Terap enam teras madani dalam iklan

Terap enam teras madani dalam iklan

BERBELANJA barangan yang tidak perlu dalam kehidupan seharian akan menyumbang kepada amalan konsumerisme yang tidak sihat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGIKLANAN merupakan satu kaedah pemasaran. Pemasaran pula merupakan satu kaedah untuk memberitahu barangan/perkhidmatan yang ditawarkan oleh penjual kepada pelanggan. Pemasaran melalui pengiklanan berupaya membantu penjual meraih keuntungan yang berlipat kali ganda.

Kaedah pemasaran dilihat penting kepada penjual kerana itu menjadi daya penarik pembeli kepada barangan/perkhidmatan yang ditawarkan. Tambahan pula, di zaman kepesatan teknologi moden, penjual dilihat memanfaatkan sehabis mungkin dalam mengiklankan barangan mereka melalui platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok.

Walaupun terdapat medium baharu dalam pengiklanan, peniaga masih tidak ragu dalam menggunakan medium dan kaedah tradisional dalam pengiklanan. Ada yang masih menggunakan khidmat radio, televisyen malahan ada juga pengedaran risalah di tempat awam.

Dalam mengejar keghairahan mendapat untung yang tinggi, peniaga perlu sedar tanggungjawab mereka dalam mengiklankan barangan/perkhidmatan dengan penuh etika dan berhemah.

Menurut Helmi Abdul Rahim dalam makalahnya, Pengiklanan Islami: Penjanaan Konsep dan Pelaksanaan (2009), pengiklanan boleh mencipta nilai sosial yang tidak baik, memajukan sifat agresif, materialisme, romantisme, elitisme, rasisme, konformisme dan konsumerisme yang menyumbang kepada ciptaan budaya baharu yang merugikan masyarakat

Beliau turut menambah, pengiklanan yang tidak beretika bukan sahaja menipu orang dewasa dan membahayakan kanak-kanak tetapi juga mendorong masyarakat menjadi boros, berbelanja terhadap barangan/perkhidmatan yang tidak perlu dalam kehidupan seharian sekali gus menyumbang kepada amalan konsumerisme tidak sihat.

Antara contoh amalan tidak beretika dalam mengiklankan produk barangan/perkhidmatan seperti memberi maklumat yang tidak tepat, memperbesarkan kebaikan dan manfaat mengambil produk serta tidak telus dalam menjelaskan bagaimana produk dihasilkan.

Bagi produk makanan pula, menjadi kewajipan pengeluar untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekiranya menyasarkan produk mereka kepada pengguna beragama Islam. Bagi konteks ini, pengeluar juga perlu meletakkan logo dan nombor sijil halal yang betul dan masih sah untuk rujukan pengguna. Sekiranya tidak memenuhi syarat ini, mereka dianggap telah melanggar etika dalam pengiklanan.

SUMBER PENERANGAN

Dalam konteks agama Islam pula, konsep pengiklanan tidaklah berbeza secara keseluruhan sebaliknya ditambah dengan penerapan unsur-unsur syariah dari segi bentuk dan kandungan iklan. Ini kerana untuk memastikan perniagaan yang dijalankan jauh daripada segala unsur-unsur kerosakan terutama kepada para pengguna.

Memetik ayat suci al-Quran yang bermaksud, “Dan janganlah sebahagian daripada kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah:188)

Ayat ini memberi panduan kepada kita bahawa pengiklanan haruslah menjadi sumber penerangan dan penyampaian maklumat yang tepat kepada pengguna.

TESTIMONI

Selain itu, pengiklanan yang beretika tidak hanya terhad kepada maklumat yang tepat dan mengumpan pengguna, sebaliknya juga melibatkan perbandingan antara barangan dengan adil, lebih bertanggungjawab, testimoni yang mencerminkan pandangan dan pendapat yang jujur, benar dan mempunyai mesej kedua seperti memasukkan unsur nilai murni atau kempen-kempen sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Mengambil contoh slogan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengeluar boleh menerapkan enam teras yang membentuk madani dalam iklan mereka seperti kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Sebagai kesimpulan, iklan beretika merupakan satu perkara yang dituntut dalam agama Islam dan budaya Malaysia amnya. Dengan iklan yang beretika diharapkan dapat menjadi satu daya pemangkin dalam memberi tunjuk ajar kepada pengguna dan pengeluar tentang ilmu konsumerisme yang sebenar sekali gus menjadikan pasaran Malaysia lebih sejahtera dan mengelakkan pengguna daripada dieksploitasi secara berterusan oleh pengeluar yang tamakkan keuntungan. – UTUSAN

PENULIS ialah Pembantu Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Kini sedang menjalankan projek Etika Amalan dan Pengiklanan Patuh Syariah: Satu Konseptual bersama Felow IKIM, Suzana Md. Samsudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×