SUKAR untuk kita membanteras rasuah sekiranya tidak faham mengenai isu pokok, iaitu definisi atau maksud rasuah itu sendiri. Rata-rata rakyat makin keliru dengan isu ini terutama dari sudut makna rasuah itu sendiri.
Terdapat beberapa isu berbangkit semenjak kebelakangan ini yang mengundang kepada kekeliruan ini.
Sebagai contoh, pada proses pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan, pengumuman peruntukan RM250,000 yang akan disalurkan oleh kerajaan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu baru-baru ini dilihat memiliki unsur rasuah. Namun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula menyatakan ia tidak.
Terdahulu, Syed Saddiq memuat naik hantaran di laman Facebook berhubung bantuan khas RM300 buat penjawat awam di mana beliau mempersoalkan pengumuman itu yang dilakukan menjelang proses PRN lalu.
Akibat daripada ini, rakyat makin keliru dengan isu rasuah. Yang mana satu rasuah dan yang mana satu bukan rasuah? Rasuah dalam apa-apa bentuk sekali pun perlu dibanteras dengan serius oleh semua pihak.
Rasuah dalam apa-apa bentuk sekali pun tidak boleh dibiarkan berlaku dalam negara kita sekiranya ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada rasuah.
Apa maksud rasuah? Mengikut takrifan diberikan oleh SPRM, rasuah adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan di sini terdiri daripada penerimaan atau pemberian wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun dan lain-lain lagi (Seksyen 3 Akta SPRM 2009 – Akta 694).
Penting untuk diketahui juga, mengikut Akta 694, terdapat empat kesalahan melibatkan rasuah yang utama, iaitu meminta atau menerima rasuah (Seksyen 16 dan 17a); menawar atau memberi suapan (Seksyen 17b); mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18) dan menggunakan jawatan ataupun kedudukan untuk suapan pegawai badan awam (Seksyen 23).
20 TAHUN
Secara umumnya, hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi (Seksyen 24 Akta SPRM 2009).
Banyak soalan yang perlu dilontarkan terhadap isu ini. Kenapa setiap kali adanya proses pilihan raya negara kita semenjak sekian lama, maka akan muncul pengumuman pelbagai jenis pemberian? Kenapa pengumuman ini tidak dilakukan sebelum proses pembubaran Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN)? Kenapa pengumuman pelbagai jenis pemberian ini dilakukan selepas tamatnya proses pilihan raya?
Jika pengumuman ini dilakukan dalam tempoh terdekat sebelum sesebuah proses pilihan raya dilaksanakan, maka ia dibimbangi boleh mengundang syak wasangka daripada pelbagai pihak. Syak wasangka ini dibimbangi boleh memberi kesan negatif kepada kerajaan sendiri khususnya usaha untuk membanteras rasuah.
Tidak menjadi satu kesalahan untuk kerajaan atau mana-mana pihak menghulurkan apa-apa jenis bantuan kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah kos sara hidup pada ketika ini. Namun, kita harus melihat pada masa dan tempatnya. Jika kita dengan secara tiba-tiba menghulurkan bantuan ketika hampir proses pilihan raya, ia dibimbangi boleh menimbulkan rasa syak wasangka dan tanda tanya daripada orang ramai.
Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan berlaku lagi. Oleh demikian, disarankan kita mengambil satu langkah baharu, iaitu tidak membenarkan lagi sebarang pengumuman apa-apa jenis pemberian sejurus selepas pembubaran Dewan Rakyat, DUN atau ketika sedang menghadapi sebarang jenis proses pilihan raya. Ini bagi memastikan tiada pihak berterusan salah sangka ataupun keliru terhadap isu pemberian ini kelak.
Cadangan ini boleh dijadikan sebagai salah satu garis panduan tetap ataupun dimasukkan terus ke dalam peraturan dan undang-undang pilihan raya sedia ada dalam negara kita. Pihak-pihak berkaitan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM perlu duduk berbincang dan bekerjasama bagi meneliti cadangan ini dengan lebih teliti untuk diberi pertimbangan serius.
Sekiranya kita gagal untuk mengambil serius terhadap perkara ini dari sekarang, maka rakyat akan sentiasa keliru dengan definisi atau maksud rasuah itu sendiri. Jika rakyat makin keliru dengan definisi atau maksud rasuah, maka susahlah untuk mengatasi masalah rasuah ini dalam negara kita dengan lebih berkesan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










