BARU-BARU ini, laman Facebook Pas Pusat menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera satu isu yang dikatakan sangat serius, iaitu 54,000 warga China dalam proses diberikan kewarganegaraan Malaysia. Desakan ini tetap dibuat walaupun Razali sendiri mengakui hal ini telah dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil atas alasan – mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin bertiup.
Ayat-ayat yang digunakan pula sangat provokatif seperti ‘Angka 54,000 ini terlalu besar’, ‘Menteri KDN harus bertanggungjawab’, ‘Kita tidak mahu kedaulatan negara kita dicerobohi sewenang-wenangnya apatah lagi daripada pihak dalaman’ dan ‘Kedaulatan negara perlu dipertahankan, keistimewaan rakyat Malaysia perlu dilindungi.’
Isu ini sebenarnya tidak berbangkit jika Razali menonton sendiri video kenyataan Saifuddin Nasution dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja hampir tiga jam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 9 Januari yang dipotong untuk menunjukkan bahagian di mana beliau mengulas mengenai permohonan kewarganegaraan sahaja.
Jelas kedengaran dalam video tular itu kenyataan Saifuddin Nasution bahawa untuk tempoh 2017 ke 2022, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima 54,000 permohonan untuk menjadi warganegara. Yang telah diluluskan adalah 7,000, yang sedang diproses 36,000 manakala selebihnya ditolak permohonannya. Beliau seterusnya kedengaran berkata, 36,000 permohonan yang sedang diproses inilah yang dimaksudkannya akan dipergiatkan perbincangan dengan Ketua Setiausaha dan pegawai-pegawai KDN untuk melihat bagaimana proses ini boleh dipercepatkan dengan melihat kepada statusnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jelas disebut oleh Saifuddin Nasution, tiga fasal dalam Perlembagaan Persekutuan dalam mana permohonan kewarganegaraan boleh dipertimbangkan, iaitu Fasal 15, Fasal 16 dan Fasal 19. Semua permohonan ini pula akan melalui syarat-syarat ketat.
Fasal 15 merujuk kepada kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara), iaitu perempuan bersuami seorang warganegara dan orang di bawah umur 21 tahun jika salah seorang daripada ibu bapanya adalah seorang warganegara.
Fasal 16 merujuk kepada kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Kemerdekaan), iaitu berumur 18 tahun atau lebih dan dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Kemerdekaan.
Fasal 19 merujuk kepada kewarganegaraan melalui penaturalisasian, iaitu orang berumur 21 tahun atau lebih yang bukan warganegara.
Laporan berita mengenai sidang akhbar Saifuddin Nasution sendiri adalah tertumpu kepada penubuhan jawatankuasa khas oleh KDN bagi meneliti isu berkaitan kewarganegaraan secara menyeluruh dari pelbagai aspek dengan fokus kepada kes tertangguh, kanak-kanak dilahirkan di luar negara atau berstatus tidak sah taraf dan wanita tempatan berkahwin dengan lelaki warga asing.
MEMBALAS BUDI
Terang dan tegas disebut oleh Saifuddin Nasution bahawa beliau akan memastikan proses permohonan kewarganegaraan dipermudah secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan negara.
Malah, tidak ada sepatah perkataan pun keluar dari mulutnya bahawa kesemua 36,000 permohonan yang sedang diproses adalah daripada warganegara asing, apatah lagi dari China.
Semua ini bercanggah dengan ayat ditularkan bersama video tersebut oleh pihak tidak bertanggungjawab berbunyi ‘54,000 sedang menunggu untuk jadi warganegara, kata Saifuddin, tapi semuanya dari China yang diimport oleh DAP’ dan ‘Melayu PH jual negara sedikit demi sedikit tanpa sedar.’
Jika Razali tidak menonton sendiri video kenyataan Saifuddin Nasuition ini sekali pun, beliau seharusnya membaca kenyataan media JPN pada 18 Ogos lalu bertajuk Penjelasan Isu Tular Mengenai 54K Warga China Dalam Proses Warganegara Pengundi DAP yang menjelaskan bahawa petikan yang ditular itu telah dimanipulasi daripada sebahagian kenyataan Saifuddin Nasution.
Inti pati kenyataan Saifuddin Nasution memaklumkan komitmen beliau sebagai Menteri Dalam Negeri baharu dilantik untuk membuat keputusan lulus atau gagal terhadap permohonan kewarganegaraan yang telah tertunggak sekian lama tanpa dibuat sebarang keputusan, bukannya untuk meluluskan kesemua 36,000 permohonan sedang diproses.
Tidak perlu ada kebimbangan mengenai pemberian kewarganegaraan beramai-ramai kepada warganegara China sama ada untuk tujuan politik atau apa-apa tujuan lain kerana ini tidak pernah berlaku. Malah, berdasarkan rekod JPN dari 2019 hingga 31 Julai lalu, hanya 45 individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia mengikut Perkara 19(1).
Isu begini amat kerap dimainkan kerana ia boleh menyentuh emosi orang Melayu untuk membangkitkan kebencian kepada kerajaan. Masih jelas dalam ingatan kita pada 28 September 2019, KDN terpaksa menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan kewarganegaraan baharu kepada 200,000 penerima yang didakwa berikrar sedia untuk ‘membalas budi’ kerajaan PH sedangkan bagi tempoh Mei 2018 sehingga 15 September 2019 hanya 19,788 permohonan kewarganegaraan diterima oleh JPN daripada pelbagai kaum. Daripada jumlah tersebut hanya 4,422 diluluskan.
Disebabkan berleluasanya berita palsu begini di media sosial, mungkin sudah tiba masanya Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dimansuhkan oleh kerajaan PH digubal semula dengan penambahbaikan bagi membanterasnya. Peruntukan sedia ada seperti dalam Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan seperti tidak cukup untuk membanteras berita palsu.
Denda maksimum RM500,000 dan 10 tahun penjara atau kedua-duanya kepada sesiapa sahaja yang menghasilkan, menerbitkan dan menyebarkan berita diketahui palsu serta denda maksimum RM100,000 kepada sesiapa sahaja yang gagal memadamkan berita setelah mengetahui ia palsu seperti wujud dalam Akta Antiberita Tidak Benar 2018 wajar dihidupkan semula.
Sementara adanya akta begitu, tindakan perundangan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kanun Keseksaan sewajarnya dikenakan kepada penyebar berita palsu ini. – UTUSAN
DR. Syed Agil Shekh Alsagoff ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).










