Apa yang dibela oleh kuasa besar? - Utusan Malaysia

Apa yang dibela oleh kuasa besar?

Anwar Ibrahim ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sewaktu ucapan sulung beliau di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke 78 baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangannya mengenai ketidakstabilan imbangan geopolitik. Geostrategik dunia semakin kembali kepada persaingan kuasa-kuasa besar sepertimana era Perang Dingin 1.0 dahulu.
Beliau membidas persaingan politik kuasa-kuasa besar yang semakin mengetepikan PBB sebagai suara sejagat bagi memastikan keamanan terus dikekalkan. Kuasa-kuasa besar ini juga cenderung membina pakatan dengan menindas negara kecil untuk menyertai mereka.
Anwar mengutarakan perang di Ukraine, penyelesaian konflik Palestin, keadaan kemanusiaan di Afghanistan, permasalahan Myanmar dalam ASEAN, perubahan iklim dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), dan Islamofobia sebagai contoh bagaimana kuasa-kuasa ini hanya mementingkan diri sendiri dan tidak berusaha menyelesaikan cabaran dihadapi dunia kini. Saya cenderung mengulas pernyataan beliau dalam dua isu yang mana merupakan kesinambungan legasi Perang Dingin terdahulu – Perang di Ukraine dan konflik berpanjangan Palestin.
Anwar mengeluarkan kenyataan keras terhadap tindakan pencerobohan tentera Rusia ke wilayah Ukraine. Walaupun secara geografinya, Ukraine jauh dari negara ini tetapi tempiasnya terkena kepada negara ini. Negara terkesan akibat daripada tragedi pesawat MH17 yang mengorbankan lebih 200 nyawa. Kegagalan untuk membawa mereka yang terlibat secara langsung dalam penembakan jatuh pesawat MH17 akibat dilindungi satu kuasa besar, menambahkan luka rakyat negara ini.
Kekesalan Malaysia tentang apa yang berlaku di Ukraine boleh juga difahami dalam konteks permasalahan keselamatan makanan dan peningkatan kos hidup serta inflasi yang semakin membimbangkan. Konflik itu menyebabkan rantaian pembekalan makanan terganggu. Tekanan ekonomi semakin dirasakan oleh setiap lapisan masyarakat.
Konflik ini adalah persaingan kuasa besar dalam suasana Perang Dingin 2.0. Oleh itu, sebagai negara kecil, kita harus berhati-hati agar tidak terjebak dengan kancah pertembungan geopolitik Rusia-AS. Malaysia tidak harus dilihat menyokong sebelah pihak. Kita perlu pastikan dasar berkecuali sejak dulu lagi diteruskan.
Aspek penyelesaian damai ini telah lama ditekankan Malaysia dalam konflik Palestin. Jika Ukraine menyebabkan rakyatnya hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di negara lain, Palestin telah lama mengalami kesengsaraan itu. Malangnya, kuasa-kuasa besar semakin melupakan isu kemanusiaan dialami Palestin yang berterusan ditindas rejim Yahudi. Tidak hairanlah, Anwar menuduh kuasa-kuasa besar melakukan ‘hipokrasi terang-terangan’ yang tidak diendahkan. Ini dapat dilihat apabila Islamofobia terus menjadi agenda Barat. Apa yang menyakitkan apabila masyarakat antarabangsa sendiri tidak menyanggah fobia ini. Pada masa sama, mereka semakin lemah menyuarakan isu pencabulan hak asasi dan ketidakadilan yang melanda Palestin.
Dunia Arab pula terus dihantui oleh konflik keabsahan rejim yang berkuasa. Akibat tidak selamatnya kedudukan politik mereka, rejim-rejim Arab ini semakin bergantung kepada sokongan diplomatik dan politik sama ada AS mahupun Rusia. Yang penting mereka selamat daripada goncangan dan kehendak demokrasi rakyat mereka. Maka berlumba-lumbalah mereka memodenkan negara dengan membina bangunan pencakar langit, bandar terbesar dunia, dan membuka negara kepada kebanjiran pelancong Barat atas alasan untuk membantu ekonomi mereka. Natijahnya, permasalahan saudara sebangsa dan seagama di Palestin semakin tidak mendapat tempat.
Isu Palestin dibawa secara konsisten oleh Malaysia. Dari sejak era pentadbiran Tunku Abdul Rahman sehingga kepada Anwar, konflik ini sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia. Malaysia adalah pendukung kuat kepada hak dan kedaulatan rakyat Palestin. Isu inilah yang menaikkan imej diplomasi Malaysia di dunia bukan sahaja dalam kalangan negara Arab-Islam tetapi juga negara membangun. Malaysia harus terus berani menentang arus dan pendirian Barat yang condong untuk membela Israel dan membiarkan Palestin terus tidak dibela.
Ironinya, fokus dunia yang diterajui Barat sengaja mengalihkan perhatian dunia tentang kekejaman Rusia terhadap rakyat Ukraine. Masyarakat antarabangsa lupa kekejaman rejim Zionis berlaku hampir 80 tahun lalu bukan sahaja menimbulkan isu tetapi genocide (pembunuhan beramai-ramai) yang dilakukan rejim Israel. Kita tidak akan lupa peristiwa di kem pelarian Sabra dan Shatila pada 1982 di mana tentera Israel membiarkan kumpulan militia Phalange membunuh rakyat Palestin. Siri pembunuhan terbaru askar rejim Zionis ini berlaku beberapa hari lalu apabila dua rakyat Palestin dibunuh di kem pelarian di bandar Tulkarem, Tebing Barat.
Apakah yang ingin didustakan oleh kuasa besar seperti AS dengan kekejaman dilakukan Israel dengan mengalih perhatian dunia kepada isu Ukraine? Perang Ukraine tidak mungkin mencapai jalan penyelesaian semudah dijangkakan oleh pihak Barat. Buat masa ini Ukraine seolah-olah mempunyai kemenangan moral kerana semakin berjaya memaksa pengunduran tentera Rusia di wilayah yang ditakluki sebelum ini.
Rusia di bawah Putin tidak sebodoh seperti disangka Barat. Jika Rusia mahu menghancurkan Ukraine secara total, ia dilakukan pada awal 2022 lagi. Tetapi strategi Rusia bukanlah kepada Ukraine tetapi memberi kesengsaraan ekonomi dan perdagangan kepada sekutu AS di Eropah. Dunia kini sedang mengalami kesengsaraan tersebut.
Sepertimana dinyatakan Anwar dalam ucapannya, konflik gagal mendapat tempat agenda Barat sedangkan rejim Zionis jelas melanggar undang-undang antarabangsa dengan membalas dendam dan terus mewujudkan perkampungan haram. Resolusi penyelesaian PBB mengenai perwujudan dua negara gagal dipenuhi malah dipersendakan rejim Israel. Kuasa besar pula lebih condong tidak menghormati resolusi dicapai sebelum ini.
Malaysia mesti memastikan agenda diplomasinya menekankan kepada penyelesaian konflik berpanjangan Palestin. Dalam dunia antarabangsa semasa, Palestin tidak ada sesiapa kecuali doa, sokongan, dan bantuan kita.

Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor Keselamatan Negara dan Felo Kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya