MAULIDUR Rasul menjelang lagi, mengingati hari keramat kelahiran insan agung tercinta. Hari di mana cahayanya terang benderang menerangi alam. Hari yang Allah kirimkan rahmat-Nya dengan kelahiran rasul terakhir untuk memimpin umat manusia ke jalan kebenaran menuju destinasi akhir mendakap reda Ilahi.
Sekali lagi, Maulidur Rasul bukan satu peristiwa untuk diraikan semata-mata, tetapi ia penting dalam kamus hidup seorang mukmin. Maulidur Rasul penting kerana ia satu peristiwa untuk membangkitkan dan menyuburkan rasa cinta kepada yang berhak dicintai. Tiada makna jika Maulidur Rasul berlalu saban tahun tetapi kecintaan kepada baginda Rasulullah SAW hanyalah umpama bunga yang layu terkulai, bakal rebah menyembah bumi.
Amat malang jika Maulidur Rasul berlalu saban tahun tetapi kecintaan kepada Rasulullah tidak bercambah, sebaliknya bercucuran air mata kegembiraan bila artis kegilaan di depan mata. Allah, sedihnya dengan realiti dunia kini khususnya bila ada anak-anak muda lebih mengenali artis-artis pujaan mereka berbanding mengenali Rasulullah. Apatah lagi jika yang berusia separa emas pun sama naik dengan anak-anak muda, berteriak kegembiraan tatkala berjumpa artis-artis pujaan mereka.
Maka cukup-cukuplah wahai diriku dan wahai saudaraku. Bilakah sebenarnya kita ingin menumbuhkan dan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah? Jawablah dari lubuk hati kita yang paling dalam. Jika tiada jawapannya, percayalah kita di ambang kebinasaan. Maut datang menjengah tidak mengira masa dan usia, sihat atau sakit. Jika mati kita tanpa ada sekelumit pun rasa cinta kepada baginda SAW, maka takutilah mati itu akan mengundang derita tiada penyesalannya. Maka menanggunglah azab tidak terhingga.
Mencintai Rasulullah adalah kewajipan, bukan satu pilihan. Ini berdasarkan kepada satu hadis baginda diriwayatkan Imam Bukhari bererti, “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebih kamu sayang daripada orang tuanya, anaknya dan semua manusia seluruhnya.” Hadis ini dengan jelas memberi fahaman bahawa kesempurnaan iman hanya akan tercapai apabila mencintai Rasulullah itu mengatasi cinta manusia lain termasuk ibu bapa, anak-anak bahkan mengatasi cinta pada diri sendiri. Lihatlah betapa besar dan pentingnya hal berkaitan cinta Rasulullah. Tetapi kenapa hal ini seumpama tidak diendahkan oleh umat Islam kini?
Apakah kita hari ini benar-benar mencintai Rasulullah? Kata Ibnu Hajar Asqalani, “Seandainya (seseorang) disuruh memilih di antara kehilangan dunia atau kehilangan Rasulullah, kalau itu memungkinkan, maka ia lebih memilih kehilangan dunia daripada kehilangan kesempatan untuk melihat baginda, ia merasakan lebih berat kehilangan Rasulullah daripada kehilangan kenikmatan dunia, maka orang seperti itu telah mendapat sifat kecintaan. Dan siapa yang tidak mencapai sedemikian maka tidak berhak mendapat bahagian daripada buah cinta itu. Yang demikian itu tidak hanya terbatas pada persoalan cinta, bahkan membela sunnah dan menegakkan syariat serta melawan para penentang termasuk amar makruf dan nahi mungkar.”
Mencintai Rasulullah bermakna kita sanggup letakkan dunia ini untuk mengikut apa yang dibawa olehnya. Dunia tidak ada nilainya kecuali selari dengan syariat dibawa Rasulullah.
Mencintai Rasulullah juga bermakna keinginan dan kemahuan kita mengikut apa yang dibawa oleh baginda.
HEDONISME
Cuba kita insafi realiti yang nyata pada hari ini. Tidak sedikit juga umat Islam yang hidupnya umpama berajakan hawa nafsu. Demi wang dan harta kekayaan, manusia sanggup meninggalkan ajaran Rasululllah. Bahkan lebih menyedihkan dan membimbangkan, bila ada yang sanggup memanipulasi syariat dibawa oleh Rasulullah demi keuntungan dunia. Bukan setakat memanipulasi, ada yang tergamak memutar belit syariat dibawa baginda demi keseronokan hawa nafsu. Contoh paling mudah, budaya hedonisme.
Hari ini manusia sentiasa mencari keseronokan dan hiburan. Kata mereka, “Hidup kita jangan stres, kita mesti enjoy.” Dan kata mereka lagi, “Apa salahnya nak berhibur? Berhibur bukanlah bermaksud kita lupa Allah, I masih boleh mengucap apa? You ustaz-ustaz jangan sibuk nak buat kerja Tuhan, nak ‘menerakakan’ orang, mind your own business.”
Inilah juga realiti yang kadangkala berlaku. Apabila diberi nasihat, maka dituduh agamawan membuat kerja Tuhan. Walhal agamawan hanyalah menyampaikan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah.
Tidak dinafikan juga, wujud segelintir mereka yang digelar agamawan kelihatannya hanyut jua dengan arus keseronokan dan kemewahan dunia. Tetapi ini bukanlah green card untuk terus menghentam mereka dan menjadikannya alasan untuk kita tidak mahu berpegang dengan ajaran Islam sebenar. Sebaliknya yang baik itu jadikan pedoman, yang buruk itu jadikan sempadan, baharulah hidup kita sentiasa beroleh panduan hidayah daripada Yang Maha Esa.
Belum lagi kita menyoroti keberantakan umat Islam hanya kerana perbezaan ideologi politik. Berapa ramai yang sanggup memfitnah, menghina, memburukkan pihak lawan hanya kerana untuk menjatuhkan lawan di pentas politik. Paling menyedihkan, para penyokong peringkat bawah ini terus bercakaran dan saling mengata di media sosial. Keadaan dikeruhkan lagi dengan adanya peranan tentera siber yang semakin melebarkan jurang persaudaraan antara umat Islam. Justeru, sekali lagi tanyalah diri, di manakah cinta Rasulullah dalam diri kita? Rasulullah mengajarkan persaudaraan. Persaudaraan dan kesatuan akan membina kekuatan dan keutuhan. Perpecahan akan mengundang kemusnahan.
Semaikan dan suburkanlah cinta Rasulullah ini dalam diri kita senantiasa dan paling penting, semaikan jua cinta Rasulullah pada jiwa anak-anak kita sewaktu mereka masih usia kanak-kanak. Cinta Rasulullah membawa bahagia. Cinta Rasulullah membawa kepada cinta Allah. Cinta Allah dan Rasulullah memberikan kelazatan beribadah.
Belajarlah mengenal Rasulullah, belajarlah syariat dibawa oleh Rasulullah, latihlah lisan agar sentiasa berselawat kepada Rasulullah, latihlah diri untuk beramal dengan sunnah Rasulullah, bermula dengan sedikit istiqamah. Semoga dengan demikian akan terbuka jalan hidayah untuk kita dan tetap pada jalan ketaatan dan ketundukan kepada Allah Azzawajalla. – UTUSAN
PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.










