MUKADIMAH
KEWUJUDAN Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas berjaya melengkapkan laporan siasatan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ini sekali gus menunjukkan PAC yang dipengerusikan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan Dewan Rakyat bagi memastikan perbelanjaan wang negara terpelihara.
Bagaimanapun, selepas lengkapnya laporan siasatan LCS, kewujudan dan peranan PAC dilihat menjadi ‘samar’. Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengerusi PAC baharu, DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN bagi mendapatkan perspektif beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Selepas lebih tiga bulan sebagai Pengerusi PAC, bagaimana Datuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang ada setakat ini?
MAS ERMIEYATI: Alhamdulillah, setakat ini semua ahli jawatankuasa PAC termasuk saya dapat melalui segala proses dengan baik selepas hampir tiga bulan berkhidmat.
Walaupun kami daripada latar belakang yang berbeza, kami dapat melaksanakan tugas dengan jayanya. Malah kerjasama yang diberikan juga baik. Justeru saya harus rakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua sekretariat PAC yang turut membantu menjalankan tugas-tugas diamanahkan. Mereka berpengalaman dalam urus tadbir.
PERBEZAAN IDEOLOGI POLITIK
Adakah terdapat tekanan apabila bekerja bersama ahli PAC lain yang datang daripada pelbagai latar belakang termasuk ideologi parti politik?
Ini kali kedua saya berada dalam PAC. Kali pertama pada 2013 hingga 2015. Jadi, semangatnya sama. Maksudnya di sini masing-masing memberikan komitmen kerja dengan tahap profesionalisme yang tinggi.
Soal kepartian dan kefahaman itu semua diletakkan ke tepi dalam menjalankan tugas PAC. Ini penting kerana kita perlu fokus kepada isu dan perkara berbangkit tentang tadbir urus atau tata kelola serta urusan kewangan negara.
Jadi, apabila ada satu matlamat utama dengan pengalaman berbeza, apa yang saya rasakan adalah perasaan syukur dan terima kasih kepada anggota PAC yang berdedikasi memberikan 100 peratus komitmen dalam menjalankan tugas-tugas PAC.
Bagaimana dengan bebanan sebagai Pengerusi PAC jika dibandingkan ketika menjadi anggota?
Waktu kali pertama sebagai anggota semestinya berbeza berbanding waktu sekarang. Dan beban itu semestinya lebih besar dengan harapan yang diletakkan kepada Pengerusi.
Tetapi bersyukur sebab ada timbalan yang membantu dan ahli lain yang sentiasa komited dalam apa juga yang memperlihatkan portfolio ini. Saya percaya walau berat pun tanggungjawab diberikan dengan ada kerjasama serta persefahaman, Insya-Allah ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Saya sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan kalau ada apa-apa perbincangan kita bawa dalam mesyuarat PAC. Begitu juga kalau ada perkara dibangkitkan, kita akan bawa kepada mereka.
Bagaimana prosedur dan kriteria yang diambil kira untuk melakukan siasatan dalam satu-satu isu oleh pihak PAC?
Kita lihat pada isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan isu-isu semasa yang ada dalam radar.
Pelbagai aspek diambil kira dalam menentukan atau memilih sesuatu kes dan siasatan untuk kita jalankan seperti impak terhadap sosio ekonomi serta impak negatif dalam kewangan yang lain, tahap risiko dan kesan yang telah berlaku dan akan berlaku daripada satu-satu isu.
Sebagai contoh, bagi isu berkaitan LKAN, apabila ada LKAN yang dibentang kepada Dewan Rakyat, Ketua Audit Negara datang, kami akan bincang dan bermesyuarat bagi membuat keputusan terhadap isu yang akan disiasat. Hanya isu yang dipersetujui semua ahli sahaja akan ke tindakan seterusnya (disiasat).
Adakah laporan Ketua Audit negara wajib dibahaskan?
Kalau kita lihat, bermula sesi Parlimen Ke-14 sudah menjadi kewajipan untuk Ketua Audit dan Jabatan Audit Negara beri taklimat kepada PAC untuk setiap LKAN yang dibentangkan.
Dalam konteks Dewan Rakyat, tiada mana-mana peruntukan yang menetapkan bahawa LKAN perlu dibahaskan. Namun, mengikut amalan terbaik Supreme Audit Institution (SAI), perbahasan laporan Ketua Audit Negara dapat membantu kementerian berkenaan dalam mengetengahkan masalah yang dihadapi yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan segera.
Di samping itu, peruntukan tahunan juga dapat disediakan dengan lebih teratur dan tepat dengan mengenal pasti aspek yang bermasalah serta kekurangan peruntukan untuk beroperasi secara minimum.
KRITIKAN
Ada beberapa kritikan yang dilemparkan terhadap Datuk sebelum ini. Adakah itu menjadi tekanan besar jika dibandingkan dengan tugas yang pernah disandang dalam Kabinet sebelum ini?
Saya kira itu lumrah apabila menjadi seorang pemimpin ataupun apabila kita diberi tanggungjawab dan tugas besar.
Jadi, saya kira dalam menjalankan apa juga tugasan, kita tidak boleh lari daripada dipuji di kecam atau sebagainya.
Semua perkara ini boleh berlaku. Awak bayangkan kalau jadi guru besar atau cikgu disiplin sekalipun ia tetap berlaku. Tapi perkara ini tidak melemahkan semangat dan anggota PAC yang lain.
Apa yang saya harapkan ia dapat dijadikan penambahbaikkan peluang dan ruang untuk kita melakukan pembaharuan, penambahbaikkan dan sebagainya.
Ini juga memberikan kenyataan saya selaku pengerusi PAC tidak duduk dengan selesan dan jalankan tugas dengan baik serta tidak berkompromi dan jalanan amanah sebaiknya.
BELUM DIUJI
Peranan Datuk sebagai Pengerusi PAC mungkin masih belum diuji berbanding pengerusi sebelum ini yang perlu menyiasat isu berkaitan LCS. Pandangan Datuk?
Mungkin situasi berbeza mengikut waktu dan keadaan. Pada waktu saya menjawat jawatan sebagai Pengerusi PAC tiada isu besar sebagaimana sebelum ini.
Tetapi apa yang kita lalui sama. Anggota dan pihak terlibat sama. Iaitu agensi, kementerian sama. Fungsinya pun sama bagi memastikan kerajaan dan badan-badan berkanun atau mana-mana pihak jalankan tugas sebaik mungkin, tidak membazirkan wang rakyat.
Mungkin isu yang kami bincangkan ataupun yang kami siasat tidak sebesar LCS atau ada faktor ‘wow’.
Tapi ia satu petanda baik sebab kita telah lalui satu proses untuk terus beringat bahawa dalam setiap duit yang hendak dibelanjakan itu duit rakyat. Mereka harus pegang amanah yang besar kerana duit tidak boleh sewenang-wenangnya dibelanjakan. Tadbir urus perlu dilaksanakan dengan baik. PAC sentiasa memerhati. Kita mahu hasilkan laporan terbaik.
KES DATUK ZAHID HAMIDI
Datuk juga merupakan pengamal undang-undang. Apakah pandangan Datuk terhadap kes membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?
Perkara ini harus dijawab Peguam Negara dan penjelasan perlu diberikan kepada rakyat yang mahukan jawapan kepada keputusan yang telah pun dibuat.
Pada fikiran saya mungkin ramai yang akan beranggapan keputusan dibuat ini sama dengan keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi, sebenarnya berbeza. Satu daripada melibatkan aspek pertuduhan dan kedua kesalahan. Kedua-duanya ada kecacatan.
Kesalahan yang diletakkan kepada Muhyiddin itu disebabkan peruntukan diberikan bukan atas namanya, akaun lain yang bukan dibelanjakan atas kepentingan peribadi. Sebab itu, saya katakan ia bebeza dengan Ahmad Zahid yang mempunyai 47 pertuduhan dan ada prima facie.
Lagipun pembelaan sudah masuk dan perbicaraan pun mengambil masa selama empat tahun dengan 99 saksi dipanggil. Dalam tempoh itu, bukan sedikit perkara dibuktikan.
Saya kira perlu beri ruang pada hakim. Belum sempat penghakiman dilaksanakan, pertuduhan dan pendakwaan telah ditarik. Sebab itu, penjelasan harus diberikan. Saya bimbang ia menjadi satu gambaran yang tidak baik kepada negara kita.
PELAPIS SRIKANDI
Ada yang melihat Srikandi Bersatu tidak mempunyai barisan pelapis untuk diketengahkan. Komen Datuk?
Saya ada berbincang dengan sahabat pimpinan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat betapa perlu kita melahirkan pemimpin wanita. Impaknya bukan itu sahaja.
Kita juga ada perbincangan bipartisan antara ahli parlimen dan ahli politik wanita walaupun latar belakang berbeza dan kita memberikan pandangan sama iaitu perlu kita melahirkan pemimpian wanita untuk kita gilap jauh ke hadapan sebagai pemimpin nanti.
Macam yang ada sekarang siapa yang akan jadi pelapis nanti? Ada perkara baik yang kita boleh lihat dalam parti lain untuk beri peluang dan latihan kepada wanita dan ditonjolkan kepada.
Kita adakan pertukaran dengan negara jiran dan kita belajar dengan mereka supaya diberi pendedahan.
TIDAK GARANG
Ada yang melihat Datuk tidak ‘garang’ dan kurang menonjol berbanding Pengerusi PAC yang terdahulu? Reaksi Datuk?
Setiap orang mesti ada gaya tersendiri. Begitu juga dengan saya. Yang penting apakah hasilnya yang ingin kita lihat dalam kita melaksanakan tugas yang diberikan. Begitu juga dengan output PAC Parlimen ke-15 yang terbaik boleh saya berikan dengan menepati standard sebagaimana Pengerusi PAC yang terdahulu lakukan. Malah mungkin lebih baik.
Kalau kita tengok penggal Parlimen ke-14 ada tiga pengerusi PAC. Jadi, banyak juga perkara yang tidak dapat dilaksanakan, maksudnya sudah habis. Contoh, isu kapal tempur pesisir (LCS), ia dah sampai ke penghujung.Tapi apabila Parlimen bubar ia tak dapat dibentangkan pula.
Jadi, saya kira sebab itu kita harap kali ini kita dapat melaksanakan tugas sampai garis penamat kerana apabila ada isu yang kita bangkitkan ada banyak proses kita harus lakukan dan ia akan mengambil masa, komitmen serta ruang daripada sudut prosiding, perbincangan dan kehadiran saksi.
Justeru, ia mengambil kira banyak komitmen daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung. Saya fikir antara lain selain komitmen, isu yang dibincangkan juga memainkan peranan. Penggal lepas antara isu yang popular LCS dan sebelum itu 1MDB. Tetapi kali ini tidak ada. LCS pun tentang laporan dan proses kerja-kerja yang kini dilaksanakan.
Maksudnya tiada isu yang sangat besar hendak diketengahkan atau jadi isu utama di dada akhbar berbanding sebelum ini.
Perkembangan terbaru LCS?
Insya-Allah minggu depan kita akan mengadakan mesyuarat PAC bagi mendapatkan perkembangan pembinaan kapal LCS yang perlu dibentangkan setiap tiga bulan. – Mingguan Malaysia










