MUKADIMAH
TIADA untungnya pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai memilih pembangkang kerana parti itu tidak ‘sehati sejiwa’ bersama Kerajaan Persekutuan.
Kerana itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), DATUK SERI MOHAMAD HASAN mahu pengundi di Pelangai buka mata dengan menyokong calon daripada kerajaan negeri dan Persekutuan yang bukan hanya sekadar untuk membawa suara penduduk tetapi demi pembangunan ekonomi negara.
Menyatakan kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO itu juga tidak mahu pengundi DUN tersebut memilih calon yang salah. Jika itu berlaku, ia cukup berisiko – mengambil kira tempoh untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengambil masa empat tahun lagi dalam memperbetulkan ‘kesilapan yang andai kata dilakukan’ Sabtu ini.
PEMBANGKANG TAK CERITA SEMUA
Kalau cerita pasal Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pembangkang tidak sentuh keseluruhannya. Pengundi di Pelangai ini (perlu tahu) ini bukan PRU (pilihan raya umum) untuk pilih kerajaan. Ini adalah PRK disebabkan kerusi DUN Pelangai terkosong ekoran kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
PRK ini untuk pilih wakil pengundi atau orang Pelangai pilih wakil mereka ke dalam kerajaan negeri. Jadi, kerajaan negeri sudah ada di bawah kerajaan perpaduan diketuai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar Pahang. Jadi, adalah menguntungkan pengundi untuk memilih wakil daripada calon yang mewakili parti kerajaan perpaduan.
Tak guna pilih wakil dari calon parti lain kerana kalau kita pilih Datuk Amizar Abu Adam dari BN, maka suara, pandangan, cadangan dan kebajikan hal ehwal kesejahteraan pengundi di sana dapat dibawa oleh ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN.
Tetapi jika pilih ADUN yang tak bersama dengan negeri atau Persekutuan, susahlah kan? Susahlah suara mereka nak didengar. Susahlah cadangan dan kebajikan mereka nak dibela.
Jangan buat silap, kalau salah buat keputusan, PRN lambat lagi, empat tahun lebih lagi. Kita nak suara kita didengar untuk empat tahun lagi. Jangan dengar hasutan, jangan dengar tohmahan, jangan dengar fitnah yang dibawa orang luar dalam masa berkempen 14 hari ini.
ORANG LUAR BALIK LEPAS KEMPEN
Memang macam-macam isu, perkara akan disebut tetapi orang-orang ini, mereka tak tinggal di situ. Mereka datang berkempen dan bawa tohmahan dan fitnah.
Dan pada malam Sabtu nanti, mereka akan balik ke negeri masing-masing. Yang tinggal orang Pelangai. Jadi, buatlah keputusan yang baik, yang menguntungkan orang Pelangai.
TANAH BEREKAR, RUMAH PENEROKA BESAR, CANTIK
Pengundi di Pelangai, 40 lebih peratus adalah pengundi di Felda. Saya pergi turun empat hingga lima kali. Saya ke Felda Chemomoi, Kemasul, Kemahang, saya nampak keadaan dari segi rumah masing-masing terutama di Kemasul dan Chemomoi amat baik sekali.
Kawasan ini nama Felda tapi sudah macam kampung tradisi yang mempunyai kemudahan lebih banyak daripada kampung-kampung.Jadi, alhamdulillah ia dibuat orang BN dulu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengilhamkan untuk menstruktur semula masyarakat selepas titik hitam 13 Mei 1969.
Ini merupakan skim yang dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar ketika itu yang rata-rata tiada tempat tinggal kerana tiada pendapatan dan mereka ini terpilih untuk menjadi peserta skim Felda. Dan hari ini jelas sekali mereka mempunyai tanah seluas 10 ekar, kebun 10 ekar dan tapak rumah.
Malah saya lihat rumah mereka besar-besar dan cantik-cantik. Jadi, bersyukurlah kita kerana ini merupakan skim yang dibuat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
SYIAR ISLAM
Pembangkang ini tak lain tak bukan di sana menghasut macam-macam. PN (Perikatan Nasional) bercerita macam mereka sajalah yang boleh diharapkan untuk membela Islam di Parlimen sebab UMNO dikatakan tidak lagi memperjuangkan Islam. Itu satu fitnah besar.
Dengan adanya UMNO dalam kerajaan, kami bukan sahaja mempertahan dan membawa suara Islam, bahkan banyak perkara dilakukan kerajaan hari ini yang memperkasakan syiar Islam.
ULANG TAYANG PEMBANGKANG
Pembangkang tak cakap pun pasal Felda, dia cakap pasal liberal. Dia cakap macam mana UMNO dengan DAP, UMNO meninggalkan perjuangan, UMNO tidak lagi mementingkan Islam dan macam-macam. Itu salah, dia ulang-ulang. Ulang tayang sahaja. Mereka tak ada benda baharu pun.
KONTEKS UMNO-DAP URUS NEGARA
UMNO dan DAP hanya untuk menguruskan negara, bukannya bergabung. Kami cuma menjalinkan kerjasama mengurus negara sepertimana titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengutamakan negara, politik tak ke mana.
FORMULA EKONOMI BERKEMBANG
Bila kita bercakap pasal ekonomi, ekonomi ini akan membangunkan secara direct dan indirect. Macam mana ekonomi nak membangun berkembang? Asas utama ialah kita mesti mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil. Kerajaan yang stabil asas untuk dapat uruskan negara. Maka, keadaan jadi sejahtera.
Tidak ada kacau-bilau, maka kerajaan boleh tumpukan membangunkan negara. Bila kerajaan boleh bangunkan negara melalui sektor swasta, pelabur persendirian atau asing melihat negara tersebut aman, sejahtera, maka mereka akan melabur.
Maka di situ ekonomi akan dapat dibangunkan. Ini penting, kalau macam mana kaya atau banyak mana pun hasil bumi kita tapi kalau negara kita kerajaan tak mantap, tak kuat, tak ke mana pun. Tetapi kalau kita kerajaan stabil, mantap, ia akan jadi sebagai katalis kepada pembangunan ekonomi.
Pembangunan ekonomi tidak akan dapat dibangunkan kalau kerajaan tak kuat, tak stabil. Ini penting. Jadi, bila ekonomi negara kita baik, secara tidak langsung di Pelangai pun baiklah. Peluang pekerjaan ada, semua ada.
Di negara maju, politik mereka mantap, ekonomi mereka pun mantap. Pun begitu, perlu ambil kira oleh pelabur untuk melabur di negara yang difikirkan pelaburan mereka akan selamat.
Di negara yang sedang membangun macam Malaysia dan Asia Tenggara, kemantapan dan kestabilan politik itu amat perlu kerana kita masih banyak bergantung pada pelaburan asing untuk bangunkan ekonomi kita.
Ekonomi domestik kita kecil, kita perlu sokongan dan dukungan terutama macam Malaysia yang selama bertahun-tahun kita mengemukakan bajet yang defisit. Defisit ini perlu untuk mendapat dukungan daripada pelabur asing. Jadi, itu penting.
Macam setiap tahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini, defisit kita RM100 bilion. Jadi, kalau tak ada pelaburan asing yang dapat mengisi kekosongan RM100 bilion ini, kita akan susah.
LIHAT BAGAIMANA PAHANG, JOHOR DIBANGUNKAN
Saya yakin pengundi Pelangai boleh melihat bagaimana Pahang dan Johor dibangunkan, semuanya hasil daripada kerajaan yang memerintah.
Jadi, adalah lebih menguntungkan seperti saya katakan tadi atau amat baik bagi orang Pelangai memilih calon daripada parti yang sama dengan kerajaan Pahang dan Persekutuan sebab kerajaan sudah ada. – UTUSAN










