TANGGAL 14 September lalu, Kelantan memahat sejarah baharu dalam bidang pertanian negara menerusi pembukaan ladang durian Musang King terbesar di Malaysia terletak di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.
Mana tidaknya, ladang seluas hampir 3,000 hektar itu mempunyai lebih 200,000 pokok durian Musang King yang telah ditanam sejak 2016.
Pembukaan ladang berkenaan meletakkan negeri Serambi Mekah itu berada di landasan terbaik menjadi pengeluar utama raja buah tersebut.
Ia sekali gus mengambil alih tugas Raub, Pahang yang sebelum ini merupakan ‘lubuk’ penghasilan Musang King di negara ini.
Lebih mengujakan, kawasan dimiliki Sindiyan Plantation Sdn. Bhd. (Sindiyan Plantation) ini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai ladang Musang King terbesar di negara ini.
Pengiktirafan itu pastinya membanggakan seluruh rakyat Kelantan sekali gus mampu mengangkat nama negeri Che Siti Wan Kembang ‘gah’ di pentas antarabangsa kerana Musang King kini mendapat permintaan di beberapa negara terutama China.
Malah Musang King dari Tanah Tinggi Lojing itu sudah boleh dinikmati dan dieksport ke luar negara bagi memenuhi permintaan di peringkat global.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Sindiyan Plantation, Symantha Chai, menerusi usahasama dengan syarikat Hernan Corporation Sdn. Bhd., pihaknya menyasarkan untuk menghasilkan 60,000 tan metrik durian setiap tahun.
Menurutnya lagi, usahasama eksklusif itu mampu memenuhi permintaan tinggi dunia terhadap durian di Australia, China, Kanada, Indonesia, Jepun, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Bagi Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamad Fadzli Hassan, ladang milik Sindiyan Plantation itu menjulang nama negeri ini di pentas Asia sebagai pengeluar utama Musang King pada masa hadapan.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Sindiyan Plantation mahu menjadikan lokasi tersebut dengan produk agropelancongan tidak lama lagi.

BERANAK PINAK
Walaupun pembukaan ladang itu dilihat mampu membawa limpahan sosioekonomi untuk penduduk setempat selain kelestarian kepada alam sekitar, namun di sebalik kejayaan itu terselit kegusaran dalam kalangan rakyat.
Ia sudah semestinya berkait dengan kehidupan masyarakat Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing yang sudah lama menetap, berkampung malah beranak pinak di kawasan berkenaan.
Hal ini kerana rata-rata Orang Asli mendakwa pembukaan ladang di kawasan Tanah Tinggi Lojing secara besar-besaran telah menjejaskan penempatan dan mata pencarian mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan.
Dakwa mereka lagi, penerokaan tanah itu menyebabkan kawasan rayau semakin mengecil sekali gus menjejaskan pendapatan.
Difahamkan hanya segelintir Orang Asli diambil bekerja, selebihnya menggunakan kudrat daripada warga asing. Selain itu, sumber bekalan air bersih (air tandak) yang menjadi nadi kehidupan mereka turut terkesan.
Pada masa sama, mereka turut diselubungi kebimbangan dengan aktiviti pertanian yang boleh menyebabkan berlakunya risiko banjir lumpur dan tanah runtuh akibat hujan.
Antara kampung berisiko hakisan ialah Kampung Jedip, Brooke Lama, King Kong, Sang Wai A dan B, Sendrop, Bahong, Mendrop, Hendrop serta Kampung Jekjok yang sudah wujud lebih 30 tahun lalu.
Selain itu, dipercayai penerokaan hutan turut menghangatkan lagi ‘perang’ antara masyarakat Orang Asli dengan haiwan liar seperti gajah dan harimau.
Malah beberapa kejadian serangan haiwan liar berlaku di sekitar Gua Musang termasuk seorang lelaki Orang Asli dibaham harimau ketika keluar menyumpit di Pos Pasik.
Kerajaan negeri Kelantan selaku tuan tanah perlu mengambil perhatian dan mendengar setiap patah kata diluahkan oleh masyarakat Orang Asli jika berlaku perkara di luar jangka selepas ini.
Hal ini kerana rintahan masyarakat berkenaan seolah-olah kurang didengari oleh kerajaan negeri. Orang Asli adalah rakyat negeri serambi Mekah, jadi dengarlah suara mereka sebagaimana penduduk-penduduk lain. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.











