Bertimbang rasa ketika berurusan dengan mahasiswa - Utusan Malaysia

Bertimbang rasa ketika berurusan dengan mahasiswa

PELAJAR yang menerima manfaat kebajikan mencukupi pastinya dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NELSON Mandela pernah berkata, “Pendidikan adalah senjata paling ampuh yang kita boleh gunakan untuk mengubah dunia.” Dalam erti kata lain, elemen pendidikan dan sudah pastinya pelajar adalah pelaburan dan aset untuk masa depan negara yang lebih gemilang.

Justeru, kebajikan pelajar seharusnya menjadi agenda penting sebagai satu bentuk pelaburan dalam pembangunan sumber manusia yang akan membawa kemajuan dan perkembangan negara ke tahap yang lebih membanggakan pada masa akan datang.

Jika dilihat kepada konsep kebajikan pelajar, perkara pokok yang bermain dalam fikiran setiap individu sudah pastinya memfokuskan kepada peluang pendidikan atau peningkatan akses kepada pendidikan, iaitu meliputi pembiayaan dan sokongan kepada pelajar untuk mendapatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara tidak langsung ini membolehkan lebih ramai individu dari pelbagai lapisan masyarakat untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Mengurangkan beban kewangan seperti biasiswa, pinjaman pendidikan yang berpatutan, dan bantuan kewangan dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar dan keluarga mereka.

Pelajar yang menerima manfaat kebajikan yang mencukupi pastinya dapat memberikan tumpuan kepada pembelajaran dan perkembangan diri, sekali gus menghasilkan individu yang lebih cemerlang dan berpotensi menjadi pemimpin masa depan dalam pelbagai bidang.

Kenapa pentingnya pelaburan generasi muda ini? Harus diingat, generasi muda membawa idea segar, kreativiti, dan keberanian untuk mencuba perkara baharu. Mereka adalah pendorong utama pembangunan dalam masyarakat dan ekonomi.

Pelaburan dalam pendidikan dan kebajikan pelajar membantu meningkatkan taraf pendidikan dan kompetensi generasi muda. Ini akan memperkukuhkan kemahiran tenaga kerja negara, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Generasi muda juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan mewarisi warisan budaya serta nilai-nilai sosial negara. Mereka juga membantu dalam memupuk semangat kebangsaan dan perpaduan.

UTAMA KEBAJIKAN PELAJAR

Justeru, pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amatlah tepat pada masanya. Dalam ucapan penutup beliau, Perdana Menteri telah menekankan komitmen yang kukuh terhadap kebajikan pelajar universiti.

Melalui tindakan dan insentif yang diumumkan, nampaknya beliau bukan sahaja mengakui tetapi juga bertindak proaktif untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pelajar universiti, terutama mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Satu aspek yang diberikan penekanan oleh beliau ialah peranan yang dimainkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) di universiti awam. Dalam nada tegas, Perdana Menteri menyeru agar BHEP mengambil peranan yang lebih proaktif dalam memudahkan dan membantu mahasiswa serta bakal pelajar yang menghadapi masalah pembayaran yuran.

Ini boleh dilihat sebagai satu langkah positif untuk memastikan hak semua mahasiswa terpelihara, tanpa mengira lapisan ekonomi mereka. Dalam konteks ini, kita melihat bahawa sikap timbang rasa dan bertoleransi tinggi haruslah menjadi keutamaan setiap warga kerja universiti terutamanya yang berhubungan langsung dengan pelajar.

Pelbagai insentif lain turut digariskan oleh beliau termasuklah diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seolah-olah memberikan nafas lega kepada graduan yang mungkin masih berada dalam fasa penyesuaian selepas tamat pengajian.

Pelajar orang kurang upaya (OKU) turut menerima manfaat dari pembentangan itu yang mana dana untuk Program Pengupayaan Komuniti Madani dan OKU yang memperuntukkan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk membuktikan kepekaan terhadap kepelbagaian dan keperluan unik setiap komuniti dalam kalangan pelajar.

PRASARANA DAN CAPAIAN WI-FI

Teknologi komunikasi dan internet memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan pelajar di era moden. Elemen yang paling utama sudah pastinya penyediaan akses kepada maklumat dan pengetahuan yang luas dan pelbagai.

Pelajar boleh memanfaatkan kemudahan tersebut untuk mencari bahan pelajaran, rujukan, dan sumber-sumber akademik secara dalam talian, yang memperkaya pembelajaran mereka.

Selain itu, susulan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020 yang lalu, pembelajaran dalam talian seakan menjadi satu bentuk pengajaran dan pembelajaran baharu yang membolehkan pelajar mengakses kursus dan program pendidikan dalam talian dari universiti dan institusi pendidikan di seluruh dunia. Ini membolehkan mereka meningkatkan pengetahuan masing-masing sesuai dengan bidang pengajian tanpa perlu berpindah ke tempat lain.

Penggunaan teknologi komunikasi dan internet juga membantu pelajar mengembangkan kemahiran digital yang membolehkan mereka memahami dan menguasai perisian dan aplikasi yang relevan dengan pembelajaran dan pekerjaan.

Justeru, peruntukan dana sebanyak RM300 juta untuk pembaikan prasarana dan peralatan yang usang di institusi pengajian tinggi (IPT) serta RM250 juta untuk meningkatkan capaian Wi-Fi di universiti awam adalah langkah terbaik yang membantu universiti untuk menyediakan kemudahan dan prasarana teknologi yang kondusif.

ISU YURAN PELAJAR

Universiti terutamanya universiti awam bukanlah dipenuhi oleh golongan pelajar dari latar belakang keluarga berpendapatan tinggi. Sejajar dengan objektif asas penubuhannya berserta pemberian pelbagai subsidi termasuk yuran pengajian secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan sejak dari zaman dahulu lagi untuk memudahkan urusan pembelajaran pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Atas dasar itu juga, keputusan untuk membataskan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam kepada maksimum RM1,500 bermula Januari 2024 adalah langkah yang membantu menyemarakkan akses pendidikan tinggi tanpa mengabaikan kewangan pelajar.

Tidak ketinggalan, langkah mengizinkan pelajar yang tidak mampu membayar yuran pengajian untuk mendaftar subjek pada setiap semester dan pembayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek menunjukkan kefahaman terhadap realiti kewangan yang dihadapi oleh sebahagian pelajar.

Secara tuntasnya, Belanjawan 2024 memberikan harapan dan cahaya kepada masa depan pendidikan tinggi negara, dan adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa harapan ini direalisasikan dengan sebaik mungkin. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×