Peluang Russia kembalikan kegemilangan Laluan Sutera - Utusan Malaysia

Peluang Russia kembalikan kegemilangan Laluan Sutera

PENULIS (empat dari kanan) bersama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (dua dari kanan) serta delegasi universiti itu ketika membuat kunjungan rasmi ke Moscow, Russia, baru-baru ini. – IHSAN UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN Laluan Sutera (Silk Road) dalam membina tamadun dunia melalui hubungan diplomatik dan perdagangan menjadi detik bersejarah yang penting.

Rangkaian laluan perdagangan itu yang menghubungkan antara benua Asia dengan rantau Mediterranean, Afrika Utara, Afrika Timur Laut dan Eropah bukan sahaja berfungsi sebagai laluan pedagang bahkan menjadi laluan bagi para pengembara dalam menyebarluaskan lagi pendidikan, kebudayaan, politik dan agama.

Terdapat banyak kerugian dan kesan negatif dihadapi Russia dari segenap sudut rentetan peperangan Russia-Ukraine yang disulitkan lagi dengan sekatan dari blok Barat.

Dalam menangani kemelut ini, kerajaan Russia pimpinan Presiden, Vladimir Putin telah mengorak langkah proaktif untuk memulihkan pengaruh negara itu di mata dunia.

Pengenalan sistem perbankan Islam di Russia adalah salah satu langkah strategik kerajaannya seiring peningkatan masyarakat Muslim di negara itu yang kini dianggarkan seramai 25 juta.

Justeru, pada September lalu, Parlimen Russia atau juga digelar State of Duma meluluskan draf pertama rang undang-undang pelaksanaan perbankan Islam di empat daerah iaitu Bashkortostan, Chechnya, Dagestan dan Tatarstan.

Draf pertama undang-undang tersebut secara rasminya bertindak sebagai eksperimen perundangan bagi Russia dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam di negara tersebut.

Empat daerah terbabit pilihan dalam projek perintis disebabkan faktor kepesatan masyarakat Muslim Russia di republik berkenaan. Hal ini juga berkait rapat dengan hubungan mesra Russia dengan negara-negara Islam terutama negara-negara ahli Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC).

Republic Chechnya misalnya, merupakan pemain kuat dalam strategi hubungan diplomatik antara Russia dan Arab-Muslim di mana Chechnya menerima bantuan Arab Saudi dalam menunjukkan sokongan terhadap Russia dalam perang Russia-Ukraine.

Daerah Dagestan pula menempatkan Pelabuhan Laut Makhachkala di Lautan Caspian yang berfungsi sebagai pelabuhan perdagangan dan hab pengangkutan utama antara Russia, Belarus, Turkiye dan Asia Tengah.

Langkah melaksanakan sistem perbankan Islam merupakan satu langkah proaktif kerajaan Russia dalam menangani kemelut yang melanda negara itu disebabkan sekatan ekonomi oleh blok Barat dan peperangan Russia-Ukraine yang telah berlanjutan hampir dua tahun lamanya.

G2G
Malaysia tanpa disangkal lagi merupakan nama paling dikenali dalam industri perbankan Islam dan sememangnya sentiasa berada di tahap pertama dengan ekosistem yang komprehensif dan diperakui secara global.

Dengan ekosistem perbankan Islam yang kukuh dan stabil, Malaysia harus mengambil peluang ini dengan menghulurkan tangan dan menunjukkan jalan kepada Russia dalam membangunkan sistem perbankan Islam di negara mereka terutama melalui pertukaran pengetahuan, pendidikan dan pembangunan bakat.

Pendidikan adalah jalan neutral dalam menggerakkan industri perbankan Islam waima di mana sahaja. Berbanding pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G) atau pendekatan lain yang memerlukan kepada usaha wajar dan sebab musabab yang mengambil masa agak lama, hubungan diplomasi melalui pendidikan adalah jalan mudah dan lebih meluas tanpa banyak kerenah.

Perbankan Islam adalah satu industri unik dan memerlukan kepada kepakaran tertentu dalam menentukan tata kelola yang baik dan mampan. Konsep dan idea perbankan Islam yang kompleks perlu sentiasa ditelusuri dan diterokai seiring kehendak semasa berpandukan undang-undang syariah sebagai tonggak utama. Di sinilah peranan pendidikan dilihat amat relevan.

Malaysia berjaya membangunkan kolam bakat (talent pool) dalam bidang perbankan Islam yang kini menghasilkan pakar rujuk yang dikenali bukan sahaja dalam negara malah seantero dunia. Pembangunan bakat untuk menampung kehendak industri perlulah bermula dari peringkat bawah melalui pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang perbankan Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, terdapat banyak institusi pengajian tinggi di seluruh negara menawarkan kursus perbankan Islam sama ada di peringkat ijazah, sarjana, sarjana muda dan doktor falsafah (PhD).

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai universiti antarabangsa mempunyai keunikan dalam menempatkan pelajar bukan sahaja dari dalam malah dari seluruh pelosok negara tanpa mengira kaum dan agama.

Jadinya, selain dikenali di peringkat antarabangsa, UIAM juga mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk membantu dalam perundingan berkaitan pendidikan dan perbankan Islam.

Institut Perbankan & Kewangan Islam UIAM (IIiBF) adalah antara institusi perbankan Islam yang berjaya melahirkan graduan pascasiswazah dalam bidang perbankan Islam seantero dunia.

Potensi bidang kerjasama melalui hubungan baik antara institusi pendidikan di kedua-dua negara perlu dibuat bagi perkongsian pengetahuan, memperkukuh kepakaran dalam kewangan Islam melalui program latihan profesional, kursus akademik dan inisiatif penyelidikan yang tertumpu kepada perbankan dan kewangan Islam.

Dengan membina kumpulan profesional mahir dalam kewangan Islam, Russia boleh menyokong dan menggalakkan pembangunan perbankan dan kewangan Islam secara berkesan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga ke peringkat global.

Mungkin ini peluang terbaik untuk Russia mengembalikan kegemilangan dan kehebatan Laluan Sutera yang tercatat dalam sejarah dunia. – UTUSAN

PROFESOR Datin Dr. Rusni Hassan ialah Dekan Institut Perbankan & Kewangan Islam (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga bekas Ahli Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN