MUKADIMAH
CUBIT paha kanan, paha kiri pasti terasa. Itulah ibarat hubungan antara masyarakat Muslim di seluruh dunia apabila memperkatakan tentang isu Palestin. Malah, isu ini menjadi salah satu perjuangan umat Islam dan bukan sekadar isu membabitkan penduduk di negara berkenaan semata-mata.
Apatah lagi dengan melihat kekejaman yang dilakukan Israel ketika ini pasti membuatkan umat Islam tanpa mengira latar belakang bangkit membela mereka yang ditindas.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Duta Palestin ke Malaysia, WALID ABU ALI yang menceritakan lebih lanjut kisah perjuangan penduduk di negara berkenaan yang kini berdepan kekejaman tentera Israel. Turut membantu jurugambar SYAKIR RADIN dan MOHD. FIKRI FADZIL.
SOKONGAN MALAYSIA
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana anda melihat sokongan Malaysia dan negara di rantau Asia Tenggara terhadap perjuangan rakyat Palestin?
WALID: Sokongan rakyat Malaysia tidak boleh dipertikai dan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan kami. Malah tiada siapa yang boleh menafikan sokongan penuh yang diberikan Malaysia terhadap Palestin lebih-lebih lagi apabila bersolidariti secara konsisten yang ditunjukkan sebelum ini lagi.
Itu belum lagi pengaruh Malaysia di rantau Asia Tenggara yang begitu kuat, mampu menarik sokongan di samping memberi pemahaman kepada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan atau ragu-ragu dengan perjuangan rakyat Palestin.
Ada banyak negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai hubungan baik (dengan Malaysia) dan juga berpengaruh. Malaysia boleh meyakinkan negara tersebut untuk membantu memberi sokongan kepada kerajaan Palestin.
SEKATAN DAN PROPAGANDA ISRAEL
Apakah bantuan yang amat diperlukan Palestin pada masa sekarang?
Buat masa sekarang, situasi di Gaza terlalu teruk. Tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Sebenarnya rakyat Palestin perlukan semua keperluan. Tapi masalah paling besar dan utama di sana adalah sekatan yang dilakukan oleh Israel di sempadan pintu masuk.
Malah Israel telah memotong segala kemudahan termasuk bekalan elektrik, air dan keperluan perubatan. Jadi, kita perlukan semua barang-barang berkenaan.
Keperluan-keperluan ini untuk menampung kecederaan yang dialami lebih 12,000 orang setakat ini. Angka ini akan terus meningkat sekiranya serangan berterusan. Malah jumlah kematian setakat ini sudah mencecah lebih 2,000 orang. Bangunan juga begitu. Banyak yang musnah. Boleh dikatakan tiada siapa yang terlepas termasuk wartawan. Dan setakat ini jumlahnya sudah mencecah 13 orang.
Kemudahan penting turut dimusnahkan. Sebanyak 18 sekolah musnah manakala 371 keluarga secara keseluruhan dibunuh. Apa yang berlaku di sana memang satu bencana besar.
Hampir 500,000 sudah diarah tinggalkan Gaza. Masalahnya apabila rakyat Palestin berpindah, ada pula yang menyerang dan bunuh mereka. Sehingga beberapa minit sebelum sesi wawancara ini pun, masih terdapat lagi serangan di sana.
Untuk pengetahuan awak, tiada rakyat Palestin yang kebal daripada serangan Israel dan tiada satu inci pun di Gaza yang selamat buat masa ini kerana semua sudut geografi di sana menjadi sasaran sekarang.
Situasi memang sukar dipercayai.Rakyat sengsara dan cedera tapi banyak komuniti antarabangsa yang masih senyap, melihat dan tidak berbuat apa-apa apabila Israel menyerang Palestin serta berlaku pembunuhan beramai-ramai tanpa mengira wanita atau bayi. Sekarang saya mahu bertanya adakah mereka semua ini yang terbunuh ialah pejuang Hamas?
Propaganda Israel buat masa sekarang kalau kita lihat cuba meyakinkan komuniti antarabangsa dan negara Barat bahawa mereka sedang memerangi Hamas. Ini terbukti tidak benar. Jadi, kita semua perlu bangun menjadi lebih adil terutama mereka yang percaya kepada hak kebebasan, keadilan dan demokrasi perlu menerima bahawa pencabulan undang-undang antarabangsa sedang berlaku
Dan seperti mana diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri Israel, Golda Meir secara terbuka membuat kenyataan Good Palestine is Dead Palestine. Ini jelas menunjukkan mereka yang tidak mahukan orang Palestin. Strategi sekarang adalah memaksa rakyat Palestin meninggalkan Gaza dan bergerak ke Mesir.
Apakah perkara yang masyarakat Malaysia perlu faham tentang pergerakan Hamas itu sendiri lebih-lebih lagi apabila masih terdapat pertikaian tentang kedua-dua organisasi berkenaan?
Hamas ditubuhkan pada 1987 dan merupakan parti politik serta boleh dikategorikan sebagai pejuang pembebasan Palestin bersama-sama dengan parti politik lain termasuk Fatah atau pejuang lain.
Kita bersatu menentang kekejaman Israel kerana mereka menyerang orang yang tidak bersalah. Kami rakyat Palestin sentiasa berusaha keras kepada pembebasan tanah air tanpa mengira Fatah, Hamas atau mana-mana kumpulan jihad Islam lain.
Kami bersatu menentang jenayah yang dilakukan Israel, negara terkuat di Asia Barat. Kebebasan bagi Palestin wajib dan kami akan pastikan Israel tidak dapat hidup dalam keadaan tenteram dan stabil selagi mana tidak mengikitraf kami.
INI BUKAN ISU HAMAS DAN FATAH
Adakah perjuangan untuk memperoleh kebebasan di Palestin sukar disebabkan konflik antara Hamas dan Fatah?
Tidak semestinya. Mesej saya mudah dan situasi di sana sama sebagaimana di Malaysia. Tidak mengira awak penyokong PKR, UMNO, Pas, DAP atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bagi saya isu utama adalah pembebasan Palestin. Isu antara Fatah dan Hamas ialah isu dalaman.
Jadi, biarkan rakyat Palestin sendiri yang menyelesaikan sebarang pertikaian atau konflik antara kedua-dua organisasi ini. Komunitii antarabangsa perlu pergi kepada isu utama iaitu penindasan yang dilakukan Israel kepada kami.
Kami mahu memastikan Israel tidak lagi menindas rakyat di sana. Apabila kami sudah bebas nanti dan tinggal dalam keadaan aman, rakyat kami yang akan membuat keputusan sama ada mahu memilih Hamas atau Fatah. Kami rakyat Palestin yang akan menentukan masa depan negara sendiri.
Persoalan terbesar bagi kami adalah bagaimana kami boleh membebaskan diri daripada kekejaman dan penindasan tentera Israel? Inilah isunya dan bukan perseteruan antara Hamas dan Fatah.
BUKAN MUDAH MASUK PALESTIN
Sekiranya ada rakyat Malaysia yang mahu ke sana dan berjuang mengangkat senjata bersama-sama, adakah kedatangan mereka dialu-alukan?
Sudah tentu. Tapi persoalannya bagaimana untuk masuk ke Palestin dengan jarak antara kedua-dua negara yang begitu jauh?
Malah penduduk negara yang berjiran dengan Palestin seperti Jordan dan Mesir pun sukar untuk masuk ke sana. Ini kerana Israel mengawal semua sempadan sama ada darat, udara dan maritim.
Semua orang perlu ingat bukan mudah sebenarnya untuk orang Muslim dari seluruh dunia pergi berjuang di sana.
Buat masa ini pada pandangan saya dan menjadi jalan terbaikadalah memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Letakkan Palestin dalam jiwa dan sanubari anda. Jangan terperangkap dalam isu pertelingkahan antara Hamas dan Fatah kerana isu berkenaan terperinci. Fokus pada isu semasa iaitu kami mahukan kebebasan. Apabila dibebaskan kelak, barulah mereka (rakyat Palestin) boleh pilih sama ada mahu Fatah atau Hamas.
Bilakah jangkaan anda bahawa konflik yang berlaku sekarang ini boleh ditamatkan?
Saya berharap masyarakat antarabangsa terus mendesak agar keganasan ini dapat dihentikan sekarang atau sepatutnya semalam.
Ini kerana pertumpahan darah dan kecederaan terus berlaku. Apabila Israel menyerang Palestin, mereka tidak memikirkan sama ada orang itu Fatah atau Hamas. Bagi mereka, semua orang Palestin dan menjadi sasaran roket Israel tanpa mengira ideologi politik.
Jadi, propaganda Israel kepada media Barat bahawa mereka sedang memerangi Hamas tidak benar. Pejuang Hamas berada di medan pertempuran dan jejak mereka sukar untuk dicari. Sebab itu, tentera Israel menyasarkan orang awam tanpa mengira latar belakang dan umur.
Adakah saudara melihat sokongan Malaysia konsisten sejak dahulu lagi atau sebaliknya?
Sokongan Malaysia sangat baik dan tidak boleh dipertikaikan sebagaimana diperkatakan. Saya pasti ia akan diteruskan. Kami tahu isu Palestin ini membawa masyarakat bersatu termasuk di Malaysia walaupun ada perbezaan dalam beberapa aspek.
Seperti saya katakan tadi, tiada siapa boleh mempertikaikan seberapa banyak sokongan yang kami terima dari Malaysia. Kami berbangga dapat mewakili Palestin di Malaysia. Saya tidak perlu mempromosikan Palestin di Malaysia kerana rakyat di sini sudah mengenali kami.
Apabila saya jumpa rakyat Malaysia dan tahu saya adalah duta, mereka peluk dan layan saya dengan berbeza, penuh kemesraan
Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Jakarta, Indonesia baru-baru ini sudah cukup memberikan mesej jelas pendirian Malaysia dalam isu membabitkan Palestin.
PERANAN OIC
Bagaimana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) boleh memainkan peranan terhadap isu membabitkan kekejaman Israel ?
Saya harap dengan perjumpaan OIC di Jeddah nanti, akan ada usaha positif ke arah yang lebih baik bagi menghentikan kekejaman Israel. Dalam tempoh dua minggu persidangan itu nanti, segala perkara berkaitan isu ini akan dirungkai dan apa yang boleh dilakukan oleh Palestin bagi menyelesaikan isu ini.
Kita tahu OIC merupakan satu forum terbesar dan terdiri dari 57 negara ahli yang berpengaruh di peringkat global kalau kita semua bersatu padu.
Apa yang Palestin harapkan kita dapat menghantar satu resolusi dan mesej kepada masyarakat antarabangsa bagi menghentikan penderitaan rakyat Palestin selain bantuan antarabangsa untuk memohon perlindungan daripada penderitaan rakyat Palestin.
Adakah ‘penyelesaian dua negara’ hanya satu-satunya jalan untuk mengeluarkan Palestin daripada krisis ini?
Ya. Ini sahaja penyelesaiannya dan tiada penyelesain lain yang boleh dicapai untuk menghentikan kekejaman Israel.
Tanpa ada pengiktirafan dari Israel menerusi rundingan, tanpa ada ada pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa membabitkan hak kami sebagai rakyat Palestin, kami tidak akan menikmati keamanan . Begitu juga mereka (Israel) yang tidak hidup aman tenteram.
Penyelesaian dua negara sahaja yang mampu kerana masyarakat Palestin dapat hak mereka. Biarkan Jerusalem menjadi ibu negara Palestin. Itulah tuntutan maksimum kami. Tanpa solusi, Israel tidak akan tinggal dalam keadaan aman walau mereka ada hubungan diplomatik dengan banyak negara sekalipun. Israel hanya hidup dalam aman dengan mengiktiraf hak kami.
BANTUAN KUASA BESAR DUNIA
Bolehkan China memainkan peranan dalam meredakan ketengan dan konflik yang berlaku pada masa kini ?
China adalah salah sebuah negara kuasa dunia dan mereka turut menyatakan sokongan serta bersoladiriti kepada Palestin. Malah mereka mengiktiraf hak Palestin.
Di samping itu, kami mempunyai hubungan baik dengan negara berkenaan dan sentiasa berusaha mengekalkannya. China juga merupakan rakan industri dan pelabur terbesar di Ramallah. Malah mereka sentiasa berlaku adil untuk campur tangan, melihat peranan dalam usaha ke arah keamanan kami.
Israel mendakwa Malaysia menjadi tempat latihan paraglider Hamas yang menyerang negara berkenaan sebelum ini. Komen?
Israel perlu tahu bahawa Malaysia memang sokong kami. Malaysia berpendirian jelas dengan usaha ke arah pembebasan Palestin. Tanpa pembebasan Palestin, Malaysia tidak akan mengiktiraf Israel. Selain itu, mereka tahu Malaysia antara negara berpengaruh di Asia dan OIC. Kami bangga dengan hubungan antara palestin yang sangat mengira sama ada Israel suka atau tidak. Malaysia sangat memahami bagaimana untuk menjadi adil dan membantu orang Palestin yang kini ditindas.
TEMPAT PERLINDUNGAN
Adakah Malaysia menjadi tempat perlindungan selamat untuk rakyat Palestin daripada ancaman perisik Israel seperti Shin Bet dan Kidon?
Sudah tentu. Saya sendiri sudah mencecah umur lebih 60 tahun dan berdepan dengan pelbagai pahit getir sejak berumur 18 tahun. Malah saya sudah tinggal bersama Israel sejak 1975. Jadi, saya tahu bagaimana mahu ‘berurusan’ dengan Israel. Dan mereka juga tahu segalanya tentang kami.
Saya tidak pernah dan tidak perlu takut kepada mereka dan bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan pada hari ini dan juga esok. – Mingguan Malaysia










