MASYARAKAT dunia dilambakkan dengan sajian-sajian pengisian kandungan di laman-laman media sosial terutama melalui aplikasi Facebook, X, Instagram dan TikTok. Bermacam kandungan disaji yang dihasilkan oleh individu-individu yang mempunyai jutaan pengikut di setiap platform media sosial.
Dengan melihat trend tersebut, rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan dengan tsunami media sosial yang menerap masuk melibatkan setiap peringkat umur. Maka tidak hairanlah terdapat kajian pada 2018 menerusi Laporan Digital 2018 dikeluarkan oleh Hootsuit dan We Are Social pada ketika itu menunjukkan jumlah pengguna internet di negara ini meningkat kepada 25.1 juta mewakili 79 peratus penduduk.
Daripada jumlah berkenaan, 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari. Laporan berkenaan turut mendedahkan jumlah pengguna internet meningkat sembilan peratus berbanding 2017, menjadikan Malaysia sebagai negara kesembilan di dunia paling aktif di laman sosial pada 2018.
Pada 2021, akibat penularan pandemik Covid-19 yang membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyarakat, angka pengguna media sosial di negara ini meningkat. Hasil statistik oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada September 2021, seramai 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini dicatatkan.
PENGARUH
Kita dapat lihat pendedahan media sosial bermula apabila ibu bapa menyuap anak-anak mereka dengan gajet. Tujuannya untuk mengelak anak meragam, menangis, merengek dan duduk diam tatkala ibu bapa sibuk dengan urusan lain. Semasa anak-anak masih kecil, mereka lebih melihat dan terpengaruh dengan perilaku ibu bapa termasuk orang rapat di sekeliling. Namun apabila meningkat remaja, anak-anak lebih terpengaruh dengan rakan-rakan, saluran-saluran media massa termasuk pengaruh-pengaruh dari media sosial yang menjadi pilihan mereka sendiri.
Mengikut satu kajian, pemilihan sumber media dalam kalangan remaja dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya personaliti, keperluan sosial dan peribadi. Ini kerana di peringkat remaja, mereka mencari-cari identiti dan idola atau pun satu ‘rujukan’ untuk dijadikan sumber inspirasi.
Lambakan pelbagai kandungan media sosial yang terhidang dari dalam dan luar negara memberikan impak kepada masyarakat sama ada yang baik atau buruk. Ia memberikan satu implikasi besar kepada negara secara amnya sekiranya tidak dipantau.
Pada Mac 2023, satu kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati 34 peratus responden terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk menjadi pempengaruh. Jika peratusan itu meningkat, ia adalah sesuatu yang perlu diambil berat kerana kita akan kehilangan pelapis pembimbing negara pada masa hadapan.
PEMPENGARUH
Dengan lambakan saluran media sosial, maka wujudnya golongan yang digelar sebagai pembikin kandungan atau pempengaruh yang memuat naik kandungan seperti tutorial, resipi masakan, dekorasi rumah serta berkongsi pelbagai maklumat. Oleh itu, tidak hairanlah mereka ini meraih ratusan ribu malah jutaan pengikut di saluran media sosial masing-masing, sekali gus memberikan impak besar kepada masyarakat.
Golongan selebriti, usahawan, agamawan termasuklah ahli politik turut mempunyai pengikut yang ramai di media sosial. Di dunia media sosial mereka memiliki satu tanggungjawab besar kerana mempunyai jutaan pengikut dan ada yang menjadikan pempengaruh media sosial ini sebagai idola, sumber inspirasi dan pencetus trend.
Perkongsian yang dibuat di laman media sosial semestinya akan mewujudkan interaksi para pengikut di hantaran tersebut. Namun, setiap hantaran yang dilakukan perlulah ada nilai dan adab yang baik selaras dengan kemajmukan dan keharmonian negara. Hantaran yang dibuat hendaklah tidak menyentuh sensitiviti berkaitan 3R, iaitu bangsa, agama dan raja yang boleh mencetus kontroversi serta mengundang perbalahan atau menyebabkan pertikaian dan pertelingkahan.
Bukan itu sahaja, setiap hantaran daripada pempengaruh atau selebriti juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab atas apa sahaja yang dihamparkan di laman media sosial untuk peminat dan pengikut supaya mereka boleh dijadikan contoh dan ikutan yang baik.
Hantaran-hantaran yang jelik dan menjengkelkan juga boleh menyebabkan normalisasi dalam masyarakat.
Tidak semua pempengaruh atau selebriti sebegitu, namun yang segelintir itulah boleh merosakkan keseluruhan sistem, bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebagai contoh, dalam pemerhatian saya yang mana ada beberapa hantaran atau siaran langsung di laman media sosial, para pempengaruh ini ada yang menggantung alatan cecair vape di leher mereka. Malah ada yang membuat kandungan mempromosikan barangan tersebut secara tidak langsung. Tidakkah ia sedikit sebanyak akan menjadi ikutan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja? Dan lama-kelamaan akan menjadi sesuatu yang normal dalam kalangan masyarakat.
ADVOKASI
Ramai sebenarnya pempengaruh yang menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengadvokasikan kesedaran dan maklumat sangat berguna kepada masyarakat. Maklumat tersebut juga boleh dijadikan sebagai garis panduan untuk mereka yang mencari sumber rujukan. Ini kerana setiap maklumat yang dikongsikan adalah daripada kepakaran, kehidupan, perjalanan seharian yang mereka tempuh.
Mereka yang membuat kandungan mempunyai nilai dan adab baik sepatutnya diberikan pujian atau perlu diikuti kerana input-input diberikan bercirikan positif yang mana boleh memberikan satu kesedaran baik secara tidak langsung melalui hantaran video atau penulisan.
Pempengaruh juga ada yang melontarkan cadangan dan kritikan membina yang mana pihak-pihak berkuasa perlu mengambil cakna suara-suara mereka. Ini kerana para pempengaruh ini membawa suara masyarakat yang mungkin pihak-pihak lain terlepas pandang atau tidak pandang langsung. Oleh itu, peranan pempengaruh sebenarnya besar.
IKTIBAR
Namun begitu, bukan sahaja pempengaruh berperanan mempengaruhi, pengikut juga harus bijak memilih pempengaruh untuk mereka ikut dan jadikan inspirasi. Adakah perlu ikut pempengaruh yang banyak memberikan manfaat atau yang menjengkelkan? Pilihan di tangan masing-masing, tepuk dada tanya selera. – UTUSAN
Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan, Pejabat Komunikasi, Advokasi & Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










