebih bersih. Namun, benarkah begitu?

Adakah dunia yang sedang bergolak ini akan menjadi lebih aman dan sejahtera jika bermula esok kita serahkan dunia ini untuk ditadbir sepenuhnya oleh anak muda? Akan tercapaikah hasrat kita untuk melihat tiada lagi peperangan, kemusnahan alam sekitar, keganasan serta salah laku dalam kalangan mereka yang berkuasa?

Presiden pertama Republik Indonesia, Sukarno pernah berkata, “Beri aku 1,000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda nescaya akan kugoncangkan dunia.” Petikan ini sering diungkapkan pelbagai pihak bagi menggambarkan kehebatan, kekuatan tenaga dan semangat anak muda sehingga boleh menggoncang dunia.

Bagi saya, petikan ini mempunyai maksud yang lebih mendalam daripada maksud tersuratnya. Mengapakah Bung Karno merujuk kepada Semeru dicabut dalam kata-katanya, “…nescaya akan kucabut semeru dari akarnya”? Sudah tentulah ada sebabnya. Kita maklum, sebagai gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, Semeru melambangkan kehebatan.

Melihat dari sudut metaforanya, untuk mencabut sebuah gunung berapi segah Gunung Semeru daripada puncanya adalah lebih rumit berbanding menggoncang dunia semata-mata. Malah, sekiranya dunia digoncang dengan kuat sekalipun, Gunung Semeru tidak akan tercabut dengan sendirinya daripada bahagian lapisan bawah kerak bumi.

Menggoncang dunia memerlukan kudrat dan tenaga yang kuat tetapi untuk mencabut Gunung Semeru bersama akarnya, kita memerlukan kepakaran, kebijaksanaan dan kesabaran. Jika benar ini maksud tersiratnya, memang tepat sekali analogi yang dipilih Bung Karno bagi menggambarkan kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh kedua-dua generasi ini.

Anak muda mampu bergerak lebih pantas serta lebih kuat tenaganya. Malah, kerana sifatnya yang suka bergerak pantas, kadangkala mereka bertindak dahulu, barulah terfikir untuk berfikir akan kesan daripada langkah yang telah mereka ambil. Kata orang, anak muda tentulah berdarah muda, maka jiwa mereka sentiasa panas membara.

DARAH MUDA
Kamus Dewan Perdana mentakrifkan “darah muda” sebagai “sifat cepat marah yang ada pada orang muda”. Di dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara, istilah ini juga ditakrifkan sebagai “mudah bereaksi dan bertindak tanpa memikirkan lebih dahulu akibatnya”.

Ada yang berkata memang fitrah orang muda bersikap suka memberontak dan melawan autoriti. Namun, kita insan beragama, dan agama mengajar manusia akhlak yang baik, bukannya sikap anarkis serta melanggar undang-undang. Tiada peruntukan undang-undang yang menghalalkan anak muda melakukan kekerasan.

Jelas sekali, semangat kental membara orang muda menjadikan mereka berani mengambil risiko dan amat progresif. Ini membuatkan mereka lebih inovatif, kreatif serta berfikir di luar kotak dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah.

Masalahnya, pada masa yang sama, belia suka bertindak mengikut gerak hati tanpa membuat perhitungan yang sewajarnya. Darah muda itu ibarat api yang membara, kecil-kecil menjadi kawan, tetapi besar-besar ia akan berubah menjadi musuh jika tidak dibendung dengan bijaksana.

Belia selaku generasi pelapis mestilah cekal dalam menempuh dugaan. Janganlah kita cuma mengharapkan laluan beralaskan baldu dan sutera semata-mata. Manusia perlu berusaha keras agar dapat mengasah diri menjadi insan yang lebih hebat. Usaha ialah tangga kejayaan, tiada jalan yang mudah untuk berjaya.

Pesan salah seorang pensyarah undang-undang saya, Dr. Tahir Sabit, dalam kerja berkumpulan, jangan kita berdiam sekiranya terdapat rakan-rakan sekumpulan yang mengambil kesempatan. ‘Penunggang percuma’ ini harus dibuang keluar daripada kumpulan.

Jika mereka tidak mahu berubah, mereka berhak untuk gagal di dalam peperiksaan. Mungkin kegagalan itulah cara terbaik agar mereka dapat berubah dan belajar berusaha melaksanakan tanggungjawab.

Mencari keserasian serta berusaha merapatkan jurang antara generasi adalah integral untuk memastikan negara boleh bergerak pada landasan yang betul. Di sinilah pentingnya bagi kita semua mengamalkan sikap terbuka untuk menerima dan menghormati kelebihan masing-masing.

Orang muda harus didengari, diberi peluang serta tunjuk ajar. Alangkah ruginya jika anak muda diperlakukan seperti kisah Hang Nadim. Pada masa yang sama, anak muda mesti bersifat rendah diri serta menghormati yang lebih dewasa. Kita harus menghindari daripada bersikap kera sumbang, mementingkan diri sendiri dan bersikap angkuh.

Jika ingin menegur pemimpin, tegurlah dengan konstruktif. Tiada hasilnya kepada sesiapa jika apa yang kita lakukan hanyalah sekadar mengangkat sepanduk menuduh pihak lain sebagai tidak kompeten.

Sekadar menyatakan sebegitu tanpa dapat membawa penyelesaian tidak lebih daripada membakar air mencari abu. Memimpin negara bukan setakat bercakap kosong, mengangkat sepanduk, mencari salah lawan, memfitnah dan bergaduh di Parlimen.

Belia merupakan pelapis yang bakal menggalas tanggungjawab bukan sahaja untuk memajukan negara tetapi juga bagi mendidik anak bangsa yang bakal mewarisi negara kelak. Jika belia hari ini dibiarkan menjadi generasi gagal, bagaimana pula nasib generasi-generasi seterusnya nanti? – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN