Datuk Seri, fokus ekonomi negara secepat mungkin!

Datuk Seri, fokus ekonomi negara secepat mungkin!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri sudah selesai. Walaupun kerajaan perpaduan berjaya mempertahankan pemerintahannya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, namun sokongan diraih Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) banyak merosot.

Bagaimanapun, bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ujian terhadap pimpinan beliau telah berlalu. Kini, beliau perlu lekas-lekas membangunkan ekonomi negara yang lesu.

Malaysia banyak bergantung kepada China dalam ekonomi. China, 14 tahun berturut-turut menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia. Disebabkan pandemik Covid-19, ditambah krisis perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China, ekonomi republik itu mula menunjukkan kelesuan baru-baru ini. Apabila ekonomi China menunjukkan kemelesetan, maka eksport Malaysia ke negara berkenaan turut akan terjejas.

Dalam pada itu, untuk mengelak daripada terus dikenakan sekatan perdagangan oleh Barat, China telah dan sedang memindahkan sebahagian besar aktiviti perkilangan melibatkan buruh intensif dan teknologi sederhana ke Asia Tenggara. Mengikut tinjauan, Thailand banyak menarik pemindahan pelaburan dari China sedangkan Malaysia kelihatan masih jauh ketinggalan di belakang.

Saya baru pulang dari Bangkok. Berbanding kunjungan saya pada 2011, perbezaan paling ketara ialah nilai baht telah meningkat sebanyak 30 peratus terhadap ringgit.

Pada bulan lalu, saya juga melawat Beijing. Suasana kemakmuran sosial warganegara Thailand kelihatan lebih cergas dan ekonomi konsumernya juga lebih aktif daripada China.

Bagaimana hendak mengejar kemakmuran ekonomi seperti negara jiran merupakan cabaran terbesar buat kerajaan perpaduan. Pada saya, kerajaan pimpinan Anwar tidak kekurangan pakar-pakar ekonomi, maka tiada sebab mengapa mereka tidak sanggup memperbaiki ekonomi negara melalui penambahan pelaburan, peningkatan peluang pekerjaan, menstimulasi perbelanjaan serta mencari sumber hasil cukai yang baharu untuk tabung negara.

Belanjawan kerajaan ke atas perbelanjaan operasi sangat tinggi nisbahnya. Misalnya, Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion. RM289.1 bilion digunakan untuk menampung belanja semasa.

Hanya RM99 bilion ataupun kira-kira 26 peratus diperuntukkan untuk projek pembangunan.

Ini bererti kerajaan kekurangan dana untuk menggerakkan pelaburan dalam projek infrastruktur awam. Kerajaan sangat memerlukan pelaburan swasta dan asing sebagai lokomotif untuk menggerakkan ekonomi negara.

Pada zaman pasca Covid-19, China dipenuhi modal pelaburan yang bebas bergerak untuk dilabur di negara-negara mengambil bahagian dalam inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR). Malaysia seharusnya cepat-cepat memburu pelaburan langsung asing (FDI) dari China setangkas dan sebanyak yang boleh.

Menarik pelaburan asing merupakan langkah paling pantas dan efektif untuk mencipta peluang pekerjaan bagi sesebuah negara. Dengan mewajibkan firma-firma asing menerima pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk menjalani program latihan industri seterusnya ditawarkan peluang pekerjaan, sudah tentu rakyat Malaysia akan banyak menerima manfaat dengan ketibaan pelaburan asing dari negara-negara yang lebih maju.

PENDUDUK ISLAM

Anak-anak Malaysia sesungguhnya berpeluang mendalami pengalaman dan mengasah kemahiran mereka sepanjang bekerja dengan firma-firma negara luar.

China mempunyai 20 juta penduduk Islam yang bertaburan di Xinjiang, Gansu dan Ningxia. Banyak rakyat China di wilayah Hunan, Hebei dan Xi-an yang masih mengekalkan budaya Islam. Oleh itu, kerjasama dua hala dalam ekonomi Islamik boleh dijalin antara Malaysia dengan China.

Malaysia memang terkenal sebagai hab makanan halal terkemuka di dunia. Sesungguhnya kepakaran Malaysia dalam sektor makanan halal boleh memikat pelaburan modal dari China.

Pelancongan sentiasa muncul sebagai sektor terpenting untuk menambah hasil pendapatan sesebuah negara. Ekonomi tempatan akan menerima manfaat paling langsung melalui perbelanjaan pengunjung dalam pemakanan, penginapan, pengangkutan dan membeli-belah. Sebelum pandemik Covid-19 (2019), negara kita menerima kunjungan 3.1 juta pelancong China. Sasaran 2023 ialah lima juta pengunjung dari China.

Mudah-mudahan pelawat China akan singgah lebih lama dan banyak berbelanja semasa berada di negara kita.

Saya berpendapat, sektor pelancongan tempatan perlu menjadi lebih kreatif. Para pengusaha industri ini disaran mencipta produk-produk pelancongan ekologi yang lebih impresif dan eksklusif. Misalnya, para pelancong dibawa untuk menginap di kampung-kampung Melayu yang menawarkan inap desa. Ini sememangnya menepati matlamat asal kerajaan negeri untuk memajukan sektor pelancongan bercirikan budaya Melayu.

Para pelancong boleh dibawa melawat sawah padi, dusun buah-buahan dan kolam ikan. Mereka juga boleh diberi peluang mengambil bahagian dalam kursus kulinari Melayu anjuran pengusaha pelancongan desa.
Malaysia juga berpotensi menjadi hab pendidikan tinggi di persada antarabangsa. Kini, kira-kira 40,000 pelajar dari China menuntut di negara kita. Hampir satu pertiga daripada mereka menuntut di IPT awam (IPTA) dan selebihnya di IPT swasta (IPTS).

Para ibu bapa China amat yakin dengan taraf dan kualiti pendidikan tinggi tempatan yang disampaikan dalam bahasa Inggeris. Tambahan lagi, kos menampung kehidupan tidak membebankan di sini. Maka, Malaysia makin menjadi destinasi menuntut pendidikan antarabangsa bagi pelajar-pelajar dari China.

Dijangka permintaan pelajar-pelajar China terhadap pendidikan tinggi di seberang laut akan terus meningkat berikutan kemakmuran ekonomi di republik berkenaan. Kerajaan seharusnya merancang agar negara kita berdaya mengeksport pendidikan tinggi berkualiti setanding Australia dan New Zealand.

Apabila pelaburan bertambah, peluang pekerjaan automatik meningkat. Sudah tentu sumber pendapatan kerajaan dalam bentuk hasil cukai akan melambung. Apabila kerajaan menjadi kaya, sudah tentu kerajaan mempunyai kemampuan kewangan untuk membantu lebih ramai rakyat yang hidup susah.

Natijahnya, kerajaan perpaduan perlu bekerja lebih keras lagi untuk memajukan ekonomi negara secepat mungkin. Ketepikan perbalahan politik untuk suatu ketika dan tumpukan sepenuh perhatian ke atas pemerintahan negara. – UTUSAN

Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×