UMNO, Pas, Bersatu ikhlaskah bela Melayu?

UMNO, Pas, Bersatu ikhlaskah bela Melayu?

PAS dan Bersatu belum diterima sebagai parti utama orang Melayu walaupun kerjasama antara kedua-dua parti menunjukkan tanda-tanda peningkatan kerjasama orang Melayu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘TAK Melayu hilang di dunia’ adalah satu ungkapan biasa dilaungkan oleh orang Melayu di seluruh negara. Katanya ini adalah kata-kata hikmat Hang Tuah, pahlawan Melayu tersohor pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Benarkah kata-kata ini oleh Hang Tuah?

Benar atau tidak ia tidak penting. Apa yang jauh lebih penting adalah manifestasi kata-kata ini dengan realiti sedang berlaku sekarang dan masa depan orang Melayu. Benarkah bangsa Melayu tidak akan hilang dari dunia Melayu ini dengan apa yang berlaku sekarang?

Kedudukan ekonomi kita bukan lagi dikuasai dengan kuat oleh orang Melayu. Kedudukan politik kita dalam keadaan terumbang-ambing dan arah tuju malap dan kabur. Perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu berada dalam keadaan benar-benar serius.

Kita kehilangan pemimpin yang boleh menyatukan keseluruhan orang Melayu. Tidak ada seorang pemimpin besar dalam kalangan orang Melayu yang boleh benar-benar diterima oleh majoriti orang Melayu.

UMNO yang sebelumnya diterima sebagai parti politik utama orang Melayu telah ditolak oleh majoriti pengundi Melayu. Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos 2023 jelas menunjukkan UMNO telah ditolak oleh majoriti orang Melayu. Begitu juga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022. UMNO bukan lagi parti utama orang Melayu dengan hanya mendapat kemenangan 26 anggota Parlimen.

Pas juga belum lagi diterima oleh majoriti orang Melayu secara menyeluruh. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga belum diterima sebagai parti utama orang Melayu walaupun kerjasama antara Pas-Bersatu menunjukkan tanda-tanda peningkatan kerjasama orang Melayu.

Pas perlu melakukan reformasi dasarnya lebih menyeluruh supaya lebih boleh diterima oleh pengundi bukan Melayu. Pas dan Bersatu sukar untuk menjadi parti utama peringkat Persekutuan tanpa sokongan pengundi bukan Melayu. Walaupun tidak 100 peratus, sekurang-kurangnya sokongan 40 hingga 50 peratus adalah perlu.

Pimpinan Pas di semua peringkat perlu melakukan satu dasar lebih liberal yang mampu meyakinkan pengundi bukan Melayu dan dalam masa sama tidak mengurangkan sokongan dan keyakinan orang Melayu terhadap Pas.

KOLOT

Ungkapan ‘tak Melayu hilang di dunia’ perlu diterjemahkan dengan lebih tepat serta perlu dilengkapkan dengan ungkapan sebenar. Perkataan ‘selagi Melayu berpegang kepada agama (Islam)’ jangan ditinggalkan. Ungkapan sebenar bukannya ‘tak Melayu hilang di dunia’ tetapi yang lengkapnya adalah ‘tak Melayu hilang di dunia, selagi berpegang kepada agama (Islam).’

Orang Melayu menjadi kuat kerana unsur-unsur Islam yang dipegang dengan penuh yakin. Sejak kedatangan Islam, orang Melayu bersatu dan menjadi bangsa yang kuat berpaksikan prinsip dan unsur Islam. Kerajaan Melayu Melaka, Kesultanan Acheh, Kesultanan Melayu Brunei, kerajaan Sulu-Maguindanao, semuanya menjadi kuat kerana nilai-nilai Islam yang dipegang.

Pimpinan raja dan sultan sebagai pemimpin orang Melayu berpegang teguh kepada prinsip Islam.

Sejauh manakah orang Melayu sekarang memegang prinsip dan amalan berpaksikan Islam? Sejauh manakah pemimpin sekarang memegang dan menggenggam erat prinsip digariskan oleh Islam? Sejauh manakah raja dan sultan kita sekarang berpegang dan menjadi pemimpin agama Islam?

Berapa orang sultan mempunyai ciri-ciri sultan dahulu yang mampu mengajar agama/berkuliah di masjid dan menjadi khatib solat Jumaat? Ini persoalan yang perlu difikirkan bersama demi kekuatan orang Melayu dan tidak sekali-kali mengkritik dan mencari salah sesiapa.

Kita semua mesti kembali kepada prinsip yang diatur oleh agama Islam yang sebenar dan sepenuhnya. Bukan hanya melihat kepada tafsiran agama yang sempit dan tafsiran tradisi kolot.

Agama mesti dilihat sebagai tafsiran yang tepat sebagai addin meliputi keseluruhan aspek kehidupan.

Kenapa dan bagaimana boleh bangkitnya kerajaan besar Islam seperti Kerajaan Umayyah, Kerajaan Abbasiah, Kerajaan Andalusia di Sepanyol serta Kerajaan Uthmaniah perlu dikaji dengan menyeluruh. Bagaimana bangkitnya kesarjanaan ilmuwan Islam dan sumbangannya kepada ummah perlu diterokai dan diadunkan dalam amalan rakyat dan pentadbiran negara.

Kesepaduan prinsip ilmuwan Islam dan gabungan antara acquired knowledge dan perennial knowledge perlu diadikan asas utama pembangunan dan dasar parti-parti politik serta pemerintah.

Islam tidak boleh sekali-kali berada dalam keadaan terpisah dengan amalan umum dan pemerintah. Pemahaman sebenar tentang Islam itu perlu benar-benar tepat. Sebaran kepada orang Melayu perlu diperluaskan secara menyeluruh. Orang bukan Islam juga perlu diperluaskan. Perasaan takut orang bukan Islam kepada Islam perlu dikikis. Sekiranya pemahaman sebenar tentang Islam telah wujud, perasaan takut dan benci kepada Islam tidak akan berlaku. Orang bukan Islam akan boleh menerima Islam, apatah lagi orang Melayu Islam. Proses yang bersifat top-down akan mampu melancarkan proses ini.

Untuk membentuk perpaduan menyeluruh, warganegara perlu berasaskan kepada perpaduan orang Melayu. Perpaduan Melayu perlu menjadi tonggak dan asas perpaduan penduduk seluruh negara. Asas perpaduan Melayu adalah Islam. Islam perlu menjadi asas dan teras utama. Negara tidak akan kuat tanpa kekuatan dan perpaduan utuh kumpulan penduduk utama negara, iaitu orang Melayu.

Kekuatan Melayu mesti berpaksikan kepada Islam mengikut tafsiran sebenar yang tepat. Orang Melayu dan pimpinan politik Melayu mesti kembali kepada Islam untuk kestabilan dan benar-bear kuat serta mendapat keredhaan Allah. Ungkapan ‘selagi berpegang kepada agama (Islam) perlu diangkat dan dimartabatkan!’ – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnogtafi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×