Menanti penyelesaian konkrit isu beras Jumaat ini

Menanti penyelesaian konkrit isu beras Jumaat ini

RAKYAT mesti diberi maklumat dan kefahaman tepat mengenai krisis bekalan makanan yang melanda serta ancaman lebih buruk mungkin berulang. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN ini, negara dan rakyat diuji dengan rentetan ketidakcukupan bekalan makanan, iaitu daging ayam, telur ayam, tepung gandum dan terbaharu, beras. Isu bekalan minyak masak dan gula juga berlaku silih berganti tetapi tidak seburuk krisis beras.

Masalah bekalan makanan ini melarat menjadi isu politik dan bahan kempen pilihan raya dalam tempoh dua bulan ini. Pembangkang menuduh kerajaan gagal menyediakan makanan rakyat. Kerajaan pula berkeras menafikannya dan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

Sebenarnya mempolitikkan isu ini tidak akan menamatkan krisis dan menyelamatkan rakyat daripada ketidakcukupan makanan. Sebaliknya, kedua-dua blok parti harus berlapang dada.

Akui sahaja realiti ketidakcukupan bekalan beras dan bahan makanan lain disebabkan pelbagai punca di luar kawalan kita, khususnya faktor iklim selain percaturan politik dan permainan industri global tanpa menafikan faktor domestik.

Antaranya, negara pengeksport beras dan gandum utama dunia, iaitu India telah menyekat eksport komoditi itu baru-baru ini kerana mahu mengutamakan keperluan domestiknya.

Puncanya, purata hujan di India merosot 15 peratus tahun ini menyebabkan penghasilan padi dan gandum merosot sekali gus dua komoditi itu perlu disekat daripada dieksport.

Fenomena El Nino kali ini serius dan menyebabkan kemarau buruk di seluruh dunia termasuk di Thailand serta negara pengeluar beras lain.

Sebagai dua negara pembekal utama, perang Ukraine-Russia mengakibatkan kemerosotan bekalan tepung gandum global. Realitinya, sebagai warga ‘kampung global’, Malaysia tidak mampu menghindari kesan atau melarikan diri daripada mana-mana kejadian di seluruh dunia kecuali membuat persiapan menghadapinya.

Faktor iklim mengakibatkan banjir, taufan, kemarau, gelombang haba panas serta peningkatan suhu dan paras air laut. Dikhuatiri jika unjuran fenomena El Nino berterusan antara Januari hingga Mac 2024 menjadi kenyataan, krisis bekalan makanan global pusingan kedua akan berlaku tidak lama lagi.

Konflik terbaharu Palestin-Israel dijangka mempengaruhi banyak perkara. Selain kemungkinan konflik menular keluar dari zon itu, perang akan mendorong kenaikan harga pelbagai komoditi khususnya minyak mentah. Kenaikan komoditi itu akan meningkatkan kos operasi sekali gus kenaikan harga rata-rata produk pengguna di pasaran termasuk beras dan gandum.

Lantaran itu, lebih baik jika semua pihak bersikap rasional. Jangan mempolitikkan krisis ini kerana akhirnya rakyat menjadi mangsa. Lagipun, semua parti pernah menerajui kerajaan. Jadi, tepuk dada dan sila jawab – apakah program memperkasa sekuriti makanan yang telah dilakukan ketika masing-masing memegang tampuk kuasa?

Pada masa sama, rakyat mesti diberi maklumat dan kefahaman tepat mengenai krisis yang melanda serta ancaman lebih buruk mungkin berulang jika melihat senario iklim, politik dan keselamatan global sekarang. Jentera penerangan mesti digembleng untuk menyampaikan maklumat ini.

HARGA NASI

Dalam krisis beras, kerajaan dan pembangkang bertanggungjawab menanganinya dengan tangkas dan teliti. Pertama, kerajaan perlu memberi jaminan bekalan makanan mencukupi dengan membentangkan fakta termasuk strategi dan program bersepadu untuk mencapai kemandirian negara bagi menghasilkan bekalan makanan sendiri. Krisis ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan melonjakkan harga nasi di setiap pinggan rakyat.

Jadi, berdamai dan bersatulah untuk perkara bersabit keselamatan dan kedaulatan negara, kepentingan rakyat serta kemakmuran bersama. Rakyat mahu melihat pada pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat ini, ada jawapan konkrit dan program yang akan menjadi titik penamat krisis sekali gus melenyapkan amarah mereka mengenai bekalan serta harga beras mulai 2024. Peruntukan khas mesti dibentangkan bagi memulihkan krisis bekalan sekali gus memacu sekuriti makanan negara.

Blok pembangkang juga mesti menyertai perbahasan Belanjawan 2024 secara profesional, membangkang secara bertanggungjawab dan memberi input terbaik kepada kerajaan untuk sama-sama memperkukuh sekuriti makanan negara. Kita mesti bebas cengkaman dan kebergantungan bahan makanan import yang kini mencecah RM75.5 bilion setahun. Jadi, membangunkan industri sekuriti makanan negara mesti dilaksanakan segera. Sebagai satu industri mega, kegiatannya akan mewujudkan pelbagai kegiatan sokongan yang akan memakmurkan sosioekonomi rakyat.

Dalam masa sukar ini, rakyat perlu diberi jaminan bahawa krisis beras dan bekalan makanan lain tidak berulang kerana ada program konstruktif untuk membina kemandirian sekuriti makanan negara. Mungkin antara yang boleh dipertimbangkan adalah melibatkan komuniti perniagaan untuk melabur secara terancang dalam pelbagai segmen pengeluaran bahan makanan seiring aspirasi sekuriti makanan negara dengan panduan serta pemantauan khusus kerajaan.

Juga, tidak mustahil meminda peraturan dan akta beberapa agensi berkaitan pertanian bagi memasukkan bidang baharu untuk diceburi, iaitu penghasilan bekalan sekuriti makanan negara.

Malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh diarah menceburi bidang baharu dan membina rantaian lebih kukuh dalam sektor penanaman padi dan sayuran, penternakan serta akuakultur.

Senario krisis ini menuntut Kerajaan Persekutuan dan negeri duduk semeja bagi merealisasikan matlamat Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) supaya setiap negara meningkatkan penghasilan makanan sehingga 70 peratus menjelang 2050. Untuk negara mencapai sekuriti makanan mampan, ia memerlukan asas pendekatan sistem holistik bersandarkan polisi komprehensif dan kesungguhan semua pihak.

Rumusannya, kesan daripada semua fakta dan senario ini, kini muncul nasionalisme yang mula didukung pemimpin di seluruh dunia, iaitu meletakkan keutamaan untuk rakyat sendiri.

Contohnya, polisi American First yang dipegang Presiden Donald Trump. Indonesia pernah menyekat eksport minyak sawitnya tahun lalu. Russia pada akhir September lalu menyekat eksport petrol dan diesel untuk menstabilkan pasaran domestik. Bahkan Malaysia pernah menyekat eksport ayam ke Singapura pada 1 Jun 2022 bagi mengawal harga dan menstabil pasaran domestik.

Alasan atau pegangan ini dijangka menjadi antara trend mega menjelang 2030. Persoalannya, apakah kita faham, menyedari dan sudah bersiap bagi mendepani realiti ini dengan membina kekuatan dalam segenap aspek rakyat dan domestik termasuk sekuriti makanan negara? – UTUSAN

Penulis ialah pengamal media dan perunding komunikasi, penulisan serta penerbitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×