Perubahan lanskap politik Kelantan bakal beri kejutan?

Perubahan lanskap politik Kelantan bakal beri kejutan?

KESEDIAAN Anwar Ibrahim menawarkan kerjasama untuk membangunkan Kelantan baru-baru ini juga telah membuka minda rakyat untuk mengubah pola undi negeri itu. – GAMBAR PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sampai sebulan lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan terbubar secara automatik apabila tempoh penggalnya berakhir pada 26 Jun ini. Oleh itu, mengikut Perlembagaan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan akan dilangsungkan dalam tempoh tidak kurang 60 hari dari tarikh tersebut, mungkin Julai ini.

Pendekatan Pas mudah dijangka. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas kekal bertanding di sembilan kerusi Parlimen (Menang dalam PRU14) dan memberi lima kerusi selebihnya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Syarat dikenakan ialah lima calon Bersatu tersebut wajib bertanding dengan menggunakan logo Pas.

Bersatu menggunakan logo Pas adalah strategi. Ia untuk menampakkan bilangan kerusi Pas di Parlimen lebih banyak. Pas juga akan untung jika berlaku perbalahan antaranya dan Bersatu. Strategi lain ialah untuk mencerahkan peluang calon Bersatu menang kerana rakyat Kelantan hanya terpesona dengan logo Pas dan logo UMNO/Barisan Nasional (BN).

Dalam PRU14, Pas menang 37 kerusi DUN dan BN menang lapan. Oleh itu, dalam PRN ini Pas dijangka akan memberikan lapan kerusi yang kalah dalam PRU14 kepada Bersatu. Begitupun, dalam PRU15, semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan disapu bersih oleh Perikatan Nasional (PN). Ini menyebabkan pemimpin Pas, baik di Kelantan mahupun di Pusat, yakin PN akan menyapu bersih 45 kerusi DUN dalam PRN ini.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, bagaimanapun menegaskan bahawa BN dan Pakatan Harapan (PH) sedang mencari jalan bagi melawan kempen ‘sapu bersih’ Pas.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan ke Kelantan pada 15 Mac lalu pula merayu pengundi memberi peluang kepada BN dan PH dalam PRN untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Satu perkara yang wajib diakui ialah dominasi Pas dan UMNO dalam politik Kelantan sejak sekian lama. Keputusan PRU14 menunjukkan selain menang lapan kerusi DUN, UMNO sentiasa mendapat undi kedua tertinggi di 37 kerusi DUN lain dengan melainkan di dua kerusi, iaitu N8 Tanjong Mas dan N9 Kota Lama di P21 Kota Bharu, yang undi kedua tertingginya diperoleh oleh PH.

Perkembangan yang baik ialah bila pemimpin PH Kelantan dan Pusat dari Parti Amanah Negara (Amanah) mengiktiraf dominasi UMNO ini, malah mencadangkan strategik betul seperti yang dibuat oleh Pas dalam PRU15, iaitu supaya calon PH bertanding menggunakan logo BN yang lebih dikenali di negeri itu. Kesediaan pemimpin UMNO mempertimbangkan cadangan ini juga wajar dialukan.

Di pihak UMNO juga sudah ada cadangan agihan kerusi yang boleh diterima iaitu BN bertanding di 31 kerusi dan berjiwa besar melepaskan 14 kerusi kepada PH. 14 kerusi ini ialah N3 Pasir Pekan, N7 Panchor, N8 Tanjong Mas, N9 Kota Lama, N13 Meranti, N14 Chetok, N18 Pasir Tumboh, N19 Demit, N20 Tawang, N24 Kadok, N26 Bukit Panau, N30 Limbongan, N34 Temangan dan N39 Mengkebang.

Dengan kerjasama semakin baik antara BN dan PH di Kelantan, peluang untuk BN dan PH memberi saingan sengit malah membuat kejutan ke atas Pas terbuka. Ini kerana jika kerjasama itu dapat diterima baik oleh rakyat Kelantan, gabungan kedua-dua undi parti berkenaan dalam PRU14 adalah agak setanding dengan undi Pas, malah di N9 Kota Lama lebih tinggi berbanding undi Pas.

Sejak mutakhir ini, lanskap politik Kelantan juga telah semakin berubah yang mampu membuat rakyat Kelantan membuat pilihan berbeza kali ini. Terdapat tanda-tanda ketidakpuasan hati ke atas peminggiran legasi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Pas setelah anaknya, Nik Mohamad Abduh tidak dikekalkan sebagai calon dalam PRU14 lalu. Rakyat Kelantan dikatakan merindui sentuhan Tok Guru Nik Aziz setelah tiada perubahan positif dalam kehidupan setelah pemergian beliau.

Kini, pertautan kembali Nik Abduh dan kakandanya, Nik Omar, bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menimbulkan desas-desus bahawa ada usaha untuk menjadikan salah seorang daripada Nik Mohamad Abduh atau Nik Omar sebagai calon Menteri Besar bagi pihak BN dan PH jika menang dalam PRN ini. Jika desas-desus ini menjadi realiti, pasti ini kelebihan besar untuk BN dan PH.

Kesediaan Anwar menawarkan kerjasama untuk membangunkan Kelantan dalam majlis beliau di negeri itu juga telah membuka minda rakyat. Dalam masalah bekalan air, kesediaan Anwar menjemput pimpinan Kerajaan Kelantan berbincang di Putrajaya menampakkan kesungguhan beliau, tidak seperti pendekatan konfrontasi sebelum ini, sekali gus mampu menarik rakyat Kelantan lebih mendekati PH dan BN.

Selain itu, semakin banyak pendedahan bernada sensasi mengenai kelemahan tata kelola Kerajaan Kelantan dibuat dalam media sosial, antaranya Wan Mahussin Wan Zain dengan lebih 142,000 pengikut di Facebook. Isu-isu seperti nepotisme dalam pengambilan kakitangan kerajaan, kelemahan pengurusan air, kegagalan projek-projek pembangunan yang merugikan rakyat dan sebagainya cukup mendapat perhatian dan mampu mencetuskan gelombang.

Isu-isu ini berimpak besar yang bersifat tempatan, bukan nasional diambil kira oleh rakyat dalam PRN kerana pilihan raya itu hanya untuk memilih kerajaan negeri dan keputusannya tiada impak ke atas kedudukan Kerajaan Pusat. Isu-isu tata kelola yang dikaitkan dengan kelemahan Menteri Besar sekarang dan kekuatan calon Menteri Besar BN dan PH boleh menjadi pengubah dalam PRN ini.

Selain strategi yang betul, meletakkan lebih ramai calon muda profesional yang tiada ‘baggage’ dan berpotensi besar, seperti Dr. Rosli Allani Abdul Kadir, Ir. Ts. Mohd. Normarzuki Yaacob dan Mohd. Zuki Safin dari PH serta Noor Hariri Mohd. Noor serta Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari UMNO, juga boleh membuahkan hasil untuk BN dan PH dalam PRN ini.-UTUSAN

DR. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN