“Tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) semakin meningkat,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menyempurnakan majlis penutup Program Pemerkasaan Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, baru-baru ini. Menurutnya, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi pelajar Cina dan India juga menunjukkan prestasi cukup cemerlang dalam penguasaan bahasa Melayu.
Beliau turut memuji program memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan guru bahasa Melayu di SJKC dan SJKT yang dianjurkan empat bulan sekali oleh Majlis Bahasa Cina Malaysia itu.
Sejak 2018, Majlis Bahasa Cina Malaysia sering kali mempromosikan pembelajaran bahasa Melayu di SJKC dan SJKT bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah tersebut. Usaha mereka selama ini memperlihatkan hasil yang baik.
Seperti kita sedia maklum, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu juga berperanan menyatupadukan berbilang bangsa. Kita hidup di Malaysia seharusnya dapat menggunakan bahasa Melayu dengan sebaiknya dalam situasi kehidupan yang bersesuaian.
Murid SJKC perlu mempelajari tiga bahasa, iaitu bahasa Cina, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sesungguhnya ketiga-tiga bahasa adalah sama penting. Sehubungan itu, pihak berkenaan perlu selalu memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid SJKC. Beban pembelajaran tiga bahasa secara serentak dan tanggapan bahasa Melayu tidak seluas nilai penggunaan berbanding bahasa-bahasa lain tidak harus dijadikan alasan untuk mengabaikan pembelajaran bahasa Melayu.
Pada pendapat saya, kaum Cina harus lebih bersikap positif dalam menguasai bahasa Melayu. Tujuan mempelajari bahasa Melayu bukanlah semata-mata untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan subjek Bahasa Melayu dan subjek-subjek lain yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Kaum Cina juga perlu menguasai kemahiran lisan dan penulisan dalam bahasa Melayu secekap mungkin. Dengan itu, kita akan dapat berinteraksi atau memberikan pandangan secara berkesan apabila berhadapan khalayak masyarakat majmuk.
Tidak dapat disangkal terdapat banyak lepasan sekolah Cina masih kekok ketika berucap dalam bahasa Melayu di tempat-tempat awam, malah mereka sukar untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan diri apabila berhadapan khalayak ramai. Keadaan seperti inilah yang sering mencetuskan jurang pergaulan antara kaum.
LINGUA FRANCA
Tidak dapat dinafikan juga terdapat banyak anak Cina masih lemah dalam penulisan bahasa Melayu. Sesungguhnya anak Cina yang terlibat dalam bidang kesusasteraan, kesenian, politik, kebudayaan, akademik dan sebagainya masih tidak menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang menonjol.
Pada hakikatnya, ibu bapa dan guru lebih cenderung menggalakkan anak atau pelajar mereka menumpukan perhatian dalam bidang sains dan matematik, kejuruteraan, ekonomi dan profesional. Sebaliknya mereka kurang bersetuju jika anak-anak mereka menceburi bidang kesusasteraan dan kemanusiaan. Fenomena seperti ini adalah tidak sihat.
Masyarakat Cina tidak sedar bahasa Melayu bukan sahaja luas dipertuturkan di dalam negara, malah di rantau Asia Tenggara sejak beratus-ratus tahun dahulu. Bahasa Melayu merupakan lingua franca bagi semua kumpulan etnik di rantau ini. Bahasa Melayu sangat penting dalam perhubungan sosial, perdagangan dan ekonomi serta politik dan kebudayaan. Adalah tidak patut bukan Melayu tidak memberikan tumpuan sewajarnya kepada bahasa Melayu.
Daripada tinjauan saya, pelajar bukan Melayu sesungguhnya mempunyai banyak peluang untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian. Mereka boleh mempraktikkan amalan membaca buku kesusasteraan, majalah dan akhbar serta mendengar siaran radio dan menonton rancangan televisyen dalam bahasa Melayu. Selain itu, mereka juga boleh membiasakan diri berkomunikasi dengan rakan dan jiran Melayu dalam bahasa Melayu. Lama-kelamaan, penguasaan bahasa Melayu tentu semakin maju.
Pihak sekolah dan persatuan pelajar turut memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu. Misalnya, pelbagai program dan pertandingan boleh dianjurkan untuk disertai pelajar bukan Melayu. Antaranya program memperkasakan bahasa Melayu, kursus penulisan kreatif, pertandingan bercerita, berpidato, berceramah, mendeklamasikan pantun atau puisi baharu, drama dan teater.
Malah, anak-anak bukan Melayu digalakkan mengikuti kursus pengajian Melayu, penterjemahan dan kesusasteraan di institusi pengajian tinggi. Langkah ini sebenarnya amat membantu mereka dalam dunia pekerjaan dan kerjaya politik kelak.
Pada pendapat saya, penguasaan sesuatu bahasa banyak bergantung kepada keazaman seseorang untuk mempelajari dan menggunakan bahasa itu, bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kesimpulannya, anak-anak bukan Melayu harus menguasai bahasa Melayu dengan cekap agar dapat menyerasikan diri mereka dalam masyarakat majmuk di negara kita. Justeru, anak-anak bukan Melayu sepatutnya lebih giat memajukan diri dalam pelbagai bidang termasuk penguasaan bahasa kebangsaan agar lebih berdaya saing untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. – UTUSAN
Dr. Lai Choy ialah bekas pendidik, penulis dan pekamus.










