Selangor masih perlukan Amirudin?

Selangor masih perlukan Amirudin?

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 19 Jun sinonim dengan kerjaya politik Datuk Seri Amirudin Shari. Apakah selepas tarikh ini, Amirudin akan terus diberi mandat untuk mengemudi Selangor sebagai Menteri Besar (MB)? Ia sukar diramal dalam keadaan politik jenama baharu ini. Apa pun, saya melihat Amirudin sukses menunaikan tanggungjawabnya dalam tempoh ini.

Tanggal ini genap lima tahun Amirudin menerajui pentadbiran Selangor selepas pilihan raya umum (PRU) 2018. Dan tarikh ini disebut oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai tarikh yang mungkin diumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Namun, bukan tarikh pembubaran yang ingin kita ketengahkan tetapi perjalanan politik dan pentadbiran Amirudin sebagai MB yang ingin disingkap. Lima tahun berlalu, pelbagai program cakna rakyat dilaksanakan oleh Amirudin. Agenda perumahan rakyat dan peduli kesihatan antara yang menyerlah dan memberi kesan besar kepada rakyat kebanyakan.

Perjalanan politik beliau mempunyai graf tersendiri dan liku-liku itu bukan mudah dalam kerjaya politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ini. Tanggungjawabnya lebih berat apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Gombak selepas menewaskan calon Perikatan Nasional, Mohamed Azmin pada PRU15.

Amirudin lulusan Universiti Putra Malaysia. seorang yang cekal dan berpendirian. Beliau berjaya menangani waktu runcing krisis politik PKR dan setia dalam perjuangan. Paling nyata, kematangan dan cara pentadbirannya disenangi rakyat, berupaya mengukuhkan Selangor sebagai negeri dihormati dan PKR serta Pakatan Harapan terus kukuh.

Dasar-dasar yang muncul daripada idea Amirudin banyak membantu rakyat Selangor susulan musibah Covid-19 membuktikan kepimpinannya dan kejayaan kerajaan negeri. Pakej Kita Selangor menyediakan pelbagai inisiatif bagi menangani kesan pandemik yang amat memudaratkan serta mengubah kehidupan normal rakyat kebanyakan.

Sebagai MB, Amirudin terbukti tahan uji. Beliau tangkas membantu rakyat yang ditimpa musibah bah besar pada Disember 2021 bermula sejak hari pertama banjir sehinggalah kerja-kerja pemulihan serta bantuan.

Bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa disalur segera, manakala waris korban menerima sumbangan RM10,000. Kerja pembersihan dan pembaikan prasarana pantas dijalankan bagi mengelak gangguan perjalanan hidup seharian rakyat.

Menunaikan impian rakyat memiliki rumah adalah agenda besar yang berjaya. Membina perumahan mampu milik antara ikhtiar utama kerajaan negeri dalam menyediakan kehidupan lebih baik yang diterjemah dalam bentuk pelaksanaan, bukannya slogan dan omong kosong. Program Rumah Selangorku direalisasikan sejak sembilan tahun lalu secara konsisten dan bertanggungjawab.

Ini antara inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP), dinikmati segenap lapisan masyarakat selaras agenda menjaga kebajikan rakyat membabitkan perbelanjaan lebih RM600 juta setahun. Bermula dengan projek perintis di Rumah Selangorku Ukay Indah, Hulu Kelang, kerajaan negeri giat membina kediaman dengan kerjasama pemaju di pelbagai lokasi bagi memastikan rakyat Selangor layak dan dapat memiliki rumah sendiri.

Mengikut data Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor setakat 30 April lalu, sebanyak 33,920 unit kediaman pelbagai kategori berjaya disiapkan yang kini selesai diduduki pembeli. Sebanyak 18,291 unit lagi dalam proses pembinaan manakala 175,486 pada peringkat perancangan termasuk menunggu kelulusan pihak berkuasa.

Dibina di lokasi strategik berdekatan pelbagai kemudahan menjadi tarikan utama pembeli. Sekolah, hospital serta kemudahan asas lain termasuk akses jalan mudah untuk dicapai memudahkan pembeli. Menariknya, penawaran kediaman di kawasan tumpuan dengan keluasan minimum antara 700 hingga 1,000 kaki persegi itu dijual hanya pada harga antara RM42,000 hingga RM250,000, disifatkan sebagai harga mampu milik untuk kediaman di Lembah Klang.

Seiring peredaran masa dan keperluan, Projek Rumah Idaman dilancarkan Amirudin bagi memberi nilai tambah berbaloi kepada pembeli.

Mengekalkan lokasi strategik dan harga berpatutan dan mampu milik, kerajaan negeri memudahkan pembeli dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan – parkir, penyaman udara, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk dan almari pakaian. Terdapat pemaju menyediakan kolam renang, taman permainan, dewan serbaguna dan surau.

Menerusi kluster Iltizam Perumahan Selangor di bawah ISP, kerajaan negeri tidak melupakan golongan yang hanya mampu menyewa dengan menyediakan mereka ke arah pemilikan kediaman sendiri.

Rumah diperoleh kerajaan negeri secara percuma atau kontrak di bawah projek Rumah Selangor dimanfaatkan untuk melaksanakan Skim Smart Sewa dan Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY), diperkenal untuk memberi peluang kepada golongan yang gagal mendapat pembiayaan bank. Melalui Skim Smart Sewa, penyewa menikmati pemulangan sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih minimum dua tahun atau maksimum lima tahun yang boleh digunakan sebagai wang pendahuluan membeli rumah.

Penduduk sihat maka negeri akan membangunkan bakat dan produktif. Berdasarkan pegangan ini, Selangor menyediakan lebih 10 inisiatif kesihatan di bawah pakej kebajikan ISP.

Antaranya saringan awam ketika Covid-19, setiap tahun Selangor membelanjakan puluhan juta ringgit untuk membantu golongan (B40) menerima rawatan pemeriksaan.

Belanjawan 2021 hingga 2023 memperuntukkan sebanyak RM56.5 hingga RM65.5 juta untuk 10 program utama kesihatan, tidak termasuk Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) untuk perlindungan lebih 6.5 juta penduduk. Insurans ini memberikan perlindungan sehingga RM10,000 seorang penduduk berusia 30 hingga 80 tahun mulai Oktober 2022.

Ia mendapat sambutan baik dan setakat 17 November lalu, 3,563,844 orang memohon.

ISP mempunyai enam kumpulan program, antaranya Iltizam Pendidikan Selangor, Iltizam Kesihatan Selangor (IKS) dan Iltizam Keusahawanan Selangor. 11 program IKS termasuklah Iltizam Selangor Sihat (ISS), Bantuan Sihat Selangor, Selangor Saring (SS), Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Saringan Selangor Kanser (Selcan).

Nyata usaha ini menguntungkan rakyat. ISS memanfaatkan 70,084 orang pada 2022 ditambah baik daripada program Skim Insurans Peduli Sihat agar lebih ramai B40 dapat dibantu. Ia memberi rawatan asas dan vaksinasi kepada 100,000 pemegang polisi utama dan 15,000 ahli keluarga berdaftar.

Saringan barah dibuat sebagai langkah pencegahan dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, saringan fizikal, ujian darah dan ujian mata.

Ujian Selcan memanfaatkan 6,864 orang seperti direkodkan. Dana RM1 juta diperuntukkan untuk saringan beberapa jenis barah seperti pangkal rahim, prostat, kolorektal dan payu dara.

Agenda perumahan rakyat dan kesihatan merupakan kejayaan Amirudin dalam menerapkan budaya kerja dan kebajikan rakyat Selangor. Diharapkan usaha ini akan berterusan dan rakyat Selangor kekal mendapat manfaat. – UTUSAN

DATUK Dahlan Maamor ialah pemerhati politik dan bekas Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×