MUKADIMAH
NAMA Sekolah Henry Gurney (SHG) tidak dapat dipisahkan dengan gelaran ‘sekolah budak jahat’ atau penjara untuk banduan bawah umur. Di tambah dengan kemajuan teknologi terutama membabitkan perkongsian video dalam platform media sosial, kisah-kisah bekas penghuni SHG mula dipertontonkan kepada masyarakat.
Cerita-cerita berkenaan secara tidak langsung menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. Ada kelompok memandang daripada sudut positif, namun tidak kurang juga yang terus mengaitkan para penghuninya dengan perkara negatif.
Mingguan Malaysia berkesempatan menemu bual Pengarah Shg Telok Mas, Melaka, Penolong Komisioner Penjara, ZAN AZIM AZIZ bagi merungkai peranan institusi itu terutamanya membabitkan soal untung nasib pesalah juvana yang ditahan di situ.
Ikuti wawancara penuh disediakan wartawan, Hadi Ab. Manap dan jurugambar, Syafeeq Ahmad yang diberi peluang melihat aktiviti seharian para penghuni SHG.
MAHKAMAH KANAK-KANAK
MINGGUAN MALAYSIA: Apakah peranan SHG, siapakah yang ditempatkan di sini dan adakah SHG dikategorikan sebagai penjara?
ZAN AZIM: SHG merupakan salah satu daripada institusi di bawah Jabatan Penjara. SHG juga institusi yang menahan penghuni di bawah umur oleh pihak mahkamah atau lebih tepat lagi, Mahkamah Bagi Kanak-kanak, yang mana mereka yang dijatuhkan hukuman atas sesuatu kesalahan ataupun Penilaian Laporan Akhlak daripada Pegawai Akhlak. Umur penghuni yang ditahan di SHG adalah daripada 14 tahun sehingga 21 tahun.
Mengenai persoalan status SHG sama ada merupakan sebuah penjara atau tidak, memang tidak dapat dinafikan banyak elemen yang dipraktikkan di SHG menyerupai apa yang diamalkan di penjara lain. Ini kerana kami Jabatan Penjara, mengguna pakai beberapa akta dan peraturan seperti Akta Penjara 1995, Peraturan-peraturan Penjara 2000 dan Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara (KJP) terutamanya perkara-perkara yang melibatkan pelaksanaan keselamatan.
Bagaimanapun, apa yang membezakan SHG dengan penjara lain adalah kami mengguna pakai beberapa akta dan peraturan lain yang dikhaskan untuk pesalah juvana ini. Akta dan peraturan yang dimaksudkan adalah Akta Kanak-kanak 2001, Henry Gurney School Regulation 1949 dan beberapa Perintah Tetap KJP yang dikhaskan untuk penghuni SHG seperti Prosedur Pelepasan Berlesen, Tatacara Pengurusan Penghuni Bercuti Sementara, Penghuni Kemahiran Luar dan sebagainya.
PESALAH 14 TAHUN KE ATAS
Apa perbezaan antara SHG dengan Sekolah Tunas Bakti (STB)?
SHG institusi yang menahan pesalah juvana berumur daripada 14 ke atas seperti mana diputuskan oleh Mahkamah Bagi Kanak-kanak. Akan tetapi bagi mereka yang sudah mencapai umur lebih daripada 18 tahun dan tidak lebih 21 tahun, maka hukuman untuk ditahan di SHG tertakluk kepada kuasa dan perintah Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
Selain itu, fokus Jabatan Penjara terhadap penghuni SHG, tidak lari daripada apa yang diterapkan di institusi penjara lain iaitu berteraskan visi dan misi jabatan kami.
Dari segi tempoh penahanan pula adalah ditahan selama tiga tahun atau mencapai umur 21 tahun di bawah Seksyen 75 (2) Akta Kanak-kanak 2001. Penghuni juga berpeluang mendapat kebebasan awal iaitu dinamakan Pembebasan Berlesen di mana tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
STB atau turut dikenali Sekolah Diluluskan dalam Akta Kanak-kanak 2001 juga institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut menempatkan penghuni oleh Mahkamah Bagi Kanak-kanak. Mereka melakukan kesalahan selain jenayah berat, penilaian Laporan Akhlak dari Pegawai Akhlak dan pada hemat mahkamah bagi tujuan pemulihan akhlak (Seksyen 67 (1) (a), (b) dan (c) Akta Kanak-kanak 2001).
Selain itu, STB juga sekolah yang menahan kanak kanak yang berumur lebih daripada 10 tahun. Dari segi tempoh penahanan pula bagi penghuni STB ini adalah selama tiga tahun. Bagaimanapun, penghuni STB juga mempunyai peluang untuk mendapat pembebasan lebih awal setelah melalui 12 bulan tempoh tahanan dengan kelulusan kuasa menteri dan lembaga pelawat. Untuk makluman semua, kami di SHG juga ada menerima penghuni STB berdasarkan keadaan-keadaan tertentu melalui perintah mahkamah setelah meneliti syor dari Pegawai Akhlak.
PEMULIHAN
Bagaimana pula dengan Pusat Koreksional?
Pusat Koreksional adalah penggunaan frasa nama baharu kepada penjara-penjara baharu di bawah Jabatan Penjara, seiring dengan visi Peneraju Perkhidmatan Korektif. Koreksional dipraktikkan di Jabatan Penjara bermaksud pemulihan adalah salah satu fokus utama jabatan dalam memastikan program pemulihan yang bersesuaian serta efektif ke atas semua kategori banduan, penghuni dan tahanan. Peranan Jabatan Penjara tidak hanya sebagai tempat menghukum tetapi juga sebagai tempat memulih dan satu hari nanti para penghuni dan banduan yang berada dalam penjara akan dibebaskan.
Adakah pesalah juvana yang keluar dari SHG turut mendapat label bekas banduan?
Tidak, mereka di sini dipanggil penghuni dan apabila bebas mereka tidak disenarai hitamkan untuk bekerja di mana-mana organisasi atau syarikat sama ada kerajaan mahupun swasta.
Statistik pesalah juvana yang terdapat di SHG?
Jumlah penuh penghuni pada hari ini adalah 533 orang, 496 penghuni berada dalam sekolah manakala 37 lagi penghuni sedang menjalani Program Pelepasan Berlesen di luar. Seramai 489 penghuni ialah lelaki iaitu 92 peratus manakala baki 44 orang atau lapan peratus penghuni wanita.
DADAH PALING TINGGI
Apakah kesalahan lazim dan paling tinggi dilakukan?
Lebih 30 peratus kesalahan penghuni adalah berkait dengan penyalahgunaan dadah iaitu 210 kes atau bersamaan 39.4 peratus. Jenayah harta benda pula membabitkan 112 kes (21.01 peratus), jenayah seksual 146 kes (27.39 peratus), jenayah kekerasan 33 kes (6.19 peratus) dan lain-lain 32 kes (6 peratus).
Bagaimana SHG menerapkan kepentingan pelajaran dalam kalangan penghuni sehingga mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
SHG sentiasa berusaha dalam memastikan segala keperluan penghuni di sini disediakan sebaik mungkin. Ini bertepatan dengan misi Jabatan Penjara, ‘Membentuk Insan Produktif Melalui Pemulihan Efektif, Persekitaran Kondusif dan Pengintegrasian Strategik’.
Dalam erti kata pendidikan, kami di SHG mempunyai guru-guru lantikan tetap dari Kementerian Pendidikan seramai 17 orang serta dibantu oleh dua guru Mystep. Kluster akademik di SHG terdiri daripada tiga kelas iaitu tingkatan empat, tingkatan lima dan 3M.
Pendidikan yang sempurna untuk disampaikan kepada penghuni SHG merupakan salah satu keperluan untuk mereka seperti mana yang termaktub dalam akta mahupun peraturan. Antaranya, Mandela Rules (Rule 104), Henry Gurney School Regulation 1949 (Rule 38, 39) yang menekankan keperluan penyediaan kelas pendidikan dan perpustakaan.
Kepentingan pendidikan kepada penghuni juga dititik-beratkan dalam Peraturan-peraturan Penjara 2001 iaitu Peraturan (151) Kelas Pendidikan, Peraturan (152) Perpustakaan dan Peraturan (153) Bahan Bacaan.
BUKAN TITIK HITAM
Adakah kemasukan ke SHG merupakan titik hitam dalam diri seseorang atau sinar baharu buat mereka memperoleh masa depan lebih cerah?
Umumnya penghuni-penghuni yang ditempatkan di SHG terdiri daripada latar belakang berbeza. Majoriti penghuni yang terjebak dengan kesalahan sehingga dibawa dan ditahan di sini datangnya dari keluarga berpecah-belah, kurangnya pemantauan ibu bapa, anak-anak terbiar dan sebagainya.
Boleh dikatakan kebanyakan daripada mereka tidak berpeluang mempunyai saluran pengajaran agama yang sempurna, pembelajaran akademik yang cukup, pendedahan kepada kemahiran dan sebagainya.
Sepanjang penahanan mereka di sini, SHG sentiasa optimis untuk kebaikan masa depan mereka dengan menyediakan pengajaran agama yang sempurna, pembelajaran akademik, serta pendedahan kepada kemahiran seperti pembelajaran muzik, kemahiran bengkel-bengkel dan sebagainya.
Semua ini bertujuan membantu penghuni membentuk jati diri serta melengkapkan diri dengan beberapa kemahiran supaya dapat diaplikasikan dan mendapat kerja di luar sekolah. Reformasi penjara ke arah pusat pembangunan peradaban budaya kemanusiaan. – Mingguan Malaysia










