Perlu radikal ubah minda Melayu

Perlu radikal ubah minda Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat
di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.

Sebahagian besar rakyat negara ini tidak mesra dengan ayat-ayat berbaur sindiran. Atau hentam keromo habis seperti ungkapan har*m j*d*h. Apa lagi kalau ia datang daripada seorang wakil rakyat atau bekas menteri dan pegawai kerajaan.

Dalam tamadun Melayu, budi itu amat penting. Ia menjadi tonggak hidup beradat dan sandaran tamadun. Ia mengajar kita bersifat lurus dan ikhlas, bertenaga dalaman dan luaran. Jika berdiri tetapi nampak condong, maka pemimpin itu dianggap hilang sahsiahnya sebagai seorang yang berbudi.

Seorang pemimpin yang condong semasa berdiri boleh dianggap memimpin dalam keadaan dicurigai. Pemimpin dalam dunia Melayu mesti tegak berdirinya. Lurus pimpinannya. Bersyafaat pimpinannya.

Pantun, peribahasa, pepatah, perumpamaan antara lain adalah cetusan budi murni berfikir, bertindak dan mengatur kehidupan. Di dalam ketiga-tiga budaya lisan Melayu tersebut sedia terkandung daya fikir yang amat tajam dan mempengaruhi gerak laku manusia Melayu.

Malangnya penggunaan kata-kata kiasan tentang peristiwa yang berlaku di sekelilingnya agak payah untuk orang muda `baca’ maksud yang tersirat. Mereka kini lebih suka berterus-terang.

Peribahasa contohnya lebih manis, maksudnya dalam. Kurang menyakitkan. Peribahasa memberi pengajaran. Mengingatkan individu pelbagai kemungkinan yang akan datang. Tujuannya menegur, melarang membuat sesuatu.

Seingat kita, masyarakat Cina pun pun ada memakai peribahasa. Disebut chengyu, mempunyai sejarah sangat tua, seiring sejarah peradaban Cina dan perkembangan bahasa Tionghoa. Peribahasa Tionghoa mempunyai asal usul cerita menarik. Biasanya dari mitologi atau fakta sejarah. Atau muncul hasil dari karya sastera pelbagai dinasti dalam sejarah Cina.

Hari ini terutama dengan situasi politik yang kelam, ditambah kehidupan mencabar sarat dengan memikir kos sara hidup itu ini, peribahasa nampaknya sudah luput penggunaannya. Menggantikannya adalah troll yang beraja di laman sosial.

Troll – memberi pendapat berlawanan daripada orang lain termasuk parody atau kata lain, ‘makan dalam’. Tetapi nak troll mesti ada point. Bukannya boleh troll membuta-tuli. Mesti bersiap sedia dengan fakta yang kukuh berbaur sarkastik, sindiran untuk mempertahankan pendirian anda.

Peribahasa Melayu dan troll – dua penyampaian berbeza, tetapi motif penggunaannya masih sama.

Sesiapa pun pemimpin politik Melayu sekalipun beringatlah – jangan sewenang-wenang menambah perbendaharaan kata bahasa kita ikut kecenderungan kegemaran masing-masing. Dunia tanpa tali, laman sosial, dunia hiburan yang canggih kesemuanya sudah menukar isian atau kekosongan budaya kita. Termasuk di dalam golongan ini ialah meresap hilangnya budi.

PECAH PERINTAH
Hari ini rakyat dalam dilema kerana serba salah kepada siapa hendak mengadu nasib dan bergantung harap. Mereka kian gusar melihat dasar pecah dan perintah (devide and rule) yang semakin membarah dalam kalangan orang politik Melayu.

Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan yang semakin menghimpit kehidupan seharian mereka. Rakyat sudah jemu dan mungkin ada yang sudah meluat melihat pemimpin Melayu Islam masih bercakaran sesama sendiri. Mengejar glamour, pangkat dan ghanimah. Jika senario ini tidak ditangani dengan segera ianya akan melemahkan kuasa politik orang Melayu Islam dan memungkinkan terjadinya minoriti menguasai majoriti.

Pecah dan perintah antara faktor kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah setelah bertahan selama 623 tahun dari 1299 sehingga 1922 Masihi. Di samping itu keterlibatan golongan minoriti terdiri daripada orang Yahudi dan Armenia diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan dan mereka turut berperanan menjatuhkan Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1922 Masihi.

Jangan kita terjebak dalam propaganda pecah dan perintah. Bukan waktu dan ketikanya untuk pimpinan Melayu berkonfrontasi sesama sendiri, apa lagi membentuk kabilah.

Pemikiran dan perlakuan yang baik bernilai tinggi untuk kehidupan yang murni. Dan sekali gus saling berfaedah kepada masyarakat.

Tegak rumah kerana sendi,
Rosak sendi rumah binasa,
Tegak ummah kerana budi,
Rosak budi ummah binasa.

 

 

JADIKANLAH cerita rakyat, Pak Kaduk yang menang sorak tetapi kampung tergadai sebagai pengajaran agar orang Melayu lebih bijaksana dalam berpolitik.

BERDIRI SAMA TINGGI
Persoalan yang hakiki, “adakah politik Melayu menerima dan akan melonjakkan diri mereka ke arah perubahan radikal demi survival mereka pada tahun mendatang? Perubahan radikal bermaksud perubahan sikap, budaya dan keinginan berubah ke arah yang lebih baik tanpa menunggu peluang perubahan politik yang lebih menguntungkan.

Untuk tempoh lima tahun mendatang ini, orang Melayu perlu lebih bijaksana melangkaui dendangan klasik yang sentiasa menghantui mereka akibat salah faham konsep ketuanan Melayu. Sebaliknya, orang Melayu seharusnya melakukan perubahan radikal.

Dalam erti kata sentiasa bersiap-siaga untuk ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ serta mampu bersaing dengan kaum-kaum lain. Ini dengan cara membayangkan diri mereka hidup dalam satu situasi yang cukup runcing dan mereka bukan lagi sebagai ‘anak yang dimanjakan’.

Mereka harus mengandaikan diri sekadar ‘majoriti angka’ dan bukannya ‘majoriti sosial’. Suka atau tidak suka, orang Melayu perlu bersedia untuk bermain di padang sama rata.

Jika orang Melayu tidak ada kesungguhan mahu melakukan pembetulan, dibimbangkan akan muncul di pentas hidup Malaysia moden lebih ramai watak Lebai Malang dan Pak Pandir – watak-watak seperti yang digambarkan di dalam kisah-kisah jenaka rakyat.

Mat Jenin moden muncul di pentas hidup masa kini, disebabkan sifat kurang disiplin dalam kalangan anak Melayu yang pernah diberikan banyak peluang menjadi kaya, tetapi terlalu awal bermimpi asyik, hingga terhempas jatuh ke tanah.

Akibatnya orang Melayu menghadapi nasib Pak Kaduk, menari-nari dalam sorak kemenangan palsu, diiringi korus, membiarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Akhirnya bangsa menghadapi nasib menang sabung – kampung tergadai.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN