Penerbangan maya mampu ‘selamatkan’ LTAM

Penerbangan maya mampu ‘selamatkan’ LTAM

PENERBANGAN komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang digantung boleh menyebabkan kerajaan negeri hilang salah satu pintu masuk penting bagi pelancong ke Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN Melawat Melaka 2024 adalah satu inisiatif kerajaan negeri untuk mempromosikan produk pelancongan di negeri itu. Inisiatif ini dapat meningkatkan ekonomi serta pendapatan negeri dan juga negara.

Namun di sebalik usaha murni ini, kita dikejutkan dengan pengumuman penggantungan penerbangan komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). Ini akan menyebabkan kerajaan negeri hilang salah satu pintu masuk penting bagi pelancong ke Melaka.

Kedudukan LTAM yang hanya 15 kilometer dari pusat bandar raya sepatutnya memberi kelebihan kepada pelancong kerana ia menjadikan Melaka mudah untuk dikunjungi. Penumpang boleh pergi dan balik dengan mudah ke lapangan terbang dan ini boleh menjimatkan masa dan wang. Ini juga memberi kelebihan kepada ahli perniagaan atau penumpang transit yang perlu pergi dan balik dari lapangan terbang dengan cepat dan cekap.

Kelebihan ini perlu dieksploitasi dengan bijak oleh kerajaan negeri sekiranya ingin meramaikan pelancong menggunakan LTAM. Walaupun LTAM mempunyai banyak kelebihan, syarikat penerbangan masih kurang berkeyakinan serta tidak mahu mengambil risiko untuk menawarkan perkhidmatan atas alasan masalah kekurangan trafik penumpang.

Salah satu jalan penyelesaian adalah menubuhkan sebuah syarikat penerbangan sendiri. Menubuhkan sesebuah syarikat penerbangan melibatkan kos permulaan yang tinggi. Pelaburan awal yang diperlukan untuk memulakan syarikat penerbangan melibatkan kos pesawat, kemudahan penyelenggaraan, kakitangan dan pemasaran.

Namun, ini boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri menubuhkan sebuah syarikat penerbangan maya. Syarikat penerbangan maya tidak memiliki sebarang pesawat, tidak mempunyai juruterbang serta anak kapal, tidak mempunyai peralatan teknikal, bahkan tidak menyediakan perkhidmatan pengendalian darat.

Ciri utama model syarikat penerbangan maya adalah penyumberan luar melalui pemberian kontrak kepada syarikat penerbangan yang dipilih sebagai rakan untuk melaksanakan kebanyakan fungsi operasi pengurusan seperti pajakan pesawat, anak kapal, penyelenggaraan dan pengendalian darat. Hanya fungsi pengurusan pemasaran dan penjualan dilaksanakan oleh syarikat penerbangan maya. Penjimatan besar dapat dinikmati kerana syarikat penerbangan maya tidak perlu memiliki dan mengendalikan pesawat, infrastruktur dan kakitangan berkaitan operasi penerbangan.

Syarikat penerbangan maya hanya perlu menumpukan pada perniagaan teras, iaitu menjual tiket dan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang mantap. Konsep penyumberan luar sebahagian perkhidmatan dalam industri penerbangan bukanlah perkara baharu. Ia adalah amalan biasa yang telah berkembang dan menjadi begitu popular dalam kalangan syarikat penerbangan.

Malah melalui amalan ini, ada syarikat penerbangan tradisional boleh diklasifikasikan sebagai syarikat penerbangan maya kerana banyak operasinya telah disumberluarkan kepada pihak lain. Penyumberan luar boleh membantu syarikat penerbangan maya mendapatkan akses kepada kepakaran syarikat penerbangan rakan yang pakar dalam bidang tertentu seperti pajakan pesawat, anak kapal, penyelenggaraan dan pengendalian darat.

FOKUS PEMASARAN, JUALAN

Strategi pemasaran dan jualan yang efisien perlu dirangka untuk menjayakan syarikat penerbangan maya ini. Penggunaan media sosial yang menyediakan kandungan kreatif, konsisten, bermaklumat dan menghiburkan perlu dihasilkan. Selain media sosial, pemasaran melalui media massa juga boleh digunakan. Saluran media massa seperti televisyen, radio, cetak dan digital perlu diguna pakai untuk memperkenalkan perkhidmatan penerbangan ke Melaka melalui LTAM.

Kerjasama dengan ejen pelancongan dalam dan luar negara juga perlu dijalin. Ejen pelancongan boleh gabungkan jualan tiket syarikat penerbangan maya ini dengan pakej pelancongan mereka. Jalinan kerjasama ini berpotensi membantu syarikat penerbangan maya meningkatkan jualan tiket.

Juga tidak lupa kerjasama perlu dijalin dengan platform pelancongan digital seperti Expedia, Booking.com dan Agoda. Platform yang mempunyai rangkaian pelanggan di seluruh dunia ini menawarkan khidmat tempahan hotel dan tiket penerbangan secara dalam talian dan ini boleh membantu meluaskan jajaran penjualan tiket.

Akhir sekali, sama seperti syarikat penerbangan lain, sebuah laman web dan aplikasi mudah alih yang mesra pengguna perlu dibangunkan. Pembangunan lawan web dan aplikasi mudah alih ini membolehkan pelanggan mengurus urusan perjalanan mereka dan berinteraksi dengan syarikat penerbangan semasa dalam perjalanan.

Satu pasukan kuat yang mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan perlu dibentuk untuk menjalankan dan mengendalikan syarikat penerbangan maya bagi pihak kerajaan negeri. Dengan pengalaman yang mereka ada, strategi jelas boleh dirangka untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan maya ini.

Banyak syarikat penerbangan maya ditubuhkan untuk tujuan industri pelancongan. Taos Air yang ditubuhkan pada 2018 ialah syarikat penerbangan maya Amerika Syarikat (AS) menawarkan penerbangan bermusim ke pusat peranginan peluncur salji di Taos, New Mexico. Operasi penerbangannya dikendalikan oleh JSX Air, sebuah syarikat penerbangan AS.

SkyAlps ditubuhkan pada 2021, berpangkalan di Lapangan Terbang Bolzano terletak di wilayah autonomi Tyrol Selatan di Itali. Segala operasi penerbangan dikendalikan oleh Luxwing, sebuah syarikat penerbangan dari Malta. SkyAlps pada mulanya menawarkan penerbangan percutian untuk pelancong ke pusat peranginan luncur salji ski di Tyrol Selatan.

Berkat pendekatan pemasaran yang inovatif, SkyAlps berjaya memperoleh sijil pengendali udara daripada kerajaan Itali dan memiliki beberapa pesawat sendiri.

Secara keseluruhan, penubuhan syarikat penerbangan melalui model syarikat penerbangan maya boleh menjadi penyelesaian yang boleh memulihkan industri penerbangan komersial di LTAM dan juga boleh menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negeri. Di sebalik cabaran dan risiko, jika dilaksanakan dengan betul, ia akan memberi impak positif kepada ekonomi dan industri pelancongan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×