Akan ada sahaja orang suka, tidak suka pada kita  - Utusan Malaysia

Akan ada sahaja orang suka, tidak suka pada kita 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon, Siti Khadijah Halim menganggap pengalaman berdepan tanggapan negatif segelintir pihak dalam industri seni sebagai asam garam dunia lakonan yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Menurutnya, perkara sedemikian tidak dapat dielakkan kerana setiap individu mempunyai pandangan dan penerimaan yang berbeza terhadap orang lain. Justeru, dia memilih untuk menerima keadaan tersebut dan meneruskan kehidupan tanpa terlalu memikirkan perkara yang telah berlaku.

“Benda itu sebenarnya asam garam dalam industri. Perkara yang tidak boleh dielakkan kerana akan ada sahaja orang yang suka dan tidak suka kepada kita. Itu lumrah kehidupan. Saya rasa di mana-mana tempat kerja pun ada perkara seperti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, apa yang boleh saya lakukan adalah menerima keadaan itu dan meneruskan kehidupan. Saya sebenarnya sekadar berkongsi kerana tahu mungkin ramai lagi yang menghadapi perkara sama seperti saya. Saya menerima banyak mesej daripada mereka yang memberitahu bahawa mereka berasa kecewa dan bertanya sama ada saya boleh memberikan kata-kata semangat.

“Kebanyakannya datang daripada individu yang berada dalam bidang yang sama dengan saya. Jadi, tujuan saya berkongsi adalah supaya orang di luar sana tahu bahawa jika saya boleh menghadapi semua itu dan sampai ke tahap sekarang, mereka juga boleh melakukannya. Kita boleh sama-sama berjaya walau apa-apa pun yang berlaku di sebalik tabir,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Khadijah tidak mahu mengulas panjang mengenai kemungkinan keadaan yang pernah dilaluinya itu sudah berubah atau sama ada pihak yang terbabit mula mendekatinya selepas perkongsian tersebut dibuat.

Sebaliknya, dia memilih untuk menerima keadaan seadanya dan meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan sebarang perubahan daripada pihak lain.

“Saya rasa lebih baik perkara itu tidak perlu diperkatakan lagi. Biarlah apa yang berlaku itu berlalu. Saya juga sudah selesa dengan keadaan sekarang,” katanya.

Mengulas dakwaan dirinya dipulaukan, Siti Khadijah tidak menolak kemungkinan perkara itu turut berpunca daripada kekurangan dirinya sendiri, khususnya dari segi cara bergaul dan membuka ruang untuk orang lain mendekatinya.

Katanya, dia tidak mahu membuat sebarang andaian terhadap tanggapan orang lain kerana setiap individu mempunyai perspektif tersendiri.

“Kalau hendak dikatakan dipulaukan, saya rasa bukan begitu. Mungkin saya sendiri ada melakukan kesilapan. Mungkin saya kurang membuka diri atau tidak begitu mesra dengan orang lain. Mungkin juga riak wajah saya tidak menunjukkan bahawa saya terbuka untuk didekati.

“Namun, terpulanglah kepada mereka. Saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya ulaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Khadijah mengakui tidak mempunyai ramai rakan dalam kalangan selebriti kerana lebih selesa mengekalkan hubungan persahabatan yang terjalin sejak zaman persekolahan.

Jelasnya, dia melihat kebanyakan rakan artis sebagai kenalan yang ditemui menerusi urusan kerja, manakala hubungan lebih rapat di luar lokasi penggambaran bergantung pada keserasian dan rezeki masing-masing.

“Saya memang tidak mempunyai ramai kawan dalam kalangan selebriti. Saya lebih selesa begitu kerana bagi saya, rakan selebriti ialah rakan sekerja. Kami bertemu di lokasi penggambaran dan apabila selesai bekerja, urusan kerja pun berakhir.

“Jika ada rezeki untuk hubungan itu berkembang ke fasa seterusnya, termasuk menjadi sahabat di luar lokasi penggambaran, itu juga sesuatu yang baik. Kebanyakan sahabat rapat saya ialah rakan sejak sekolah rendah, sejak kecil dan rakan sekampung.

“Sejak awal saya menceburi bidang lakonan, malah ketika masih baharu dalam industri, sudah ada orang yang mengatakan perkara sedemikian. Sebenarnya, dalam kehidupan ini, walau apa-apa pun yang kita lakukan, orang tetap dengan pendirian masing-masing. Jika mereka tidak menyukai kita, mereka tetap tidak akan menyukai kita.

“Jadi, terpulanglah kepada mereka untuk berfikiran sedemikian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini