“APAKAH makanan tradisional kaum atau etnik lain yang anda minati?” tanya saya kepada beberapa rakan untuk mengumpul jawapan mereka. Tujuannya untuk melihat secara jelas bagaimana makanan sesungguhnya mampu mengeratkan perpaduan dan membuka jalan saling mengenali budaya kaum lain.
Parimala Devi Meenakshi Sundram dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebut tentang nasi kerabu yang amat terkenal dalam kalangan orang Melayu di Kelantan. Anehnya, guru itu diperkenalkan kepada makanan terbabit oleh seorang rakan sewaktu berada di Sarawak.
“Saya terus jatuh cinta pada nasi warna ungu yang menggunakan pewarna asli bunga telang. Sayur campur, ikan goreng tepung, budu, cili tumbuk dan telur masin amat membuka selera,” katanya dengan penuh selera.
Vikneswary Suppiah, seorang lagi guru dari Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang berkongsi pengalaman menikmati bubur asyura yang diperkenalkan oleh Istaten Adi Ahman, rakan semasa belajar di Universiti Sains Malaysia (USM).
“Itulah kali pertama saya mencuba bubur asyura. Rasanya sangat sedap dan manis. Saya dapati ia menggunakan bahan seperti pelbagai jenis kacang, kurma, nangka, pisang, gula merah, sagu dan tepung gandum,” kata Vikneswary yang menyifatkan bubur itu sebagai juadah sihat.
Pada masa dahulu, tradisi menghantar juadah musim perayaan kepada jiran tetangga berlainan kaum dan agama menjadi suatu budaya. Dari situlah Rushida Abdul Wahid mula mengenali dan meminati masakan tradisional Cina dan India.
“Saya suka makan rava tose bersama cutni putih. Jika ke restoran India, saya pasti memesannya. Tapi sayangnya tidak semua restoran menyediakan menu rava tose,” kata suri rumah ini yang tinggal di Klang, Selangor.
Juadah tradisional Cina yang diminatinya ialah kuih bakul yang hanya boleh didapati menjelang Tahun Baharu Cina. Walaupun kini budaya menghantar kuih-muih ke rumah jiran tetangga semasa perayaan semakin luntur, kita masih boleh membeli juadah berkenaan di kedai untuk dinikmati.
Bekas pelajar saya di kolej dahulu, Balwinder Singh turut terlibat dalam perbincangan. Pemuda keturunan Punjabi dan beragama Sikh ini menyukai tose yang dimakan bersama cutni kelapa dan kuah dhal. Makanan tradisional orang Tamil ini memang sudah terkenal dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Campuran rasa sedikit masam daripada tose dan pedas cutni serta diperkayakan rasa kuah dhal yang lazat. Saya akan segera teringat bagaimana emak menyuap tose ke mulut semasa saya kecil,” kata pengusaha jualan dalam talian ini yang tinggal di Klang.
Balwinder selalu juga singgah di restoran yang banyak terdapat di Little India, Jalan Tengku Kelana. Pada penelitiannya, dahulu tose dibuat tukang masak dari India dan mempunyai rasa yang unik. Rasa tose pada masa kini sudah berubah dan tidak mampu melawan keenakan tose dulu-dulu.
JATUH CINTA
Seorang lagi penggemar tose ialah Dennis Teo dari Puchong, Selangor. Pemuda cacat penglihatan itu sedang mengikuti pengajian sarjana di Universiti Malaya (UM) dan memang peminat tegar tose.
“Rasanya sungguh lazat dan baik untuk kesihatan. Ibu bapa saya juga penggemar tose dan merekalah yang memperkenalkan tose kepada saya. Saya sentiasa mencuba pelbagai variasi tose seperti masala tose, karapodi tose, rava tose dan veethu tose,” kata pemuda kaum Cina ini.
Bagi Leela Chakrabarthy dari Petaling Jaya, Selangor, Syawal pada 1969 merupakan detik beliau jatuh cinta pada dodol. Bekas pensyarah ini terkenang bagaimana sahabatnya yang hanya dikenali dengan nama, Hawa, memperkenalkan makanan tradisional Melayu itu.
“Saya terpegun melihat bapanya memasak dodol menggunakan kawah besar di atas api yang sederhana sambil dibantu jiran tetangga. Dodol dikacau bergilir-gilir selama berjam-jam untuk mendapatkan hasil terbaik. Keenakannya masih melekat pada deria rasa saya,” kata penulis dan penterjemah itu.
Dalam perbualan kami, Leela turut menggunakan pemanis mulut yang lembut dan kenyal itu sebagai cerminan kepada pengukuh tali persahabatan dan perpaduan bangsa Malaysia.
Bekas jururawat dari Kota Bharu, Kelantan, Irene Tan Ai Ling pula berkongsi cerita tentang putu halba yang popular dalam kalangan orang Melayu di negeri berkenaan.
“Ia memang sukar didapati di tempat lain dan hanya muncul pada musim tengkujuh iaitu sekitar November, Disember dan Januari. Putu halba di Kelantan berbeza dengan tempat-tempat lain kerana diadun menggunakan parutan ubi kayu, gula Melaka dan sedikit halba. Kemudian, dibalut dalam kain nipis dan dikukus hingga masak,” penulis kaum Cina ini menceritakan secara terperinci.
Tempe pula menjadi kegemaran Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor. Tempe adalah sumber protein yang diperbuat daripada kacang soya dan merupakan makanan tradisional orang Jawa.
“Saya mengenali tempe semasa belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Rasa manis dan masin memang sesuai dengan cita rasa saya. Dulu, saya makan tempe dengan kacang dan ikan bilis. Sekarang, saya ubah suai resepi masakan tempe mengikut kesesuaian kerana saya mengamalkan pemakanan nabati,” kata guru itu.
Kuih keria yang bentuknya menyamai donat atau vade kaum India pula menjadi kegemaran seorang lagi guru dari Petaling Jaya, Vanitha Ranggasamy. Beliau diperkenalkan keenakan kuih keria oleh seorang guru Melayu semasa belajar di sekolah menengah dahulu.
“Guru subjek Kemahiran Hidup yang mengajar saya cara membuat kuih keria. Saya cuba banyak kali sehingga akhirnya sudah mampu memasak kuih keria yang memang sedap dan berkhasiat. Kini, apabila melihat kuih keria di bazar Ramadan, saya teringat guru yang mengajar saya,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











