Memastikan keselamatan negara, KDN lali dikritik

Memastikan keselamatan negara, KDN lali dikritik

SAIFUDIN Nasution Ismail (dua dari kiri) mengarahkan Jabatan Imigresen melakukan beberapa perubahan di pintu masuk negara seperti KLIA bagi melancarkan urusan masuk pelancong. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merupakan satu kementerian amat penting selaras dengan tanggungjawab besarnya selaku peneraju kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

Dengan sembilan jabatan/agensi besar di bawahnya, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Sukarelawan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), mengetuai KDN bukanlah satu tugas mudah kerana melibatkan isu-isu sensitif kepada rakyat dan negara.

Isu kewarganegaraan contohnya, sentiasa mendapat perhatian masyarakat. Manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 mengandungi ikrar untuk meminda Perkara 14(1) (b) dan Perkara 15(2) dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kerakyatan bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia kepada salah seorang ibu atau bapa warga Malaysia serta bagi memastikan ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti bapa. Turut dijanjikan, pindaan undang-undang untuk membolehkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak angkat.

Di bahu KDN, selain Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, terpikul bebanan berat ini. Bagaimanapun, di bawah pimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di KDN dengan bantuan Datuk Seri Azalina Othman Said di BHEUU, perkara ini sedang dalam proses untuk dilaksanakan. Dua jawatankuasa khas diwujudkan, iaitu di peringkat KDN dan Kabinet, lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan. Ia telah dipersetujui Kabinet dan akan dipersembahkan di mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-262 pada 24 hingga 26 Oktober ini.

Turut akan dipersembahkan di mesyuarat ini adalah kertas dasar mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam disediakan KDN setelah melalui beberapa sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan serta dibawa untuk dibincangkan oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 pada 28 Ogos lalu. Ia menyusuli kenyataan Saifuddin pada 16 Mei bahawa KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Dalam isu permohonan kewarganegaraan pula, Saifuddin menjelaskan di Parlimen pada 22 Februari lalu bahawa sejak 2013, KDN menerima 132,272 permohonan kewarganegaraan. Tambahnya, sejak mengetuai KDN pada 4 Disember 2022, beliau membuat keputusan 4,294 permohonan kewarganegaraan dengan hampir 67 peratus daripadanya diluluskan. Sasaran untuk memutuskan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan kewarganegaraan menjelang akhir 2023. Ternyata sasaran ini akan tercapai bila pada 1 Oktober lalu, Saifuddin mengumumkan KDN sudah membuat keputusan terhadap 9,539 permohonan kewarganegaraan setakat September lalu.

Selain isu-isu besar ini, banyak lagi pembaharuan yang telah dan sedang dibuat oleh KDN. Antara yang menonjol adalah usaha untuk membawa keluar 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen ke pusat penjagaan lebih kondusif bagi memastikan mereka mendapat akses kesihatan dan pendidikan. Projek rintisnya telah dilaksanakan melalui perasmian Baitul Mahabbah di Nilai pada 4 September lalu.

PASPORT

Seterusnya, cadangan penggubalan Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) untuk meningkatkan akses bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan penagih dadah supaya dapat kembali kepada masyarakat selain mengurangkan kesesakan di penjara.

Sehubungan dengan JIM, beberapa perubahan di pintu masuk negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diperkenalkan bagi melancarkan urusan masuk pelancong, Antaranya penyediaan meja bantuan dan penempatan pegawai mempunyai kemahiran berbilang bahasa. Selain itu, Saifuddin juga mengarahkan JIM mendapatkan mesin pencetak pasport berkapasiti tinggi bagi mengurangkan kesesakan di pejabat pengeluaran pasport.

Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), program turun padang JPN untuk urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman, juga diperhebatkan dengan 80 hingga 130 program setiap bulan.

Begitu juga usaha menurunkan masalah penagihan dadah dengan menukar Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) menjadi Kawasan Berisiko Rendah (KBR) dan Kawasan Bebas Dadah (KBD) dengan sasaran menukar 78 daripada 155 KBT menjadi KBR dan KBD pada hujung 2023 berada atas landasan dengan 73 sudah dicapai.

Antara yang menggembirakan ialah kejayaan Saifuddin mengusulkan Perdana Menteri supaya memberi peruntukan tambahan RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters, infrastruktur, fasiliti serta peralatan PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), ESSCom dan Jabatan Penjara selain peruntukan asal RM200 juta dalam Bajet 2023.

Di peringkat dunia, selain pengiktirafan atas kenaikan prestasi mendepani aktiviti keganasan apabila berada di tempat ke-75 menerusi Indeks Keganasan Global (GTI) pada 2022 berbanding 68 (2021), Malaysia juga dinaik taraf ke Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2023.

Lebih mengujakan, walaupun kadang-kadang berdepan dengan kritikan sebahagian masyarakat yang kurang senang dengan beberapa tindakan badan penguatkuasaan di bawah KDN, Saifuddin tetap mempertahankan pegawai beliau bila tindakan itu adalah demi keselamatan dan ketenteraman awam. Pada masa sama, beliau membuka ruang untuk pegawainya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada aduan salah laku.

Tegasnya, agak impresif juga perubahan di dalam KDN sejak hampir setahun lalu, dan negara pastinya akan terus selamat dan tenteram bila KDN berada di bawah ketua yang betul. – UTUSAN

Dr. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×