Influenza, jangkitan tersembunyi di Malaysia - Utusan Malaysia

Influenza, jangkitan tersembunyi di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini semakin ramai rakyat di negara ini terkena penyakit Influenza atau lebih dikenali sebagai flu. Influenza adalah penyakit berjangkit yang mudah merebak melalui udara. Ini bermakna ia merebak melalui titisan air liur akibat bercakap, batuk, bersin dan bersentuhan dengan orang lain.
Flu disebabkan oleh sejenis virus influenza dan boleh dibahagi ke tiga jenis iaitu jenis A, B dan C. Kebanyakan kes sekarang adalah disebabkan jenis A dan B akan mempunyai simptom yang lebih teruk, berbanding jenis C.

BEBAN PENYAKIT GLOBAL
Jangkitan flu ini telah merebak sejak beberapa kurun lepas dan merebak sedunia. Pada 1918, wabak influenza besar-besaran diakibatkan oleh virus flu strain H1N1. Wabak 1918 dikatakan membunuh sehingga 20 hingga 50 juta manusia. Mutasi virus ini juga kerap berlaku, malah dipantau oleh organisasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Oleh kerana wabak ini sudah berleluasa, vaksin terhadap flu ini juga lama sudah wujud dan boleh diberi kepada orang awam.
Untuk orang yang lebih rentan, contohnya wanita mengandung, orang yang tinggi komorbiditi lain, golongan kanak-kanak amnya, terutama kurang dari lima tahun dan golongan warga emas, adalah baik untuk menerima vaksin ini kerana ia boleh mengelakkan jangkitan flu yang teruk (severe).
Vaksin flu pada 2019 hingga 2020 telah mengelakkan 7.5 juta jangkitan penyakit, mengelakkan keperluan lawatan ke doktor sebanyak 3.7 juta, mengelakkan keperluan tinggal selama 105,000 hari tinggal di hospital dan 6,300 kematian.
Ini antara sebab digalakkan mengambil vaksin flu setiap tahun kerana strain flu yang berbeza-beza setiap tahun. Cara mengelak jangkitan adalah seperti Covid-19 iaitu mengambil vaksin (boleh diberi seawal umur anak 6 bulan), menggunakan pelitup muka, membasuh tangan, ventilasi baik dan elakkan daripada bercampur dengan orang terjangkit (isolasi kes).
Jangkitan flu akan timbul dengan beberapa gejala yang tidak spesifik. Contohnya demam tinggi, menggigil (chills), sakit kepala, sakit badan, kelesuan, selsema dan batuk dan boleh muncul secara tiba-tiba, malah berlarut selama satu hingga dua minggu.
Malangnya, banyak virus jangkitan respiratori yang juga merebak dan mempunyai symptom hampir sama sedemikian. Ini menyukarkan kepastian apakah jenis jangkitan yang anda atau keluarga anda hidapi. Secara umumnya, flu adalah lebih teruk berbanding batuk selsema biasa.
Covid turut mempunyai presentasi yang hampir sama, maka perlu dipastikan bahawa anda tidak mengidap Covid melalui ujian yang sesuai.
Batuk selsema biasa, simptom lebih kepada sakit tekak, batuk, selsema, sakit badan, keletihan, lesu, demam juga tidak terlalu tinggi dan selalunya kurang parah dari flu. Batuk selsema yang biasa, jarang mengakibatkan komplikasi parah dan akan pulih dengan sendiri apabila cukup rehat dan air. Flu pula boleh juga pulih dengan sendiri, bagaimanapun kemungkinan ia bertambah teruk dan menjadi komplikasi adalah lebih tinggi.
Antara komplikasi flu adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus, jangkitan nanah telinga Tengah (otitis media), jangkitan otak dan selaput otak, jangkitan ke jantung, otot, dan jangkitan ke seluruh badan hingga kegagalan berbagai organ terjadi. Ini akan mengakibatkan kematian, malah flu juga memburukkan penyakit anda yang sedia ada.
Contohnya, memburukkan kencing manis anda, asthma, sakit jantung. Antara tanda-tanda kecemasan yang perlu diperhatikan termasuk kesukaran bernafas, sakit dada, mangsa mengalami kekeliruan, kelesuan melampau, demam berpanjangan tinggi, tidak kencing yang lama, sawan, muntah dan cirit yang kerap terutama kanak-kanak.
Kita juga kena peka akan flu yang boleh memburukkan lagi penyakit yang sedia ada, maka ini perlu diberitahu ke doktor supaya rawatan dan boleh dijangka apa komplikasi lain yang berkait (contoh, asthma, sakit jantung, malah stroke boleh semakin teruk), juga mungkin akan terjadi.

ELAK JANGKITAN
Setakat kini, dikatakan hanya dua hingga tiga peratus penduduk kita yang menerima vaksin influenza ini. Antara sebab liputan yang rendah ini kerana belum ada kewajipan keperluan, kos vaksin mahal, tiada keperluan dan kurang prihatin akan isu flu.
Di beberapa negara seperti Thailand, Korea dan Singapura, sudah ada keperluan pemberian vaksin flu tahunan kepada golongan warga rentan seperti warga emas dan wanita mengandung.
Langkah ini boleh menurunkan kadar jangkitan dan kematian akibat flu di atas warga emas dan wanita mengandung. Kes jangkitan boleh mengakibatkan lambakan kes yang sakit dan membebankan sistem kesihatan negara.
Untuk kes teruk, mereka perlu menerima rawatan dalaman di hospital, manakala kes-kes ringan dan tidak pasti, boleh dirawat sebagai pesakit luar di klinik-klinik. Dalam kes teruk, doktor boleh memberi ubat antivirus ke pesakit Oseltamivir dan rawatan sokongan lain yang sesuai. Pesakit jika dirawat di rumah adalah digalakkan tidak bercampur gaul dengan orang ramai kerana risiko merebaknya jangkitan.
Orang ramai yang ingin menunaikan haji atau umrah dan keluar negara adalah digalakkan mengambil vaksin ini sebelum keluar negara. Ujian kendiri turut dijual di beberapa farmasi yang menggunakan air liur atau sedutan cecair hidung untuk ujian serologi.
Bagaimanapun, ujian ini tidak dijual di semua farmasi kerana sukar diperoleh, malah kos nya adalah agak mahal. Digalakkan ujian kendiri ini dijadikan sesuatu yang mudah diperoleh untuk rakyat dengan kos berpatutan demi memantau gejala sendiri dan datang ke klinik jika perlu.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya