Ayah yang melindungi anak-anak

Ayah yang melindungi anak-anak

RAMAI ayah di luar sana yang sanggup bermatian untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan anak-anak mereka. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sebab itu tidaklah hairan, jika orang pertama yang menjadi lambang cita saya ialah ayah saya sendiri. Dan kekaguman ini tidak kendur setelah saya bertambah dewasa, bahkan bertambah mendalam. Bertambah saya tua, tiap hari cerita tentang kebesaran ayahlah menjadi buah mulut saya.” – Buya Hamka

Pada Ogos lalu, seorang bapa dari Kanada menang rayuan terhadap sabitan dan hukuman pemenjaraan serta denda dikenakan terhadapnya kerana melanggar larangan memanggil anak perempuannya yang merupakan seorang transgender dengan panggilan salah jantina (misgendering). Dia ditahan pada 2021 kerana kononnya telah memanggil anak perempuannya dengan panggilan daughter dan menggunakan kata ganti she atau her apabila merujuk kepada anaknya itu secara terbuka.

Penahanan tersebut dilakukan kerana mahkamah berpendapat tindakan bapa ini boleh dianggap sebagai keganasan rumah tangga kerana gagal menghormati pilihan anaknya dan dilihat menindas hak anak perempuannya untuk memilih jantinanya. Hakikatnya, apa yang berlaku ialah bapa ini telah bertindak menentang terapi hormon yang dibenarkan ke atas anaknya secara terbuka selain mempersoalkan dasar kerajaan Kanada membenarkan terapi hormon ke atas kanak-kanak dan remaja meskipun tanpa keizinan ibu bapa.

Keputusan rayuan ini tepat pada masa peralihan polisi di Kanada yang kini mewajibkan keizinan ibu bapa diperoleh sebelum kanak-kanak dan remaja boleh menukar nama dan panggilan kata ganti (pronouns) mereka di sekolah. Biarpun seorang ayah telah menghabiskan tempoh dua tahun daripada hayatnya terikat dalam proses di mahkamah jenayah yang panjang dan melelahkan, namun akhirnya prinsip diyakininya dalam memelihara kesejahteraan anak perempuannya terbukti benar.

Saya pasti ramai ayah di luar sana yang sanggup bermatian untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan anak-anak mereka.

Maka tidak pelik apabila melihat trend semasa yang menunjukkan semakin ramai bapa yang menuntut hak jagaan atau akses lawatan kepada anak-anak mereka selepas penceraian berlaku.

Malah di Malaysia kini ada persatuan yang khusus bagi menuntut pengiktirafan hak bapa. Mereka memperjuangkan agar mendapat hak setara dalam hal penjagaan anak-anak mengikut peruntukan di bawah Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 (Akta 351) yang menyatakan hak serta kuasa seorang bapa dalam hal jagaan, serta hal sokongan, kesihatan dan pendidikan anaknya ialah sama dengan hak serta kuasa ibu kanak-kanak itu.

Pun begitu, di bawah Seksyen 88 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) terdapat tanggapan undang-undang yang boleh dipatahkan bahawa untuk kebaikan seseorang anak di bawah umur tujuh tahun untuk dia berada dengan ibunya.

ORANG ASLI
Atas sebab itu, kita sering mendengar dalam kes penceraian atau perebutan hak penjagaan, acap kali mahkamah memihak kepada ibu walaupun Akta 164 telah memperuntukkan garis panduan yang boleh dipertimbangkan mahkamah dalam menentukan hak jagaan. Pertimbangan utama haruslah melihat kepada kebajikan kanak-kanak itu dan seterusnya mempertimbangkan kemahuan ibu bapa dan anak itu sendiri.

Pertengahan tahun ini, tular kes perebutan hak penjagaan seorang kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli melibatkan juga isu pertukaran agama. Ramai yang memainkan isu sentimen kasihan dan melihat kebajikan anak lebih terpelihara jika anak itu berada dalam jagaan ibunya. Namun, mahkamah memutuskan hak jagaan diberikan kepada bapa atas beberapa faktor termasuklah bagi memastikan anak tidak mengalami gangguan dalam persekitarannya yang selama ini dibesarkan dalam komuniti Orang Asli.

Dalam bidang sains, khususnya neurobiologi, ikatan di antara bapa dan anak dilihat sebagai suatu yang memerlukan masa memandangkan rembesan hormon oksitosin tidak berlaku semasa tempoh kandungan bayi sebaliknya berlaku apabila bayi dilahirkan dan bapa itu memainkan peranan penjaga yang berinteraksi dengannya setiap hari. Pun begitu, aspek hormon ini tidaklah membuktikan seorang bapa mempunyai ikatan sosial yang lemah dengan anak-anaknya berbanding ikatan sosial seorang ibu.

Perlu ditekankan bahawa kajian sosiologi banyak menyatakan peri penting penglibatan bapa dalam hal jagaan anak-anak. Antara kesan buruk apabila bapa tidak memainkan peranan aktif dalam kehidupan anak-anak mereka ialah isu dalam tingkah laku dan kesihatan mental kanak-kanak.

Secara umumnya, penglibatan seorang bapa mengurangkan kekerapan masalah tingkah laku dan delinkuens pada anak lelaki dan masalah psikologi pada anak perempuan, sekali gus memudahkan perkembangan kognitif kanak-kanak.

Penekanan yang khusus harus diberikan dalam garapan dasar pemeliharaan kanak-kanak yang melihat kepada kebajikan anak-anak lebih terpelihara dan dilindungi apabila seorang bapa aktif dalam penjagaan kanak-kanak.

Contohnya dalam kes di Kanada, bapa kepada anak perempuan transgender itu mendesak agar terapi hormon yang diberikan kepada anaknya ditangguhkan selepas anaknya lebih matang kerana kajian terdahulu sudah pun menunjukkan kesan negatif kepada tumbesaran remaja yang diberikan terapi hormon di usia terlalu muda.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN