PERTUBUHAN Perfilman dan Kesenian Kebangsaan (JK-PUSPAL) telah mengambil tindakan sangat wajar dalam membatalkan konsert kontroversial The 1975 di Malaysia. Keputusan ini diambil selepas mendapati kumpulan itu gagal menjaga tertib dan adab semasa berada di negara ini. Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan nilai, maruah dan undang-undang dipegang teguh oleh rakyat Malaysia, tetapi juga sebagai satu amaran jelas kepada anak-anak muda tempatan tentang pentingnya mematuhi peraturan dan norma-norma sosial dalam kehidupan mereka.
Dalam dunia semakin global dan sempadan kehidupan mula pudar, penting bagi rakyat untuk memastikan nilai dan maruah bangsa, adat resam serta budaya negara kita dijaga dan dikekalkan dengan teguh.
Seiring kemajuan dan perubahan zaman, kita tidak boleh mengabaikan warisan budaya dan identiti kebangsaan yang menjadi asas kepada keharmonian dan kesatuan dalam kepelbagaian masyarakat yang dimiliki.
Sebagai sebuah negara berbilang etnik dan budaya, kita mempunyai keunikan dan kepelbagaian seni yang patut diraikan dan dipelihara. Acara seni dan kebudayaan memberikan platform untuk memperlihatkan kekayaan budaya kita kepada dunia luar dan menyalurkan kreativiti seniman tempatan. Namun pada masa sama, perlu diingat bahawa segala bentuk seni dan hiburan haruslah berada dalam sempadan undang-undang dan adab yang diakui di negara berdaulat ini.
Kegagalan untuk menghormati dan mematuhi undang-undang serta norma-norma sosial tempatan adalah satu bentuk penghinaan terhadap nilai dan maruah bangsa kita. Tindakan yang menyalahi peraturan dan adat resam dapat menyebabkan kemarahan dan hilang kesejahteraan dalam masyarakat. Justeru, kesedaran dan kesungguhan dalam memahami dan menghormati budaya negara adalah penting bagi setiap warganegara dan pihak yang ingin membawakan persembahan seni atau hiburan di Malaysia.
JK-PUSPAL sebagai badan yang bertanggungjawab telah mengambil keputusan tepat dalam membatalkan konsert The 1975 yang gagal mematuhi undang-undang, adab dan aturan semasa berada di negara kita.
Tindakan ini adalah contoh terbaik memperlihatkan bagaimana keadilan dan peraturan diguna pakai untuk memastikan nilai dan maruah bangsa kita dijaga dan ditegakkan.
KEARIFAN TEMPATAN
Melalui kesedaran dan pemahaman tentang nilai-nilai kebudayaan dan undang-undang yang dijunjung tinggi oleh masyarakat Malaysia, kita dapat mencapai masyarakat yang harmoni, sejahtera dan saling menghormati. Ketika menghargai dan memahami keunikan budaya sendiri, kita juga menyediakan satu platform untuk membangun kesedaran lebih mendalam mengenai identiti negara.
Budaya adalah ciri unik yang membezakan satu bangsa dengan bangsa lain dan perlu dijaga sebagai aset berharga bagi kelestarian bangsa. Penghayatan nilai-nilai yang ada dalam budaya hidup sesuatu etnik dan kearifan tempatan (local wisdom) menjadi kunci untuk menyemai rasa cinta dan kesetiaan terhadap bangsa dan tanah air kita.
Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati, kepelbagaian budaya harus dipandang sebagai sumber kekayaan dan peluang untuk saling belajar dan menghargai. Penghayatan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati, empati dan toleransi menjadi asas dalam pembinaan hubungan erat antara satu sama lain. Melalui cara ini, masyarakat dapat berkembang sebagai satu entiti harmoni dan saling melengkapi dalam kepelbagaian dimiliki.
Sebagai rakyat, kita perlu berusaha bersama-sama untuk menyemai semangat cinta kepada bangsa dan kebanggaan kepada warisan budaya sendiri. Melalui sikap menghormati dan mengamalkan nilai-nilai bangsa, kita dapat menyusun langkah demi langkah ke arah membina negara berdaya saing, adil dan dikenali kerana kesatuan dalam kepelbagaian budayanya.
Jangan sekali-kali merosakkan identiti dan warisan budaya kita dengan bertindak melepasi batasan undang-undang dan adab resam. Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan memegang teguh nilai-nilai kebudayaan negara, mencipta masyarakat yang berpadu dan mekar dalam perpaduan kepelbagaian seni dan kehidupan.
ACUAN
Kegagalan The 1975 dalam mematuhi peraturan dan adab tempatan tidak dapat kita bertolak ansur. Dengan ketiadaan rasa hormat terhadap undang-undang dan norma-norma sosial, ia menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat. JK-PUSPAL dengan bijaksana mengambil tindakan tegas untuk membatalkan konsert tersebut sebagai tanda rakyat Malaysia mempunyai batasan tertentu perlu dihormati oleh setiap individu atau kumpulan yang ingin mengadakan persembahan di negara ini.
Tindakan ini sepatutnya diambil sebagai pengajaran berharga kepada anak-anak muda tempatan. Mereka perlu memahami bahawa bertindak dengan penuh hormat terhadap undang-undang dan budaya tempatan adalah penting dalam membentuk masyarakat harmoni selaras sebagai sebuah negara maju dengan acuan kita miliki. Di samping menunjukkan rasa bangga terhadap identiti kebangsaan, menghargai dan mematuhi undang-undang juga mencerminkan nilai-nilai kepimpinan dan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini.
Selain itu, tindakan JK-PUSPAL menjadi pengajaran terpenting kepada artis dan kumpulan lain yang merancang untuk mengadakan persembahan di negara ini. Mereka perlu memahami bahawa masyarakat kita menuntut kesedaran dan hormat terhadap budaya dan nilai-nilai yang dijunjung tinggi. Kehadiran kumpulan dari luar negara dalam acara seni tidak sepatutnya menggugat dan merosakkan identiti budaya kita, tetapi sepatutnya menjadi satu pengalaman saling memperkaya dan menghargai kepelbagaian seni dan kebudayaan.
Dalam satu dunia yang semakin bersatu lantaran kecanggihan teknologi, kita tidak boleh mengabaikan pentingnya nilai, maruah dan undang-undang yang menjadi asas kepada sebuah negara. Tindakan JK-PUSPAL adalah satu contoh yang baik tentang bagaimana kita sebagai rakyat perlu melindungi dan mempertahankan identiti kita sambil menggalakkan keharmonian dan kepelbagaian dalam kehidupan sehari-hari.
Jika kita mahu melihat negara ini terus maju dan berkembang, maka kepatuhan terhadap undang-undang dan budaya tempatan perlu menjadi suatu perkara yang dijunjung tinggi oleh semua warganegara termasuk artis dan kumpulan luar negara. Dengan itu, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang dikenali kerana keunikan budayanya, kepelbagaian seninya dan rakyatnya berakhlak mulia. – UTUSAN
DR. Ratna Roshida Ab. Razak ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).










