MUKADIMAH
BELUM pernah rasanya dalam sejarah muzik tanah air ada kumpulan muzik yang bercium sesama jantina ketika melakukan konsert.
Bagaimanapun, minggu lalu, kumpulan The 1975 dari United Kingdom (UK) bertindak melampau apabila melakukan aksi jelik tersebut selain menghina Malaysia.
Tindakan sedemikian sudah semestinya mengundang banyak kecaman dan kemarahan daripada pelbagai pihak. Apatah lagi ia berlaku di sebalik desakan dan permintaan agar lebih banyak artis luar di jemput untuk mengadakan konsert di negara ini.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Maestro Muzik, DATUK RAMLI MS bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurugambar, FARIZ RUSADIO.
MINGGUAN MALAYSIA: Di Malaysia istilah konsert umumnya mengundang keraguan pada nilai dan budaya. Komen Datuk?
RAMLI: Saya tidak tahu kalau ada yang berfikiran sebegitu pada zaman sekarang. Mereka yang beranggapan sedemikian pernah atau tidak pergi ke konsert? Kita perlu melihat mengapa dan sudut mana untuk mereka yang berfikiran sedemikian membuat tuduhan bahawa konset itu maksiat.
Contohnya begini. Kalau kita cakap mengenai ‘bohsia’ dan dia pergi konsert. Adakah kalau dia tidak pergi ke konsert dia tidak membuat maksiat?
Selain itu, kalau dikatakan ada maksiat, ia terletak di mana dalam konsert itu? Adakah terletak pada artis atau penonton? Perlu ada penjelasan daripada mereka yang berfikiran sebegini. Macam mana pula tontonan di televisyen dan persekitaran kita? Tidak boleh apabila sebut sahaja konsert terus tuduh maksiat atau ada unsur pelanggaran nilai moral.
SEKATAN AWAL
Vokalis 1975 Mat Healy pernah menyuarakan sokongan kepada LGBT pada 2019. Adakah wajar sekatan awal sepatutnya dikenakan kepadanya?
Begini. Golongan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) ini ada pandangan dan hak peribadi mereka sendiri. Dalam masa sama, kita ada suara majoriti yang berbeza pandangan.
Kejadian yang berlaku sebelum ini saya lihat dia (Mat Healy) ini seperti seorang kanak-kanak yang mahu tunjukkan tantrum.
Selepas itu apa ayahnya lakukan? Sudah pasti pukul bukan? Jadi, dalam hal ini majoriti bantai dia. Bila majoriti bantai, dia rasa lebih hendak melawan. Selepas itu, dia rasakan dia artis besar, ramai anggapnya jadi pujaan. Jadi, dia masukkan sekali perangai LGBT di atas nama artis.
Justeru, bagi saya ia bukan salah pihak penganjur semata-mata. Cuma kesannya besar apabila berlaku kejadian sebegini dan menyusahkan banyak pihak. Kerugian pun banyak terutama bagi mereka yang mahu berniaga.
Saya fikir Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) pasti akan lebih tegas selepas ini.
Wajarkah tindakan membatalkan terus keseluruhan konsert atau cukup sekadar hentikan persembahan kumpulan artis yang melakukan kesalahan?
Kalau ikut saya sebagai penguat kuasa, saya sudah pasti akan hentikan terus konsert. Saya tidak tahu kalau penganjur boleh pulangkan kembali duit mereka yang terlibat. Apa pun penganjur sudah semestinya rugi. Perkara yang berlaku betul-betul menyusahkan orang disebabkan perangai artis sebegini.
HARAMKAN ALIRAN MUZIK?
Rock pernah diharamkan pada 1986. Adakah perlunya tindakan sebagaimana kita lakukan pada masa lalu seandainya aliran muzik tertentu dilihat mengundang perkara negatif?
Buat apa pun perlu berpada-pada. Apabila langgar peraturan sudah pasti ada tindakan yang membabitkan aspek penguatkuasaan.
Akan tetapi tidak perlu buat sampai haramkan sesebuah aliran muzik. Bagi saya itu ekstremis. Malah ia terlalu ekstrem. Saya percaya dengan penguatkuasaan yang ada di Malaysia ini sudah pasti akan diharamkan terlebih dahulu lirik lagu yang melangkau batas nilai moral. Memuja syaitan atau menyeru kejahatan. Bukan terus haramkan sesebuah aliran muzik.
Bagi saya, apa sahaja yang kita lakukan jangan melampau-lampau. Itu tidak boleh.
Tahun 1972 pernah diadakan konsert Woodstock di Cheras selama 30 jam tanpa henti. Pada pandangan Datuk adakah permintaan untuk mengadakan konsert dengan ‘persekitaran’ muzik dahulu lebih meriah berbanding sekarang?
Hendak cakap meriah, sebenarnya dahulu lagi meriah walaupun zaman ketika itu menggunakan analog. Itu belum lagi soal backdropnya (tirai belakang) yang macam zaman sekolah rendah, hanya pakai kain biasa dengan lampu dan bunyi ala kadar sahaja.
Tapi perlu ingat, dahulu orang buat konsert ialah mereka yang betul-betul boleh buat persembahan, berkebolehan. Zaman dulu ibaratnya kalau dengar gitar pun boleh melompat. Mereka ada jiwa seni dan bukan sebab duit. Pada masa dulu artis akan kerja dulu, duit dan ganjaran datang kemudian.
Malah kebanyakan artis dulu lebih berdisiplin dan mereka sendiri tidak tahu mereka itu artis. Sentiasa merendah diri dan tidak pandai hendak meminta-minta. Mereka mahu tengok hasil kerja keras itu nanti.
Bayangkan, zaman dahulu dengan tiada digital dan kerja banyak. Apabila mahu mengadakan konsert kita perlu mencari orang yang betul-betul boleh main drum dan bukan bergantung dengan sokongan digital. Sebabnya, mereka ini memang betul-betul mahir.
Lagi satu orang dulu-dulu pegangan (agama dan budaya) kuat. Bermula daripada rumah dan apabila sudah keluar dalam jiwa itu sudah sedia kuat.
KELONGGARAN POLITIK
Antara tempoh 1978 sehingga 1985 merupakan tempoh penting dalam era eksperimental muzik rock yang lebih keras. Difahamkan ia berlaku disebabkan kelonggaran politik dan keterbukaan. Adakah perkara sama turut berlaku pada masa sekarang apabila banyak konsert diadakan?
Saya tidak tahu pasal kelonggaran (politik). Kalau hendak dikatakan ada sekatan, memang tiada pun. Sekatan hanya untuk perkara yang tidak boleh iaitu perkara yang dilihat keterlaluan.
Pemerintah tiada ada sekatan. Perlu diingat perubahan muzik sebenarnya datang daripada individu dan creator (pencipta).
Sebagai contoh, dulu zaman Datuk Seri Ahmad Nawab. Kemudian komposer Allahyarham Omar Taib dan beberapa nama lain selepas itu seperti Datuk M. Nasir. Evolusi itu berlaku lagi dengan pencipta lagu seperti Manan Ngah, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Pak Ngah dan KRU.
Jadi, tiada pun yang disekat. Yang disekat adalah lirik lagu. Kerajaan sudah semestinya akan jadi lebih teliti dan tegas terutama dengan apa yang berlaku baru-baru ini.
EKONOMI NEGARA
Sejauh mana kehadiran kumpulan atau artis dari luar negara memberi kesan positif kepada ekonomi negara dan rakyat?
Kalau dilihat daripada aspek ekonomi, sudah semestinya kerana ia berkaitan dengan pelancongan.
Bayangkan, apabila datang satu-satu band yang popular dari luar negara ke satu tempat, penduduk dari negara jiran juga pasti akan datang. Permintaan meningkat untuk tiket kapal terbang dan hotel serta makan.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sekurang RM3,000 ke RM5,000 dibelanjakan sepanjang tempoh apabila seseorang itu datang dan mahu menonton konsert.
Pada pandangan saya, tidak kisah kalau seseorang itu merupakan LGBT atau apa-apa hal lain. Paling penting bukan mahu mempengaruhi atau lakukan perkara yang bukan-bukan di atas pentas atau tunjukkan tantrumnya serta menyusahkan ramai orang.
Cuba awak lihat berapa ramai golongan LGBT yang ada di Malaysia, berjalan bebas dan ada berpakaian wanita. Adakah teruk mereka diperlakukan, dihina dan dicaci?
Kalau artis itu datang dengan berpakaian sedemikian, itu cara dia. Paling penting, dia bukan mahu mempengaruhi sesiapa pun.
BOIKOT
Ada kumpulan muzik dari luar negara yang tidak mengadakan persembahan di Malaysia dan hanya datang ke negara jiran. Adakah ini disebabkan terdapatnya pihak memboikot, kecam dan menentang konsert demikian sehingga menimbulkan ancaman dan ketidakselesaan pada mereka?
Bagi saya mudah. Apa sahaja yang kita lakukan jangan keterlaluan. Samalah juga dengan bercakap. Kalau hendak kecam atau tidak setuju dengan kedatangan artis luar ini kena beri sebab kukuh. Bukannya bagi alasan remeh. Kadang-kala bercakap ini mudah dan masalahnya ada yang bercakap atas pandangan peribadi semata-mata.
Kalau ia alasan yang kukuh tidak mengapalah. Ini awak bercakap ada 33 juta lagi rakyat mendengar. Apabila orang yang hendak datang dari luar negara itu memberi impak dan artis itu berikan teladan dan boleh dijadikan contoh, mengapa tidak dia diberikan peluang?
Lagipun, apabila kita bercakap soal kredibiliti, sebagai artis nama mereka sudah tentunya besar. Saya fikir, mungkin mereka yang kecam itu disebabkan pengaruh kawan.
PENYANYI MATI, LAGU TIDAK
Harapan Datuk terhadap industri muzik tanah air untuk tempoh beberapa tahun akan datang?
Sekarang awak cuba tengok untuk tempoh panjang mungkin 15 ke 25 tahun akan datang. Generasi awak tidak akan merasai pengalaman konsert lagi.
Kalau kita cakap dalam konteks artis yang ada sekarang, mereka yang popular ini akan mati. Contoh, Datuk M. Nasir sekarang dalam 60-an. Kalau 20 tahun lagi adakah dia boleh nyanyi lagi ke?
Yang akan tinggal Aina Abdul dan seangkatan. Selain itu, apabila kita tengok balik, artis yang tinggal hanya beberapa lagi sahaja. Yang betul-betul popular seperti Ella atau Siti Nurhaliza. Mereka agak berbeza kerana pada zaman mereka mula naik, mereka buat album. Bayangkan, waktu berumur awal 20-an atau 30-an, mereka sudah ada banyak lagu hits dalam beberapa album. Berbeza dengan sekarang yang lebih banyak buat lagu single.
Kalau artis dulu buat tiga ke empat album katakanlah ada 15 lagu hits. Ia akan dimainkan sampai mereka tiada lagi. Artis yang kekal sekarang sebab lagu-lagu hits ini.
Untuk artis baharu, kalau buat konsert pula katakanlah satu konsert dua jam. Satu lagu dalam empat minit. 10 lagu 40 minit. Kalau 20 lagu sudah satu jam 20 minit. Baki lagi 40 minit lagi mereka nak buat apa? Bercakap? Jadi, artis kena ada 22 lagu hits.
Sekarang awak cakap dengan saya kalau penyanyi popular yang ada sekarang seperti Ella atau Siti Nurhaliza sudah tiada macam mana? SIapa lagi mahu buat konsert?
Maka, artis baharu yang hanya ada single hendak buat konsert bagaimana? Lepas nyanyi lima lagu dia nak buat apa? Nyanyi lagu orang? Itu bukan konsert namanya.
Zaman sekarang sudah berubah. Ia berbentuk kepada digital. Berubah sebab single. Ia lambat. Sedangkan artis macam saya katakan tadi waktu muda sudah banyak lagu. Lagu tidak akan mati, sampai bila-bila ia begitu. Penyanyi mati. Itu kita perlu ingat. – Mingguan Malaysia










