DI atas robohan kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka. Bersatulah Melayu seluruh baka, membela hak keadilan pusaka. – Buya Hamka.
Suratan takdir mengaturkan program #TagupiMembaca siri keempat berlangsung minggu lalu tiba di Tawau dan melalui jalan raya ke Lahad Datu sehari selepas lawatan Yang di-Pertuan
Agong (YDPA) di sana. Riuh rakyat jelata dari Sabah menceritakan bagaimana jalan raya serba daif sebelum ini lekas-lekas dibaiki bagi menyambut mesra lawatan YDPA.
Kami yang tiba di sana turut merasai kehangatan sambutan orang Sabah buat Seri Paduka dan menikmati manfaat yang terbit daripada lawatan diraja ini. Ramai tidak sedar, ini merupakan lawatan rasmi YDPA kali kedua ke barat Sabah yang sebelum ini pernah juga hadir di Tawau pada 2019.
Malah mungkin ada yang melihat lawatan rasmi ini sebagai suatu perkara kecil, namun tidak pada mata dan hati rakyat Sabah. Lawatan YDPA sebegini merupakan pengikat hati di antara rakyat Sabah dan Sarawak kepada keseluruhan negara bangsa Malaysia.
Masakan tidak, selain Al-Sultan Abdullah, hanya Seri Paduka ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang pernah membuat lawatan ke barat Sabah dan itupun kali terakhir pada 2004.
MUKA BUMI
Lawatan berterusan yang merapatkan di antara figura Ketua Negara dan seluruh rakyat jelata merupakan bukti iltizam dalam titah Seri Paduka direalisasikan. Titahnya pada 2019, “Setiap daripada kita mempunyai peranan juga. Kalau kita di sini ada kawan di Sabah dan Sarawak, kita patut dekatkan. Kita mendekatkan mereka yang jauh dan dekatkan lagi orang yang dekat dengan kita.”
Bukan perkara mudah untuk memupuk rasa kasih di antara rakyat di Sabah yang sering melihat pembangunan mereka dipinggirkan. Dengan bentuk muka bumi yang mencabar dan ramai masih hidup jauh di pedalaman, kesukaran komunikasi di Sabah bukan hanya kerana capaian kewilayahan tetapi juga infrastruktur tidak menyokong interaksi sosial yang efektif di antara mereka di sana dan kita di sini.
Pun begitu, sebagai Ketua Negara yang menggendong juga tugas memelihara perpaduan nasional selari dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, sedar atau tidak, YDPA berperanan besar untuk memastikan kesatuan hati di antara 33.4 juta rakyat Malaysia. Amanah ini yang berpaksikan sumpah YDPA agar memerintah mengikut kedaulatan undang-undang termasuklah berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.
TANGKI AIR
Amanah ini yang diambil dengan menyebut nama Tuhan Yang Maha Agung menjanjikan agar setiap wilayah membangun untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Hakikatnya meskipun sudah genap 60 tahun Sabah dan Sarawak bersatu dengan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia, kehidupan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan masih tidak merasai nikmat pembangunan sekata dengan apa yang didirikan di bandar-bandar besar di Semenanjung.
Mengikut permerhatian peribadi saya, semasa berada di Sabah, paling menyedihkan ialah keadaan infrastruktur bantuan agensi kerajaan yang tidak diselenggara dengan baik. Antara yang berlaku di depan mata, saya melihat bagaimana agensi kerajaan telah memberikan bantuan tangki minuman untuk sekolah alternatif yang menjadi hos program #TagupiMembaca.
Malangnya selepas lebih lima tahun tangki air tersebut dipasang, hanya sekali ejen yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan datang memantau kegunaannya. Kesannya, selepas lima tahun akhirnya tangki air tersebut rosak dan tidak boleh lagi digunakan. Manfaat besar yang diniatkan tidak kesampaian hanya kerana kegagalan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amanah masing-masing.
Jika di Semenanjung, pantauan ke atas projek-projek yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan dilihat lebih ketat memandangkan saluran komunikasi lebih baik walaupun setelah mengambil kira faktor jarak kewilayahan. Namun, jauh di pedalaman Sabah, pantauan seolah-olah hampir tidak wujud.
JALUR GEMILANG
Maka, waima sudah berkali-kali saranan disampaikan kepada kerajaan agar diadakan suatu mekanisme yang telus untuk pendaftaran kelahiran penduduk di Sabah tetapi masih belum ada jalan penyelesaian tuntas. Hak kewarganegaraan mereka yang lahir dan membesar di bumi Sabah masih samar. Malah dengan cadangan pindaan kepada Bab III Perlembagaan Persekutuan yang disyorkan oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini, akses kepada pendaftaran dokumen pengenalan diri rasmi akan menjadi semakin sulit.
Setiap kali menganjurkan program #TagupiMembaca, saya akan berasa sebak. Dalam majlis perasmian program, akan ada slot untuk menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.
Para peserta dengan bersemangat dan penuh keyakinan menyanyikan bait lirik lagu meskipun rata-rata mereka merupakan orang tanpa dokumen.
Tambahan pula, program kebetulan dianjurkan dalam tempoh sambutan Hari Kemerdekaan masih terasa. Dengan penuh bangga, mereka mengibarkan Jalur Gemilang yang ditiup bayu Tanjung Labian penuh sayu.
Mengapakah semangat cintakan Malaysia dan ketaatan mereka kepada raja berterusan tidak diiktiraf? – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










