DI sebuah bilik dipenuhi dengan jilid buku-buku undang-undang yang bertindan-tindan dan daun kertas kekuningan, terdapat sebuah meja sehitam dan seberat beban rahsia, seringkali dibisikkan dalam dinding-dinding ini. Debunga debu berputar dalam cahaya jingga lembut meresapi melalui langsir tebal yang tersingkap, melemparkan aura misteri di sekitar bilik itu. Di situ, di tengah-tengah keributan ini, duduk seorang peguam.
Di hadapannya, di atas kerusi berlengan tinggi diperbuat daripada kayu mahogani gelap, duduk anak guamnya. Lengan dan jari-jarinya menari mengiringi ungkapan dan menjadi tanda-tanda seru kepada intonasinya.
Perjumpaan mereka adalah satu tenunan sulit, dijalin dengan kata-kata sehalus benang labah-labah, “Anak perempuan saya nak kahwin, tuan. Tapi saya yang risau, pasal saya tak pernah beritahu dia, yang sebenarnya dia tu anak angkat. Macam mana ni, tuan? Pening kepala saya. Saya juga kena fikirkan masa depan dia. Kalau dia anak angkat, macam mana saya nak pastikan dia boleh mewarisi peninggalan harta saya?”
Soalan sebegini adalah satu kebiasaan dalam pengalaman saya beramal sebagai peguam. Di Malaysia, undang-undang utama mengenai pengangkatan ialah Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257) dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253). Secara ringkasnya, Akta 257 memperkenalkan pengangkatan anak melalui proses mahkamah yang sering diungkap sebagai pengangkatan de jure. Akta 253 pula adalah lebih kepada pendaftaran pengangkatan bagi mendapatkan sijil pengangkatan, selalunya melibatkan kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kadangkala digunapakai bagi anak yang telah dijaga melebihi dua tahun. Pengangkatan ini dikenali sebagai pengangkatan de facto.
Mengimbau kembali perjumpaan dengan anak guam, saya merenungkan kepada konsep seorang ayah. Peranan ayah yang berakar dalam tradisi dan terpaut dalam fabrik sosial, pastinya merupakan pengalaman mendalam dan berbilang sisi yang tidak mempunyai takrifan seragam.
Dalam dunia masa kini, konsep seorang ayah melampaui sekadar pertalian biologi. Ia turut merangkumi bapa angkat dengan hati terbuka menerima tanggungjawab dan hak istimewa membesarkan seorang anak yang tidak diikat oleh darahnya.
BIOLOGI
Konsep seorang ayah yang berubah ini mengajak kita untuk menyelami dinamik unik membezakan antara ayah kandung dan bapa angkat, sambil mengakui sifat bersama menjadikan mereka tonggak kasih dan panduan dalam hidup anak-anak. Ayah kandung sering dilihat sebagai sambungan semula jadi antara seorang bapa dan anaknya terbina melalui keturunan, darah dan genetik yang berkongsi bersama. Ia adalah ikatan mendalam dan merentasi generasi. Bak peribahasa, bapa burik anaknya tentu rintik.
Tingkah laku seseorang anak itu dibentuk melalui acuan bapanya dan ini adalah sesuatu yang tidak boleh dikesampingkan.
Namun, walaupun ayah kandung terikat dengan pautan biologi dan baka, keterlibatan mereka dalam hidup seorang anak boleh berbeza secara ketara. Sesetengah merangkul peranan mereka sebagai penjaga dan mentor dengan komitmen kukuh, manakala yang lain mungkin lebih mementingkan diri sendiri.
KECOH
Baru-baru ini kecoh dibualkan mengenai seorang bapa yang kononnya telah menggunakan anak perempuannya bagi menanggung kehidupan dirinya. Bapa ini bukan sahaja dikatakan hidup menggunakan hasil pendapatan anaknya bagi membiayai kehidupannya. Lebih teruk lagi, bapa ini telah meninggalkan kewajipannya kepada keluarga sendiri selepas berkahwin dengan sahabat anaknya. Sudah tentu ini membuktikan ikatan pertalian darah sahaja tidak menjanjikan seseorang itu layak untuk digelar ayah.
Walaupun konsep anak angkat sudah lama berakar dalam fabrik sosial negara kita, ia selalu diberikan konotasi buruk. Coretan kisah anak angkat ini sering dipasangkan dengan layanan buruk dan deraan menyayat kalbu. Sepertimana peribahasa, bagai tekukur mengikut kata, yang menggambarkan seorang anak angkat boleh diperlakukan sesuka hati oleh ibu bapa angkatnya.
Namun, realitinya dalam kalangan bapa angkat, walau tiada ikatan genetik, masih sering ada yang utuh dalam memenuhi kewajipan mereka, tanpa perlu berkongsi sebaris asid deoksiribonukleik (DNA) sekalipun. Mereka merupakan jiwa-jiwa yang telah membuka hati dan menjadikan anak-anak bukan lahir daripada tubuh mereka sebagai sebahagian daripada darah daging dengan memberikan sentuhan kasih dan bimbingan.
Keikhlasan dan kasih sayang yang mereka persembahkan dalam peranan sebagai seorang bapa angkat mencabar norma-norma sosial selain mengetengahkan serta membuktikan bahawa kasih seorang bapa tidak terbatas kepada apa yang terpahat dalam genetik semata. Merekalah teladan bagi kepercayaan bahawa kasih sayang seorang ayah, bapa tidak terpaku pada ikatan darah semata sebaliknya terbentuk melalui perasaan dan pengalaman dikongsi bersama serta komitmen kukuh demi kesejahteraan anak-anak dikasihi.
Dalam resam dan aspirasi keluarga yang merubah, konsep apa itu seorang ayah sedang mengalami kebangkitan semula. Walaupun ayah kandung dan bapa angkat mungkin datang dari asal-usul berbeza, sasaran mereka untuk membina, menyokong dan mencintai anak-anak ialah inti bagi ramuan apa itu maksudnya menjadi ayah.
Intiha, konsep seorang ayah tidak lagi terikat semata-mata oleh baka dan pertalian darah, sebaliknya diperkaya oleh kasih sayang dan komitmen yang tidak terikat oleh batasan genetik. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










