SUATU ketika Pas komited untuk mengangkat bukan Islam dalam parti itu.
Muktamar Tahunan Pas ke-27 pada April 1981 memutuskan mendekati bukan Melayu sebagai strategi dakwah dan politiknya. Hasilnya, pada 1985, Pas menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) sebagai wasilah dengan masyarakat Cina. Tetapi selepas pilihan raya umum (PRU) 1986, CCC berkubur.
Di zaman Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, ditubuhkan pula Kelab Penyokong Pas (KPP) untuk mendekati masyarakat Cina dan India. Pada 2007, logo KPP dilancarkan dengan tema Pas for All. KPP kemudian diangkat sebagai Dewan. Tiga tahun kemudian, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melancarkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di Klang.
Sejak PRU 2008, ada wakil bukan Islam dari Pas bertanding. Oleh kerana kekangan perlembagaan parti, Pas membenarkan wakil DHPP bertanding atas tiket PKR, rakan komponen Barisan Alternatif ketika itu.
Pada PRU14, Pas memberi laluan kepada calon DHPP bertanding tiga kerusi Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (DUN). Demikian juga dalam PRU15, antaranya di DUN Sungkai, G. Thilak Raj mewakili Pas-DHPP manakala S. Suriyanarayanan di DUN Pasir Bedamar. Di Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew turut mencuba nasib kerusi Parlimen Bukit Mertajam. Namun semua maklum nasib mereka, kalah.
Dalam satu temu bual Abdul Hadi bersama wartawan sebuah akhbar Cina pada 8 Februari 2018, beliau ditanya, “Adakah pengundi Cina penting untuk Pas?”
Jawabnya, “Masyarakat Cina tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat majmuk. Terkini, Pas ada cabang DHPP dalam kalangan bukan Islam. Mereka akan menjadi calon Pas di kerusi-kerusi terpilih.
“Pas menerima masyarakat majmuk dengan meraikan kehadiran kaum Cina dan India yang dibawa penjajah, menunjukkan masyarakat Islam terbuka dan berlapang dada. Orang Melayu ada kepakarannya, orang Cina pun ada, orang India dan lain-lain kaum pun ada. Maka semua kaum saling bertukar dan berkongsi kepakaran kerana mustahil dapat hidup keseorangan.”
Tetapi persoalannya hari ini, sembilan bulan berlalu sejak PRU15, ke mana perginya DHPP? Ke mana hilangnya orang Cina dan India dari Pas? Adakah Pas menyebut-nyebut usaha komprehensif parti itu dalam ceramah ke arah pembelaan masyarakat majmuk?
‘Gelombang hijau’ yang melanda Kelantan, Terengganu dan Kedah bak tembok sempadan yang menyekat Pas ke arah toleransi kaum. Adakah untuk Islam semata-mata perjuangan parti ini dengan ‘ayam sabung’ di Kedah bermaharajalela tanpa kawalan Pas Pusat dan Dewan Syura? Mana perginya keindahan Islam? Bukankah Islam untuk semua kaum?
Hari ini di atas kertas, Kelantan dan Terengganu ibarat gone case untuk parti-parti lain bertapak. Pas dengan sentimen Melayu yang membara bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pasti akan menang besar di dua negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Adakah ini petunjuk baik untuk negara? Bagi generasi Y, mereka harus faham sejarah dan struktur awal negara ini. Kita perlu terima hakikat, mana-mana kerajaan perlu ada bukan Melayu. Kerajaan-kerajaan yang dipimpin perdana menteri (PM) sewaktunya sebelum 2018 sentiasa hendakkan kestabilan. Semak dan periksalah, pentadbiran mereka sentiasa ada bukan Melayu.
Sejarah membuktikan, kerajaan Barisan Nasional (BN) stabil selama lebih enam dekad, memiliki parti-parti komponen bukan Melayu. Di era PM kelapan, tidak ramai pemimpin Cina dan India dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet yang mempunyai 31 orang menteri. Bila amat sedikit menteri Cina dan India, tidak ada kestabilan. Jangan asyik bersentimen, tengok realiti.
Februari lalu, bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai melahirkan rasa kecewa dengan Kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya didominasi oleh sesuatu kaum dan tidak melambangkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
“Satu wakil kaum Cina pun tak ada. Satu wakil kaum India pun tak ada.
“Sabah ada satu orang. Sarawak ada satu orang. Tidak menggambarkan komposisi kaum dan geografi Malaysia,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Perjuangan politik Pas yang sempit pada ketika ini adalah kerana terlalu terpaku pada agenda dan kepentingan kelompok tertentu tanpa memberikan perhatian cukup pada keperluan dan aspirasi masyarakat lain.
Dalam hal ini, Pas mungkin lebih fokus pada agenda-agenda politik yang lebih relevan bagi masyarakat Melayu supaya lebih mudah menarik sokongan. Modal politik kaum tidak perlu pemikiran yang kreatif. Hanya perlu lontarkan hujah-hujah mempertahankan hak Melayu. Akibatnya, hubungan dengan masyarakat bukan Melayu menjadi kurang mendapat perhatian dan sokongan memadai.
Namun dari segi percaturan politik, ia sudah memadai untuk mendapatkan mandat rakyat di kawasan majoriti Melayu kerana paling penting bagi Pas hanyalah berapa kerusi dimenangi. Tindak-tanduk politik sempit Pas selepas PRU15 menggelisahkan masyarakat bukan Melayu kerana:
Persepsi politik berdasarkan agama
Pendekatan politik Pas tidak serasi dengan persepsi atau keperluan masyarakat bukan Melayu beragama lain. Ini termasuk pendekatan terhadap isu agama atau pendekatan lebih konservatif dalam hal-hal seperti pakaian tradisional atau gaya hidup.
Kebimbangan mengenai konsep ketuanan Melayu
Kebimbangan masyarakat bukan Melayu terhadap kepentingan dan kesamarataan etnik sendiri boleh menjadi penghalang dalam memberikan sokongan mereka kepada Pas yang berada di bawah payung politik bercorak Melayu-Islam khususnya pada isu-isu hak dan kebebasan etnik. Masyarakat bukan Melayu lebih bersedia untuk menyokong parti lain yang dianggap lebih inklusif.
Kepercayaan politik yang terbentuk
Terdapat faktor-faktor sejarah dan kontroversi sekitar Pas yang mempengaruhi persepsi bukan Melayu terhadap parti ini. Misalnya, isu pengasingan bukan Islam dalam beberapa muktamar terdahulu atau pendekatan Pas terhadap undang-undang Islam. Ini boleh menjadikan bukan Melayu tidak akan memberikan sokongan kepada Pas.
Untuk terus memastikan imejnya masih baik di mata masyarakat Cina dan India, maka seharusnya pucuk pimpinan parti menasihati Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor agar cukup-cukuplah berceramah dengan emosi dan sentimen. Sudah-sudahlah menarik perhatian menggunakan perkataan dan ungkapan tidak wajar. Anda kelihatan tidak menggambarkan dari sebuah parti Islam. Guna perkataan l**c*u, kepala bapak dan macam-macam lagi dalam ceramah sehingga memberi contoh tidak elok kepada pengundi muda.
Kita faham, dia boleh main sentimen itu di Kedah, waima di Kelantan dan Terengganu pun. Namun, jangan sesekali lupakan struktur sosial negara kita yang dipersetujui dari awal merdeka. Jangan cuba diusik dan dirungkai balik.
Begitu halnya dengan tindak-tanduk Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bila sahaja terdesak, gunakan sentimen Melayu. Apabila Pas terperangkap dengan sentimen Melayu, ia tampak lebih assabiyah daripada parti lain.
Semua cerita pasal Melayu belaka.
Kepada Dr. Mahathir, selain berucap di atas pentas PN di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu beberapa hari lepas, pasti wajar beliau buat ceramah pasal Melayu pula di Pantai Barat sebelum hari penamaan calon PRN, Sabtu ini. Selain Pas, pastikan kepimpinan Bersatu dan Gerakan ada bersama. – UTUSAN
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










