JIKA diandaikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mencakupi tempoh 2021 hingga 2025 sebagai acara larian maraton kategori lima kilometer (km), Malaysia menerusi Belanjawan 2024 akan memasuki jarak larian dua kilometer terakhir. Sudah tentu dalam jarak sebegini, Malaysia perlu melakukan pecutan akhir bagi mencapai pelbagai sasaran pembangunan.
Menyokong kepada proses tersebut, Belanjawan 2024 yang merupakan medium kepada pelaksanaan rancangan jangka pendek dilihat mengetengahkan ikhtiar untuk memperkukuh asas ekonomi negara dan memperkasa rakyat.
Dari perspektif pengukuhan asas ekonomi, kerajaan terus mengarahkan usaha kepada proses merombak struktur ekonomi. Proses ini penting terutama pada ketika krisis ketegangan geopolitik yang bagai tiada kesudahan terus merencatkan arah pertumbuhan ekonomi dunia.
Sebagai contoh, konflik Russia dan Ukraine telah menjejaskan rantaian perbekalan global disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Russia yang merupakan antara pengeluar input pertanian terbesar dunia. Kini, konflik antara Palestin dan Israel yang kian memuncak pula dijangka membawa kesan besar kepada tingkat harga minyak global.
Dengan adanya rombakan struktur, daya tahan ekonomi akan mampu diperkukuh dan seterusnya membawa kepada peningkatan hasil negara. Situasi ini akan membantu mengimbangi bebanan kerajaan dalam menanggung peningkatan jumlah subsidi, khususnya bagi subsidi input pertanian dan minyak yang berkait rapat dengan persekitaran geopolitik.
Di samping itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut disandarkan sebagai agen pengukuhan asas ekonomi. Kewajaran bagi tumpuan berterusan terhadap PMKS terletak pada peratusan aktiviti perniagaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana yang mewakili lebih 98 peratus daripada pertubuhan perniagaan berdaftar di negara ini.
KACA MATA RAKYAT
Selain itu, penumpuan kepada PMKS melalui peningkatan kemudahan pinjaman perniagaan juga merupakan kaedah tidak langsung akan menggalakkan formalisasi perniagaan kecil yang masih tidak berdaftar. Dengan adanya peningkatan akses kewangan sebegini, golongan rakyat yang ingin menceburi aktiviti perniagaan kecil-kecilan juga akan dapat memulakan langkah keusahawanan mereka.
Beralih kepada perspektif pemerkasaan rakyat, pelbagai inisiatif bantu ekonomi rakyat diberikan, malahan jumlah bantuan diberikan juga meningkat dengan ketara berbanding Belanjawan 2023. Impak bantuan ini boleh dilihat dari dua sudut pandangan, iaitu rakyat dan makroekonomi.
Dari kaca mata rakyat, bantuan yang diberikan sudah semestinya akan memberikan kelegaan disebabkan keadaan yang kian terhimpit dengan bebanan peningkatan kos sara hidup. Dengan keadaan harga barangan makanan yang kian meningkat, sekurang-kurangnya bantuan diterima akan dapat dibelanjakan sebaiknya.
Dari sudut makroekonomi pula, langkah ini merupakan satu kaedah yang akan membantu meningkatkan kitaran ekonomi pada 2024 melalui peningkatan perbelanjaan rakyat. Ini penting kerana hampir dua per tiga daripada hasil negara yang diukur berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang oleh perbelanjaan isi rumah.
Yang penting, peningkatan jumlah bantuan tidak boleh ditafsir sebagai kegagalan kerajaan untuk mengekang isu kenaikan kos hidup. Tetapi bantuan yang diberikan merupakan ikhtiar jangka pendek bagi mengatasi isu ini. Untuk menyandarkan proses penyelesaian isu ini kepada tempoh Belanjawan 2024 sahaja adalah tidak realistik disebabkan keadaan negara yang terdedah kepada pelbagai aspek perkembangan global.
Diharapkan ikhtiar yang digerakkan oleh Belanjawan 2024 mampu terus memperkukuh asas ekonomi negara, malah melangkaui tempoh belanjawan yang ditetapkan untuk memastikan sasaran pembangunan RMK-12 dicapai. Ini sekali gus akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal. – UTUSAN
Dr. Chakrin Utit ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.










