MUKADIMAH
Oktober menjadi bulan penting kepada Pas.Sebagai parti yang memenangi kerusi paling banyak dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu, parti ini bakal mengadakan Muktamar Pas Kali Ke-69 di Shah Alam hujung bulan ini.
Muktamar kali ini mempunyai signifikan tersendiri, lebih-lebih lagi dengan penguasaan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 22 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Malah, muktamar yang julung kalinya diadakan selepas PRU15 ini menjadi detik penting bagi Pas dalam usaha memperkasakan parti dan merangka strategi untuk menghadapi PRU seterusnya nanti.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Timbalan Presiden Pas, DATUK SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto, FARIZ RUSADIO.
PERSEDIAAN MUKTAMAR
MINGGUAN MALAYSIA: Ini merupakan muktamar pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bagaimana persediaan dan apakah harapan terhadap muktamar kali ini?
TUAN IBRAHIM: Alhamdulilah untuk persediaan kita sudah buat lama dan lebih awal lagi.
Sepatutnya Jun, tetapi disebabkan adanya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), kita bersetuju untuk tangguhkan muktamar kepada minggu hadapan iaitu 20 sehingga 22 haribulan.
Daripada reaksi perwakilan pula, saya lihat para perwakilan agak teruja untuk muktamar kali ini lebih-lebih lagi dengan pencapaian kita dalam PRU15 dengan memenangi empat negeri. Begitu juga dengan keputusan di Selangor dan negeri lain. Fokus sekarang bagaimana hendak isi kemenangan kita di negeri-negeri lain.
Yang kedua pula saya lihat, pemerhatian akan dibuat kepada persiapan untuk PRU16 dan masa depan parti. Dalam masa sama, bukan dua perkara ini sahaja yang kita mahu fokus, sebaliknya hala tuju dan persediaan untuk menerajui negara.
Saya jangka ada tiga isu besar. Pertama, isu kos sara hidup dan ekonomi, kedua, isu pemerkasaan parti daripada segi penyediaan barisan kepimpinan dan pelapis akan datang. Ketiga, saya lihat isu nasional iaitu isu yang berlaku di Palestin.
Ada usul tertentu yang akan dibahaskan?
Saya tidak tengok lagi usul-usul yang akan dibawa nanti. Jawatankuasa Usul Pas Pusat akan bentangkan dalam mesyuarat akhir nanti. Bagaimanapun usul yang akan dibentangkan berkisar dengan tiga isu besar berkenaan.
GAGAL TARIK PENGUNDI CINA
Adakah Pas kini lebih tertumpu kepada usaha untuk memenangi jiwa orang bukan Melayu apabila menyentuh isu pemerkasaan parti dan hasrat menerajui negara?
Memang kita akui ada dua kumpulan pengundi. Pertama, orang Melayu yang sudah memang beralih pada Perikatan Nasional (PN) manakala pengundi Cina pula masih kekal dengan menyokong Pakatan Harapan (PH). Dan memang kita akui kita gagal mendapat undi daripada masyarakat Cina.
Di bawah Pas kita ada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP). Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula ada ahlinya yang bukan Muslim dan dalam konteks keseluruhan PN sendiri ada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Jadi, daripada segi komponen dan struktur kita memang sudah ada dan sudah beri perhatian kepada bukan Melayu.
Persoalannya sekarang, bagaimana kita mahu tarik pengundi bukan Melayu? Kelemahan yang ada pada kita perlu diperbaiki dan ubah persepsi tidak betul pada Pas khususnya. Mereka (bukan Melayu) ditakutkan dengan Islamophobia, gelombang hijau dan bermacam lagi sedangkan Pas sudah menang lama di Kelantan, hampir 30 tahun lebih dan kita menang di Terengganu dan mempunyai rekod pencapaian ekonomi agak baik.
Kejayaan negeri ini perlu kita maklum dan dedahkan kepada umum. Di samping kehidupan masyarakat di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang lebih baik. Semua ini perlu didedahkan. Sebabnya, mereka yang muda dalam lingkungan umur 18 tahun, majoritinya tidak pernah jejak kaki Kelantan.
Apabila disebut Kelantan tiada air, dia pun tidak tahu ada air atau tidak, walhal hotel makin besar, perumahan makin banyak. Kalau fikir logik, sekiranya tidak ada air buat apa hendak buat hotell? Sebenarnya Kelantan negeri yang menjadi tarikan pelancong dengan kehadiran ramai orang.
Jadi, benda macam itulah (isu air) yang kita lihat antara persepsi yang perlu diperbetulkan. Itu belum lagi dalam soal yang menyentuh agama.
Kedua, kita perlu fikir mekanisme terbaik untuk menarik pengundi bukan Melayu untuk bersama. Ini semua mainkan peranan sama ada DHPP, ahli bersekutu dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menarik pengundi bukan Melayu.
PENYOKONG TAASUB
Apabila keluar kenyataan mendakwa lima jawatan tidak dipertandingkan, ada yang menuduh penyokong Pas taasub. Pandangan Datuk Seri?
Sebenarnya kelima-lima jawatan dipertandingkan tetapi tidak ada pencalonan. Banyak tempat saya pergi dan memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan Timbalan Presiden Pas .
Untuk pengetahuan, kita sebenarnya buka semua termasuk jawatan presiden tetapi tiada yang mahu dicalonkan.
Yang ada pencalonan adalah jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Beliau tarik diri sebab melihat barisan kepimpinan yang ada ini ‘ok’ dan sesuai untuk diteruskan dalam menghadapi PRU akan datang dan selain pemerkasaan parti. Justeru tidak timbul soal taasub kepada pemimpin. Demokrasi sentiasa ada dalam Pas.
Saya masih ingat Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat ada berpesan, katanya kalau ada pencalonan, jangan tarik diri dan tidak menang tidak mengapa. Sebab itu adat bertanding.
Tetapi dalam Pas, jawatan bukan rebutan dan kita bukan gila kuasa. Sudah menjadi tradisi dalam parti, mereka tidak meminta-minta jawatan. Kalau ia berlaku, pasti calon itu gagal dan kalah.
Orang Pas tidak akan pilih mereka yang berkempen untuk dirinya. Kita sentiasa terbuka dalam demokrasi dan bekerja sebagai satu pasukan. Sebagai satu pasukan, tidak timbul orang ini ada kem atau berpuak-puak.
Pas hanya ada satu. Apa yang diputuskan dalam mesyuarat kita buat secara bersama, secara kolektif. Presiden menerajui parti tetapi apa-apa isu ia akan bawa ke mesyuarat.
PAS SUKA GUNA ISU 3R
Ada segelintir melihat Pas tidak nampak agresif dalam membincangkan isu ekonomi atau isu-isu rakyat dan lebih tertumpu kepada isu agama, kaum dan institusi diraja (3R). Datuk Seri setuju?
Saya rasa ada beberapa faktor. Pertama, nama parti itu sendiri. Parti Islam Semalaysia atau singkatannya Pas. Orang berpandangan kita bincang pasal Islam. Walhal, kalau kita lihat perbahasan, ahli parlimen kita tidak banyak yang sentuh pasal agama pun.
Yang kita bangkitkan isu rakyat, kemiskinan, kos sara hidup, keterjaminan makanan dan kadar tukaran wang asing .
Akan tetapi oleh kerana persepsi itu, mereka lihat kita cakap soal agama sahaja. Selain itu, apa yang saya perhatikan sekarang, penggunaan media lebih meluas lebih-lebih lagi media sosial.
Kadangkala apa yang orang siarkan, bukan tentang pendirian parti pun. Yang tular dan riuh bukan daripada kepimpinan parti, tapi ia dianggap daripada parti.
Maka apa yang kita buat adalah tidak mengambil peduli tentang perkara remeh-temeh dan berbalah. Tidak perlu kita layan perkara yang membuang masa. Ada banyak lagi yang boleh difikirkan seperti isu kos sara hidup rakyat.
KETANDUSAN PEMIMPIN
Adakah PN termasuk Pas sendiri ketandusan pemimpin yang boleh diketengahkan dan mampu menerajui negara?
Dalam soal kepimpinan untuk menerajui negara, kita akan mengambil mereka yang mengetuai parti walaupun di peringkat bawah terdapat beberapa tokoh lain.
Bagi kami walaupun Pas sendiri lebih banyak kerusi dan daripada segi logik kitalah yang menerajui negara, tetapi atas semangat PN, kita berikan jawatan dengan persetujuan bersama. Maknanya pemimpin yang ada pengalaman dan pendedahan dengan isu-isu yang pernah dilalui pemimpin itu sebelum ini akan dipilih.
Lagipun kita perlu ingat, karakter kepimpinan ini kita tidak akan nampak selagi mana kita belum letak untuk memimpin. Sebagai contoh Menteri Besar Kedah, Sanusi dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Siapa sangka kedua-dua ini akhirnya boleh mengetuai parti. Sebelum ini siapa yang kenal mereka? Maknanya kita ada tokoh. Apabila diberi sahaja peluang memang mereka boleh memimpin dan kita tidak ketandusan pemimpin.
PRK PELANGAI
Datuk Seri berpuas hati dengan PRK Pelangai?
Ada tiga perkara yang saya tidak berpuas hati. Daripada segi strategi kita sebenarnya boleh tawan Selangor (ketika PRN) tapi kita ada kelemahan di sana. Begitu juga di Pahang (ketika PRU-15).
Di Pahang, kita gagal lima kerusi sahaja lagi sebelum dapat memerintah negeri tersebut. Jadi, ini ada kelemahan yang perlu dikenal pasti. Mungkin dahulu kita menang sebanyak lapan kerusi dan untuk dapat 21 kerusi terlalu besar jurangnya. Jadi, biar kita dapat 17 kerusi dahulu sebelum meraih 21 kerusi dan ia secara berperingkat.
Begitu juga di Selangor. Kalau dilihat pada post mortem nanti barulah tahu mengapa kita gagal. Mungkin sama ada daripada segi calon, gerak kerja atau jentera parti. Cuma saya bangga di Negeri Sembilan. Kita tidak kuat tetapi mampu meraih beberapa kerusi.
Di DUN Pelangai pula kita tahu itu memang kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan kita hilang undi apabila peratusan yang keluar mengundi rendah.
Kedua, kita gagal meraih undi di Felda Chemomoi. Iaitu antara Felda yang paling besar di Pelangai. Biasanya kalau di Felda undi akan pergi kepada kita memang kerana ia bukan lagi kerusi deposit BN. Sekarang zaman sudah jauh berubah.
Saya ambil contoh di Parlimen Kuala Krau. Di bawahnya ada tiga DUN iaitu Jenderak, Jengka dan Kerdau. Jenderak dan Kerdau kita kalah tapi kita menang di Jengka.
Ada 10 peti undi di Jengka dan sembilan kita menang. Mungkin pengundi di sana bukan lagi generasi pertama. Generasi kedua atau ketiga merasakan kerajaan gagal sebabnya tiada hala tuju Felda pada generasi baharu ini.
UMNO LUPA KAWAN
Karakter Datuk Seri yang dilihat lebih berlembut dalam banyak perkara. Adakah Datuk Seri sedia menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan UMNO sekiranya menjawat jawatan sebagai Presiden?
Secara peribadi kita pun ada hubungan baik dengan UMNO. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pun berapa kali berbincang dan berunding dengan UMNO.
Walau ketika UMNO kalah dalam PRU14, Tok Guru (Abdul Hadi) orang pertama membuat keputusan agar kita kukuhkan balik hubungan bersama UMNO. Mengapa? Kerana Pas pada masa itu kurang sokongan orang Melayu dan dalam masa sama orang Melayu tidak boleh berpecah.
Jadi, kita bincang dengan UMNO dan mereka setuju. Selepas itu Pas tolong UMNO dalam banyak PRK. Apabila UMNO naik balik dan kuat semula, mereka mula lupa kawan. UMNO ingat orang nak sokong mereka. Sebenarnya tidak. Ahli Pas yang bantu mereka.
Apabila menang dalam PRK mereka bertindak lebih sikit. Mula-mula mereka tukar Menteri Besar Johor daripada Bersatu kepada UMNO, Perak juga begitu sampailah kepada Perdana Menteri iaitu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Jadi, kita nampak itulah trendnya.
Tetapi Pas ini sentiasa terbuka. Dalam 15 kali PRU diadakan, 13 kali kita bersama dengan parti lain. Mana-mana parti yang terima dasar Pas, kita akan bincang dan kita saling hormat menghormati antara satu sama lain. Begitu juga dengan perjanjian.
Pas berpegang kepada perjanjian. Hatta dengan DAP dahulu pun sebab pada awalnya mereka polisi kita.
Apabila Pas bawa Rang Undang-Undang (RUU) 355, mereka bersungguh-sungguh bantah. Nabi Muhammad SAW ada bercakap dalam hadis, orang Islam terikat dengan janji. Selagi mana mereka patuh janji kita taat. Apabila mereka langgar janji, perjanjian akan batal. Kita boleh lihat contoh apabila Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah, Baginda buat perjanjian dengan Yahudi. Mereka buat perjanjian nak berdamai.
Tapi apabila Yahudi buat perjanjian dan dalam masa sama bekerjasama dengan musuh untuk menyerang Nabi Muhammad SAW, perjanjian sudah dilanggar. Begitu juga dalam konteks hubungan kita dengan parti lain.
Dengan UMNO selagi mana mereka terima prinsip kita tiada isu. Hatta Tok Guru Abdul Hadi pun sampai sekarang masih dia nak bersatu. Penyatuan Ummah masih menjadi agenda bagi Pas.
TAK BERKAWAN DENGAN DAP
Pas pernah bersama DAP dan hubungan tersebut lerai. Adakah UMNO bakal menerima nasib sama?
Saya yakin akan ke situ. Bagi Pas apabila DAP kekalkan dasar negara sekular dan Malaysian Malaysia, ia menimbulkan banyak persoalan tentang bagaimana UMNO boleh terima mereka?
Saya mahu lihat sejauh mana hubungan antara UMNO dan DAP dalam kerajaan perpaduan boleh kekal, maknanya kalau kekal UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal. Ada pertembungan. Pas tidak boleh terima apabila mereka kekalkan Malaysian Malaysia, sudah bertembung dengan prinsip kita
Malaysia negara Islam agama rasmi. DAP berjuang ke arah negara sekular. Kita tidak boleh terima perjuangan ekstrem tanpa mengira sama ada Melayu, Cina atau India. Ekstremis tiada dalam perjuangan kita. – Mingguan Malaysia










