PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri sudah melabuhkan tirainya, namun keputusan yang masih mengekalkan status quo 3-3 itu sebenarnya memberi tamparan hebat buat Barisan Nasional/UMNO yang dikatakan ‘ditendang’ rakyat berdasarkan jumlah kerusi dimenanginya.
Ini kerana jika dilihat BN hanya mampu menggenggam 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi walaupun kali ini berada di bawah payung Pakatan Harapan (PH). Ini bermakna walaupun berada di kedudukan selamat dalam Kerajaan Persekutuan, ia masih tidak cukup kuat untuk ‘mencuri’ undi rakyat termasuk penyokong tegar PH. Bahkan kad laporan gabungan PH-BN merosot 70 kerusi.
Ini bermakna Perikatan Nasional (PN) pula berjaya merampas 70 kerusi daripada gabungan itu.
Sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ‘berjangkit’ ke PRU15 dan kali ini di enam DUN sudah cukup untuk UMNO sedar, bangkit dan mencari solusi secara menyeluruh. BN atau UMNO tidak boleh lagi ego atau selesa kerana berada dalam kerajaan, tetapi dengarlah suara rakyat dan lakukan perubahan sesegera mungkin untuk memastikan parti itu terus hidup dalam arena politik negara.
Kita mendengar pelbagai teori, antaranya mengatakan kekalahan BN/UMNO itu disebabkan rakyat sudah muak dan menolak Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selain parti itu tidak menunaikan janji untuk menolak kerjasama bersama DAP.
Walaupun berkali-kali pimpinan parti itu bersuara agar orang Melayu khususnya ahli dan penyokong UMNO untuk berhenti daripada berperasaan fobia terhadap DAP berikutan dinamika politik pada masa kini yang sudah berubah, namun nampaknya ia gagal. Orang Melayu atau lebih khususnya penyokong tegar parti keramat itu masih tidak boleh menerima kerjasama dengan PKR, apatah lagi DAP.
Sebaliknya bagi PN boleh dianggap ‘menang bergaya’ walaupun sekadar meletakkan calon yang merupakan bekas pemain bola sepak Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar di DUN Gurun dengan memperoleh 17,771 undi menewaskan pencabarnya, Mohammed Firdaus Johari (PH) yang mendapat 11,187 undi. Sedangkan sebelum ini Baddrol dikecam teruk kerana bertanding tanpa manifesto selain tiada pengalaman politik.
Tetapi bagi Pensyarah Kanan Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Mohd. Faizal Kasmani, ada beberapa faktor yang menyebabkan teori BN/UMNO hilang sokongan Melayu pada PRN kali ini tidak begitu tepat.
Pertama, jumlah turun mengundi yang rendah di setiap negeri menyebabkan keputusan rakyat tidak representative. Ramai pengundi tidak turun dan mengapa pengundi menolak untuk turun pada kali ini perlu dikaji sebabnya.
Kedua, BN/UMNO masih dilihat kuat di Negeri Sembilan yang juga kawasan mempunyai ramai pengundi Melayu. Mengapa parti itu diterima di Negeri Sembilan dan tidak di negeri lain juga perlu dilihat semula.
Jika berdasarkan hujah ini, bermakna orang Melayu masih menerima BN/UMNO, cuma entah di mana silapnya.
Dan ketiga, BN/UMNO perlu memainkan strategi untuk menarik pengundi muda yang merupakan kingmaker dalam pilihan raya pada masa kini.
Malah tambah Mohd. Faizal, DAP bukanlah penyebab utama penyokong BN tidak menyokong UMNO. Prestasi parti itu sememangnya tidak memberangsangkan pada PRU15 sebelum bersama PH dan DAP lagi. Isu utama adalah konflik dalaman parti, hilangnya nama-nama penting dalam UMNO dan kluster mahkamah yang menjadi duri dalam daging bagi parti itu.
LETAK JAWATAN
“Malah, keberadaan BN/UMNO dalam kerajaan perpaduan bukan penyebab parti itu melupakan atau lari daripada masalah dalam parti. Sama ada BN menyertai PH atau tidak, mereka perlu menyelesaikan isu asas dan dalaman UMNO terlebih dahulu.
“Sama ada mereka menjadi pembangkang atau tidak, tak akan menjamin sokongan terhadap BN/UMNO. Mereka perlu mengembalikan kepercayaan rakyat yang telah semakin hilang sejak pilihan raya sebelum-sebelum ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Seperti biasa, apabila kekalahan teruk sesebuah parti politik, ia tidak akan lari daripada desakan untuk presidennya meletak jawatan. Hal sama berlaku selepas prestasi buruk BN/UMNO dalam PRU14, PRU15 dan kali ini PRN pada 12 Ogos lalu.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh mahu Ahmad Zahid bertanggungjawab berikutan prestasi buruk BN/UMNO kali ini.
Sementara bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula mendakwa Presiden UMNO itu tidak akan meletakkan jawatan sebaliknya mungkin buat tidak tahu sahaja seperti mana berlaku pada PRU15.
Mohd. Faizal pula berpendapat, jika Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden, ia bukanlah penyelesaian total buat UMNO, bukan juga jaminan sokongan akan berpindah semula kepada parti itu sebaliknya UMNO perlu keluar dari kepompong dan paradigma lama serta mendengar apa yang dimahukan oleh rakyat hari ini.
Perubahan perlu dibuat dari akar umbi untuk menukar persepsi UMNO sebagai parti korup, parti yang menghalang muka-muka baharu dan parti untuk Melayu dan golongan tua sahaja. UMNO juga perlukan pemimpin yang berani dan lantang bersuara demi kebenaran.
Secara jujur, ramai tidak lagi melihat UMNO boleh kekal ‘panjang umur’ jika terus menerus ego dengan merasakan mereka terbaik. Banyak kali rakyat sudah bersuara, bahkan ahli akar umbi juga memberi signal lampu merah dengan corak pimpinan hari ini.
Bacalah apa kemahuan rakyat dan akar umbi. Buang ego, lakukan perubahan sesuai perubahan semasa kerana kita tidak mahu melihat UMNO terkubur di tangan barisan kepemimpinannya yang gagal mencorak parti sesuai dengan kehendak semasa. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










